ekspresi

Cekal hati solo di Brooklyn

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

APA seronoknya bercuti sendirian? Walaupun kagum dengan keberanian wanita yang berkelana sendiri tetapi idea itu tiada dalam kamus hidup penulis apatah lagi untuk meneroka kota New York. Namun, itulah yang penulis lakukan.

Usah ditanya dari mana datangnya keberanian itu kerana yang ada dalam hati hanyalah rasa gementar. Apatah lagi lokasi penginapan terletak di Brooklyn yang sering digambarkan dengan pelbagai isu keselamatan.

Bagaimanapun, beberapa hari di sana, penulis dapati Brooklyn tidaklah seperti yang sering dihebahkan, ia tetap meriah walaupun rentaknya tidak serancak suasana di Manhattan. Ia ada keistimewaan tersendiri.

Stesen kereta api bawah tanah (subway) terdekat dengan lokasi penginapan ialah Morgan Avenue. Suasana di sekitar hentian ini agak kelam dan mendebarkan kerana dinding bangunan usang yang sunyi dipenuhi contengan grafiti tangan nakal.

Melangkah lebih jauh ke Bogart Street, jelas kelihatan perubahan ketara dalam kreativiti anak muda di sini dan pandangan penulis terpaku pada grafiti yang unik, seolah-olah berada di balai seni lukis.

Oleh kerana kawasan itu sunyi, tidak berani untuk berada lama di situ tetapi ia menjadi tempat persinggahan harian sebelum balik ke bilik. Sebagai kelana solo amatur, penulis mengambil langkah berhati-hati dan memastikan sudah selesa di atas katil sebelum Maghrib tiba.

Bagi yang ingin melihat keunikan seni grafiti di situ, boleh saja ke Bushvick atau mengikuti penerokaan percuma bersama pemandu pelancong Free Tours By Foot.

Membelek peta New York, penulis dapati mudah untuk menjelajah kota ini seorang diri. Bandarnya direka dalam bentuk grid (susunan menegak dan melintang). Jalan dan bangunannya tersusun lurus, dibahagikan ke belah timur dan barat. Petanya juga mudah difahami, maka kebarangkalian untuk sesat amat rendah.

Jalan menegak dipanggil ‘avenue’ dan jalan melintang pula dipanggil ‘street’. Jika anda berada di W 20th Street, Avenue 10 dan mahu ke W 24th Street di avenue sama tetapi tidak tahu arah utara atau selatan, jalan saja. Di setiap simpang ada nombor jalan, jika didapati nombornya semakin kecil, anda hanya perlu patah balik. Sesungguhnya, kebarangkalian untuk sesat memanglah rendah.

Atas kekangan masa, perjalanan solo ini dirancang sebaiknya. Destinasi pertama adalah High Line, taman bandar di atas landasan kereta api bertingkat yang terbiar lama. Dibuka pada 2009, High Line terletak di Manhattan barat, terhasil daripada kerjasama James Corner Field Operation, Diller Scofidio & Renfro dan Piet Oudolf.

Boleh dikatakan taman ini milik masyarakat kerana sebahagian besar dana pembinaannya adalah sumbangan orang ramai dan hingga sekarang ia diselenggarakan oleh persatuan penduduk Friends of The High Line. Ia bukan sekadar tempat rekreasi, bahkan lokasi popular untuk pelbagai aktiviti termasuk seni.

Di taman tinggi ini (sembilan meter dari aras jalan raya), ada kira-kira 120 spesies tumbuh-tumbuhan termasuk rumput-rumpai yang sengaja dikekalkan sebagai ‘penghormatan’ kerana menjadi perintis kehidupan di landasan lama New York Central Railroad sebelum ia diberi nafas, wajah dan fungsi baru.

Tidak sangka, taman indah yang menjalar sejauh 2.3 kilometer jalan raya di celah bangunan komersial, pejabat dan pangsapuri ini begitu menenangkan. Tidak sangka juga, rumput yang tumbuh melata boleh menjadi antara aset yang mengindahkan taman ini.

Sempat juga berangan menjadi sebahagian warga New York yang menikmati hidangan tengah hari dalam suasana nyaman awal musim luruh di situ, walaupun bekalan yang dibawa hanyalah sandwic, buah dan kopi sejuk!

Puas ‘bersenam’ di High Line, penulis melangkah ke Chelsea Market yang terletak di bawah taman itu. Ia adalah pasar makanan yang mengujakan kerana dekorasinya sentiasa berubah. Kebetulan ketika itu pertengahan Oktober, figura seram seperti hantu dan Dracula ada di mana-mana untuk meraikan Halloween yang disambut pada 31 hari bulan.

