ekspresi

Redah Route 68 dalam gelap

Oleh Nurul Husna Mahmud

Laluan berliku di Genting Sempah antara trek paling digemari peminat sukan berbasikal apatah lagi lorong mendaki yang menegak menambahkan kegetiran mereka melepasi jalan lama Bentong itu.

Kayuhan malam bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang dianjurkan baru-baru ini mengumpul lebih 30 peserta sepanjang hampir empat jam kayuhan.

Peserta dari Kelab Kepong Bicycle Shop, Syuhaimi Saidin berkata, untuk kayuhan malam berkenaan, persiapan lebih terperinci diperlukan terutama melalui trek popular dengan panggilan ‘Route 68’ itu.

“Kalau siang cabarannya berdepan dengan banyak kenderaan kerana laluan itu menjadi pilihan pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur ke Bentong.

“Kalau malam pula, laluan itu gelap kerana tidak banyak lampu jalan. Selekoh tajam meningkatkan risiko kemalangan jika tidak membuat persiapan rapi pada basikal.

“Paling penting lampu basikal selain lampu tambahan di kepala dan belakang untuk mengelak kemalangan.

“Bagaimanapun laluan itu amat popular dalam kalangan peminat sukan berbasikal kerana dilihat sebagai trek terbaik untuk berlatih pada waktu malam.

“Jadi, perlu mengenakan baju sesuai seelok-eloknya berwarna cerah dan memantulkan cahaya untuk kemudahan pengguna jalan atau pengayuh basikal lain. Jangan lupa pam tayar dan bawa air secukupnya,” katanya.

Kayuhan itu bermula dari Batu Lapan Gombak menuju ke Genting Sempah sejauh lebih 30 kilometer berakhir sekitar jam 3 pagi dan rata-rata peserta menuruni dengan laju selepas berehat sebenar di perhentian ‘Route 68’ itu.

Kayuhan itu mendapat kerjasama komuniti basikal sekitar Setiawangsa termasuk penyelaras yang diketuai Pengasas Komuniti JW Cyclist Kelvin Poon.

“Trek itu paling sesuai buat mereka yang mencari cabaran untuk ketahanan berbanding lokasi kayuhan malam lain contohnya Bukit Tunku dan Istana.

“Bukan saja treknya berlingkar terutama di kilometer 20 ke atas apabila menawarkan bukit mencanak.

“Selain berbasikal trek ini juga popular dalam kalangan pelari antarabangsa.

“Saya berharap penganjuran kayuhan malam terus diadakan dalam memberi kesedaran aktiviti ini boleh dilakukan tidak mengira masa. Jadi ia sesuai untuk mereka yang sibuk pada waktu siang,” katanya.

Dalam kayuhan kali ini lima kenderaan termasuk dua motosikal menjadi pengiring bagi memastikan keselamatan peserta.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 12:30am
d