ekspresi

Seleksi tradisi pelbagai negeri

Oleh Nurul Husna Mahmud

Siapa sangka di tengah bangunan pencakar langit di Jalan Yap Hap Seng Kuala Lumpur, terdapat restoran ‘fine dining’ yang menyajikan hidangan Melayu tradisional.

Nama restoran berkenaan juga unik apabila dipetik daripada tenunan fabrik songket memberi gambaran tebalnya kecintaan pemiliknya mengetengahkan warisan tempatan untuk dinikmati peminat makanan.

Malah restoran berkenaan yang sering dikunjungi pengunjung dari luar negara terutama Korea Selatan, Jepun dan Eropah teruja dengan sajian disediakan.

Konsep persembahan setiap hidangan begitu elegan, namun rasanya menonjolkan cita rasa tempatan termasuklah dalam penggunaan rempah dan ramuan asli.

Ini termasuklah dalam sajian aroma rusuk daging salai masak berkicap, ayam panggang berempah, ikan siakap kukus mangga muda dan sayur pakis goreng yang sempat dijamah penulis ketika berkunjung ke restoran terbabit.

Menurut Pengurus Kanan Perniagaan Restoran Songket, Aisyah Ahmad, setiap sajian dihidangkan ke meja adalah resipi atau juadah terbaik dalam seleksi menu tradisi dari pelbagai negeri.

“Selalunya hidangan Melayu tempatan sering disamakan dengan masakan dari negara seberang kerana serumpun tetapi sebenarnya ada perbezaan baik segi rasa dan kaedah penyediaan untuk hidangan Melayu di sini.

“Jadi peranan kami bukan sekadar menyampaikan sajian berkualiti dan enak tetapi juga memperkenalkan ciri hidangan Melayu di Malaysia.

“Kalau lihat ayam panggang dari negara seberang selalunya sambal berlada sering menjadi sos sampingan, tetapi kelainan makanan salai contohnya daging salai masak berkicap, kami hidangkan bersama cili kicap lada potong.

“Ayam panggang pula kami letakkan sos percik menggunakan resipi sendiri untuk cita rasa tempatan. Tidak lari daripada pengaruh hidangan Siam, hidangan siakap kukus itu masih tampil kelainan menerusi ramuan mangga muda.

“Semua lauk-pauk ini boleh dinikmati dengan nasi yang menjadi tanda pengenalan kami iaitu nasi pandan menggunakan pewarna semula jadi daripada pandan,” katanya.

Sebelum menikmati juadah, pelanggan boleh mencuba sajian pembuka selera menerusi set ‘Songket Platter’ iaitu kudapan popular tempatan iaitu begedil, cucur bawang, tauhu sumbat dan satar ikan.

Tambah Aisyah, istimewa untuk pengunjung pada malam tertentu, mereka akan menikmati sajian sambil dihiburkan dengan persembahan tradisi seperti tarian popular negeri termasuklah tarian etnik dari Sabah dan Sarawak.

“Untuk malam terbabit disarankan menempah terlebih dahulu. Operasi dari jam 11.30 pagi hingga 2 petang untuk tengah hari dan slot malam bermula jam 4 petang hingga 10 malam,” katanya.

Penutup kepada sajian kami, bubur sum sum dan goreng pisang bersama ais krim pandan serta sos coklat menjadi pencuci mulut yang menarik untuk dinikmati.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 1:30am
d