Namun, penulis lebih teruja melihat kepelbagaian jenis, warna dan saiz labu. Daripada sebesar-besarnya yang harganya mencecah ratusan dolar kepada paling kecil seperti epal dengan harga kurang satu dolar!

Kemudian penulis bergegas ke utara Manhattan, untuk merasai denyut nadi Times Square. Sejam mengalir dalam kesibukan Times Square yang sesak dengan pelancong ini, macam-macam boleh diperhatikan - keghairahan pengunjung berswafoto, keasyikan orang membeli-belah dan kegigihan warga kota yang memakai kostum watak animasi, adiwira atau menjadi patung demi rezeki.

Keesokan harinya, sengaja penulis keluar pagi, bersesak dengan orang yang hendak pergi kerja. Lokasi sasaran ialah Jambatan Brooklyn. Ia boleh diakses dari belah Brooklyn atau Manhattan. Kedua-duanya menawarkan pemandangan yang cantik. Namun jika anda memilih berjalan dari Brooklyn, anda boleh menikmati pemandangan kota New York.

Penerokaan penulis hari itu dimulakan dari belah Manhattan tetapi oleh kerana tidak meneliti peta subway dengan baik, maka jauhlah kena berjalan. Bagaimanapun ia tidak sia-sia. Menyusuri jalan tepi di tepi Sungai East yang agak sunyi itu, memberi pengalaman baru. Berkali-kali berhenti untuk bertanya cara untuk sampai ke pintu gerbang memasuki jambatan itu.

Tidak rugi berjalan selama sejam kerana Jambatan Brooklyn yakni tertua di Amerika Syarikat, memang unik. Jambatan berusia 135 tahun itu terpelihara dengan baik, masih menjalankan fungsinya dan menjadi tumpuan pelancong. Kalau larat, boleh menyusuri sepanjang jambatan sejauh 1.8 kilometer sama ada ke Brooklyn atau Manhattan. Boleh juga jalan separuh dan patah balik. Cuma pastikan anda berada di lorong pejalan kaki dan tidak menceroboh laluan basikal.

Walaupun bersendirian, penulis tidak sunyi, ada saja rakan pelancong yang sudi berbual dan berjalan sama-sama. Ia boleh dilawati sepanjang masa tetapi ramai berpendapat senja adalah waktu paling cantik. Dari sini anda boleh melihat Jambatan Manhattan dan kalau cuaca cerah, berpeluang juga untuk nampak Patung Liberty.

Selepas puas di Jambatan Brooklyn barulah penulis meninjau seni bina bangunan dewan bandaraya, mahkamah dan berhenti sebentar melayan WiFi di Washington Square Park. Sebenarnya banyak taman kecil di New York yang menawarkan Wi-Fi percuma.

Siapa sangka, dalam perjalanan pulang ada rezeki yang menanti. Landasan subway yang penulis naiki rupanya mengalami masalah dan ratusan penumpang terkandas. Keadaan jadi kecoh, ramai panik kerana rata-rata penumpang adalah pelancong. Selepas menunggu lebih sejam, akhirnya penulis ambil keputusan perlu ambil subway lain dan berhenti di Stesen Flushing Avenue. Dalam peta, tidak jauh dari Morgan Avenue.

Dugaan bertambah kerana hujan lebat kala tiba di stesen dan penulis tidak tahu arah untuk balik ke bilik. Maka bermulalah sesi bertanya tanpa henti. Ramai yang baik hati, cuba membantu. Malah pemilik kedai melukiskan peta untuk penulis, malangnya tidak jumpa jalan yang dicari.

Panik juga kerana dalam tempoh dua jam penulis perlu berada di lapangan terbang. Hujan lebat membataskan langkah. Selepas berulang kali berulang alik, penulis memberanikan diri memasuki lorong kecil yang sunyi. Rupanya lorong tidak bernama itulah laluan untuk balik ke penginapan. Syukur.

Selepas mengambil beg, sekali lagi perlu ke stesen subway itu. Melihat penulis mengheret beg, seorang wanita Mexico menahan lif dan menunggu penulis. Dia juga yang menunjukkan di stesen mana perlu berhenti untuk mengambil tren ke lapangan terbang. Di lapangan terbang pula, apabila melihat penulis tercari-cari arah, seorang petugas wanita melambai dan menghantar penulis sampai ke terminal.

Rupanya seronok juga berkelana solo walaupun banyak cabarannya. Dalam majalah penerbangan penulis terjumpa ayat: Jangan takut untuk meneroka, di dunia ini tiada orang asing, yang ada hanyalah teman yang kita belum jumpa!

Disiarkan pada: October 14, 2018 @ 4:00am
d