ekspresi

Kayuhan lepas Tarawih

Oleh Aniza Zainudin

Selepas menunaikan ibadah puasa dan Tarawih setiap malam Sabtu selama empat minggu berturut-turut, lebih 200 penggemar sukan berbasikal menyertai program Kayuhan Brick Ramadan Kareem V4 2018 di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Bermula pada 18 Mei hingga 8 Jun lalu, kayuhan brick termasuk berlari sejauh lima kilometer (km) dan berbasikal sejauh 36 km dilakukan secara berkumpulan sejurus selesai solat Tarawih.

Istimewanya, program itu dilakukan lewat malam dan berlanjutan hingga awal pagi, seterusnya membolehkan peserta bersahur bersama-sama selepas tamat kayuhan.

Penyertaan membabitkan Kelab Triathlon CAT, Kelab Triathlon KGR, Kelab Duathlon RBR, Kelab Basikal SA Bike, Kelab Basikal FOSFIT dan Kelab Triathlon BUTONAMO.

Diperkenalkan sejak Ramadan 2015, laluan sekitar Putrajaya membabitkan Persiaran Perdana, Lebuh Gemilang, Lebuh Wadi Ehsan, Persiaran Selatan dan Persiaran Timur.

Koordinator program dari Kelab Triathlon CAT, Amir Hamzah Hashim berkata, kayuhan bertujuan memastikan momentum latihan diteruskan tanpa terbatas walaupun ketika Ramadan.

“Kayuhan itu menghimpunkan lima kelab berbasikal yang berbeza, jadi ia dapat merapatkan lagi hubungan antara penunggang.

“Kita juga ingin membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan remaja, seterusnya memastikan mereka bebas daripada masalah kesihatan terutama obesiti, isu sosial seperti jenayah dan gejala dadah.

“Sebenarnya kayuhan dilakukan bagi menggantikan rutin latihan brick yang sering diadakan setiap pagi Ahad, pada bulan biasa,” katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang empat siri kayuhan ini, Amir Hamzah menyifatkan sikap pemandu kenderaan yang membahayakan menafikan hak penunggang basikal yang juga pengguna jalan raya.

Justeru, aspek keselamatan diberi penekanan termasuk brek berfungsi, lampu depan dan belakang yang terlihat oleh pengguna jalan raya lain, pemakaian helmet dan arahan mematuhi peraturan jalan raya.

Selain itu, jarak kayuhan antara 35 hingga 40 km turut menguji kekuatan fizikal dan mental peserta, terutama mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini.

Kayuhan brick antara latihan intensif sebagai persediaan menghadapi perlumbaan triatlon yang akan berlangsung selepas Aidilfitri, antaranya Port Dickson International Triathlon 2018, Kerian International Duathlon 2018, Kerian International Triathlon 2018, Challenge Iskandar Puteri 2018 dan Ironman & Ironman 70.3 Langkawi 2018.

Menurutnya, program sedemikian perlu diteruskan dan mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan serta Perbadanan Putrajaya yang boleh memberi sokongan dari segi penganjuran tahunan.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 3:36am
d