ekspresi

Turun ilmu kepada menantu

Oleh Zaitie Satibi

Banyak juadah tradisional Melayu hari ini semakin dilupakan sehingga sesetengahnya hanya disediakan pada musim perayaan atau majlis keraian tertentu. Kurangnya individu yang mahir menyediakan juadah berkenaan, selain generasi muda yang tidak berminat antara penyumbang kepada kepupusan.

Hakikatnya untuk mengekal dan mempertahankan sesuatu yang lama agar tidak dihakis oleh yang baharu memang sukar. Langkah untuk mengekalkan makanan tradisional perlu dipertingkatkan bagi memastikan ia tidak dilupakan generasi muda.

Menyedari usaha bagi mengekalkan juadah tradisional juga sebahagian peranannya, peniaga lemang pandan, Mohd Yusof Musbah, 66, berkongsi perniagaan pulut yang dimasak dalam buluh itu bersama keluarga sejak tujuh tahun lalu supaya ilmu membuat lemang dapat diturunkan dari generasi ke generasi.

Mohd Yusof dibantu dua menantu, Waiz Abdul Rauf, 43, dan Annuar Hakim, 39, serta anak saudara, Azlan Johan, 23, berkata penyediaan lemang pandan bermula dengan proses mencari buluh, daun pisang, kayu api dan bahan mentah.

Malah, Mohd Yusof juga dibantu isterinya, Zaharah Jaafar, 60, dan dua anak perempuan, Yuslinaliza, 39 (isteri Waiz) dan Norsazwani, 37 (isteri Annuar) dalam menyediakan bahan asas untuk memasak lemang dan rendang ayam serta daging.

“Saya mengusahakan perniagaan lemang selepas bersara dan memilih makanan tradisional ini selepas mendapati ia tidak dijual di sekitar kediaman di Seksyen 17, Shah Alam.

“Lemang pandan adalah juadah tradisional cita rasa Pahang, namun cara memasaknya diolah Waiz yang juga bekas jurutera penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Dia menggunakan kepakaran dalam bidangnya untuk menghasilkan resipi dan cara memasak lemang sehingga menghasilkan rasa yang unik,” katanya.

Sementara itu, Waiz berkata, beliau menuntut ilmu membakar lemang termasuk penyediaannya daripada orang lama bagi menyediakan lemang yang enak dan digemari ramai.

“Saya mengolah resipi lemang dari Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dan dicuba berulang-kali sebelum dapat menghasilkan lemang pandan dengan rasa pulut cukup lemak serta beraroma harum.

“Malah, rendang juga diolah daripada cita rasa Minang supaya ia tahan lama dan semakin sedap setiap kali dipanaskan,” katanya yang turut berkongsi resipi diubah suai itu kepada anggota keluarga.

Bagi Annuar yang menguruskan logistik dan tempahan, katanya, selain pelanggan yang datang sendiri ke gerai, lemang dihantar ke rumah pelanggan di sekitar Selangor.

“Kami menjual lebih 6,000 lemang setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha termasuk lemang yang ditempah khas untuk jamuan. Lemang kami juga sudah sampai ke England, Kanada, Arab Saudi dan India apabila ada pelanggan yang menempah khas untuk dibawa ke sana,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 5:51am
d