ekspresi

Paksa diri makan durian

Oleh Aniza Zainudin

BUAH tangan yang sering dibawa kakaknya apabila pulang dari Malaysia adalah gula-gula durian. Kali pertama merasa manisan itu, Satoko Nishihama berpendapat durian bukanlah makanan yang menarik untuk dicuba.

Mengahwini lelaki yang juga pencinta durian, membuatkan wanita berusia 39 tahun ini ‘terpaksa’ menjamah raja buah berkenaan. Kali pertama kali menjamah durian segar dari ladang, Satoko mula menggemari buahan tempatan berkenaan. Lagi menarik, setiap kali tiba musim durian, pasangan ini tidak ketinggalan menyertai bufet durian.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke Malaysia buat pertama kalinya pada 2001 kerana menziarahi kakak yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana di universiti tempatan selama dua tahun.

Boleh dikatakan sepanjang tempoh pengajian itu, saya kerap berkunjung ke Malaysia tetapi selalunya beberapa hari sahaja setiap kali bercuti.

Apabila berkahwin pada 2012, saya dan suami berpindah ke Malaysia untuk memulakan kehidupan baru di negara ini.

Pengalaman bekerja di Nepal selama 10 tahun membuatkan saya merancang untuk menetap di negara asing berbanding tanah air sendiri.

Oleh kerana suami memiliki lesen sebagai penjaga, kami lihatnya peluang untuk berkhidmat di Malaysia. Tambahan pula, ramai warga Jepun yang bersara memilih menghabiskan masa emas mereka di Malaysia.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum ini?

Saya mengenali Malaysia menerusi teman sepengajian kakak yang berasal dari negara ini menyambung pelajaran di Jepun.

Melalui teman itu, saya dapat berasakan makanan Malaysia banyak dipengaruhi elemen kelapa kerana pernah dijamu hidangan sate dan kuah kacang.

Apabila menziarahi kakak di Malaysia, saya berkesempatan untuk berkunjung ke destinasi menarik seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan berpeluang menikmati keseronokan meniti laluan kanopi di sana.

Saya juga berpeluang bercuti ke Pulau Redang yang memiliki pantai dan laut yang sangat indah.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Sebenarnya saya tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang berada di Malaysia kerana fasiliti dan infrastruktur yang disediakan seperti di tanah air sendiri.

Cuma saya adalah individu yang gemar berjalan untuk ke lokasi berdekatan, malah ia menjadi amalan sewaktu berada di Nepal tapi di Malaysia, kemudahan untuk pejalan kaki agak terhad.

4. Pengalaman menarik ingin dikongsikan sepanjang berada di Malaysia?

Saya berasa mudah dan gembira dalam memikul tanggungjawab sebagai ibu sepanjang berada di Malaysia kerana penduduk di sini lebih mesra kanak-kanak dan ibu mengandung.

Setiap kali saya bersama anak ke pasar raya, pasti ada individu baik hati tolong bukakan pintu, malah memberikan tempat duduk ketika menaiki pengangkutan awam. Mungkin ia adalah perbuatan normal buat rakyat Malaysia, namun saya sangat menyukainya.

5. Lokasi pilihan anda?

Pulau Pinang kerana saya dan suami pernah menetap di sana selama setahun pada awal kedatangan kami ke Malaysia.

Meskipun Pulau Pinang adalah pulau kecil, ia mempunyai tarikan tersendiri apabila di bahagian timur lebih membangun, manakala di barat pulau pula kaya dengan kehijauan dan alam semula jadi.

6. Sajian kegemaran anda?

Durian adalah kegemaran saya, selain roti canai, car kuetiau dan mi kari kepala ikan.

7. Malaysia pada mata anda?

Memiliki ramai teman tempatan membuatkan saya dan keluarga semakin menyenangi kehidupan di sini, malah merancang untuk tinggal lebih lama tetapi ia bergantung pada pekerjaan suami serta kesihatan keluarga di Jepun.

PROFIL

Nama: Satoko Nishihama

Lahir: 10 September 1979

Asal: Fukuoka, Jepun

Kerjaya: Suri rumah

Kediaman: Damansara, Selangor

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 7:01am
d