ekspresi

Kumpul dana baiki jeti

Oleh Nurul Husna Mahmud

Satu pendekatan menarik dilakukan Kolej Burhanuddin Helmi (KBH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila menganjurkan acara berbasikal bagi mengutip dana membantu kerja membaik pulih jeti Kampung Pulau Che Soh, Tumpat, Kelantan.

Selain itu, sebahagian dana daripada program sama disumbangkan kepada Misi Sedekah Jumaat (Misi SJ) iaitu satu gerakan sukarelawan terbabit dalam mengedarkan makanan kepada kumpulan sasaran seperti rumah anak yatim, gelandangan, pusat perlindungan pelarian dan lain-lain.

Kayuhan Amal dan Sihat 7 atau KASIH 7 berjaya menarik 400 peserta dengan dana terkumpul mencecah RM5,000 itu turut mendapat kerjasama Kelab Berbasikal UKM, Kelab Ekorelawan UKM, Arena Basikal Malaysia, Kuala Lumpur International Chamber of Commerce (KLICC) dan Institut Onn Jaafar (IOJ) Petaling Jaya, Selangor.

Menurut penasihat program kayuhan itu, Bisharuzi Omar, peserta KASIH 7 bukan saja dapat menyertai acara yang menyihatkan, mereka turut menyumbang kepada projek kemasyarakatan menerusi dana terbabit.

“Sebenarnya kayuhan amal ini sudah masuk tahun ketujuh dan setiap tahun dana terkumpul menyasarkan sumbangan kepada projek komuniti berbeza. Bagi tahun ini kami membantu membaik pulih jeti Kampung Pulau Che Soh demi keselamatan penduduk yang menggunakannya.

“Jarak ditempuh peserta kali ini adalah 25 kilometer iaitu di sekitar kampus bermula dari Panggung Seni UKM Bangi. Konsep trek ialah merentas desa iaitu membabitkan laluan jalan raya dan trek luar.

“Paling getir buat peserta kayuhan KASIH 7 ialah lima kilometer terakhir termasuklah menempuh tiga bukit iaitu Bukit Kampung Bahagia, Bukit Palong dan Bukit Zaaba sebelum tiba ke garisan penamat,” katanya.

Pelepasan peserta disempurnakan Pengetua KBH Prof Madya Dr Muhammad Rahimi Yusop yang menyifatkan impak program ini cukup baik apabila membabitkan komuniti luar bersama warga kampus.

“Pelajar menerima manfaat besar apabila berpeluang mengasah terutama dalam aspek komunikasi dan interaksi bersama masyarakat. Selain itu mewujudkan hubungan baik dengan komuniti setempat apabila menyumbang kembali kepada masyarakat memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2018 @ 12:41pm
d