ekspresi

Kembar seiras sukar berpisah

Oleh Zaitie Satibi

Dalam kalangan peminat novel cinta, nama penulis Ania Malna dan Tini Hardanisyah pasti tidak asing bagi mereka.

Ania Malna bijak membuai imaginasi pembaca menerusi naskhah Cintaku Tertinggal di Korea dan Beijing, Aku Cinta Dia!, manakala Tini Hardanisyah dengan karyanya Awak Ilham Saya, Kamu Sang Penculik dan Bunga Hati Mr Jung membuatkan novel ini kelihatan sangat dekat dengan pembaca.

Namun, di sebalik nama pena itu pasti ramai peminat novel tidak sangka kedua-dua penulis yang membawa genre percintaan adalah dua beradik kembar seiras.

Nurul Aini Abdul Ghani atau Ania Malna dan Nurul Aisyah atau Tini Hardanisyah, dilahirkan berselang dua jam 29 tahun lalu, tidak saja mempunyai minat sama dalam penulisan kreatif, malah kedua-duanya mempunyai pekerjaan sama di tempat yang sama.

Demikian keunikan kembar itu yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej di Temerloh, Pahang. mereka juga melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi sama sebelum bekerja.

Nurul Aini berkata, mereka rapat sejak kecil mungkin mendorong kedua-duanya memilih bidang sama, baik di alam pekerjaan sebagai pensyarah mahupun sebagai penulis novel.

“Ramai berkata kami beruntung kerana dapat peluang pekerjaan sama di tempat sama. Namun, ia adalah rezeki kerana kami membuat permohonan kerja melalui prosedur biasa, sama dengan orang lain.

“Pada peringkat awal bekerja, kami terpisah selama dua tahun apabila saya ditempatkan di kolej di Dungun, Terengganu manakala Aisyah di kolej sekarang. Bagaimanapun, saya dapat bertugas di kolej sama selepas melakukan pertukaran kakitangan suka sama suka,” katanya.

Jelasnya, sebelum itu mereka belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam sebelum menyambung ijazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dalam jurusan Sains Pengurusan Pembinaan.

“Dalam dunia penulisan pula, kami gemar menulis sejak sekolah rendah. Kami tulis mengenai apa saja terutama pengalaman dalam kehidupan seharian. Disebabkan ketika itu tiada kemudahan komputer riba, kami menulis dalam buku log.

“Kami mengasah kemahiran penulisan kreatif di sekolah menengah apabila belajar membuat esei. Saya mulakan dulu langkah dalam penulisan novel dan menerbitkan karya pertama, Cintaku Tertinggal di Korea, pada 2013 sebelum Aisyah menyusul dua tahun kemudian dengan novel pertamanya, Awak Ilham Saya,” katanya.

Nurul Aini berkata, mereka juga gemar melancong dan negara yang paling kerap dikunjungi adalah Korea Selatan berikutan mereka juga meminati budaya K-Pop.

“Biarpun kerap pergi ke negara sama, kami mengunjungi lokasi berlainan. Kami juga lebih gemar mengunjungi lokasi bukan tumpuan pelancong kerana mahukan kelainan. Tidak kesah walaupun tempat yang dituju sangat jauh dari bandar utama kerana kami juga sukakan pengembaraan yang mencabar.

“Kami pernah pergi ke lokasi penggambaran drama popular Korea, Goblin, di lembah Gunung Odaesan dan Garden of Morning Calm yang juga taman bunga cantik dan sering dijadikan lokasi penggambaran drama,” katanya.

Ditanya mengenai bakat penulisan mereka, Nurul Aini berkata, ia adalah anugerah kerana tiada dalam sejarah keluarga suka menulis. Bagaimanapun, abangnya, Harun, 49, dan kakak, Zuraida, 43, gemar melukis.

“Abang dan kakak suka melukis dan menghasilkan banyak karya seni tetapi tidak pernah dikomersialkan kerana hanya untuk tatapan sendiri.

“Walaupun mereka tidak lagi aktif melukis, bila ada masa mereka melukis pada dinding bangunan.

“Apapun, kami bersyukur kerana bapa, Abdul Ghani Yaakub, 72, dan ibu, Siti Rohani Ismail, 66, tidak pernah menyekat minat kami. Sebaliknya, mereka memberi kelonggaran dalam apa saja yang kami buat asalkan mereka dimaklumkan terlebih dulu,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 12:30am
d