ekspresi

Bertaraf dunia!

Oleh Zaitie Satibi

JARAK kayuhan mencabar sejauh 130 kilometer (km), di samping trek dengan bentuk muka bumi yang menguji ketahanan fizikal dan mental membolehkan pertandingan berbasikal Shah Alam International Ride anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini, menarik penyertaan penunggang basikal tegar dari luar negara.

Dalam penganjuran kali keempat dengan kerjasama Bike Away Sdn Bhd, acara berbasikal berkenaan disertai kira-kira 1,500 peserta tempatan dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand, India, Filipina, Korea Selatan, Jepun, United Kingdom, Itali, New Zealand, Afrika Selatan, Amerika dan Australia

Program kayuhan bermula dan tamat di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dan melalui jalan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Majlis pelepasan disempurnakan Ahli Majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi dalam acara yang mempertandingkan dua kategori iaitu Endu RACE bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20-34 tahun), Lelaki Senior Master (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Kategori Endu RIDE membabitkan kayuhan santai bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20-34 tahun), Lelaki Master (35-45 tahun), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Peserta yang berjaya melengkapkan kayuhan dalam masa yang ditetapkan menerima sijil penyertaan dan pingat ‘Finisher’ atau berjaya tamatkan kayuhan, manakala 50 peserta dengan catatan masa terbaik akan menerima sijil catatan masa dan trofi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya berusaha menjadikan acara berbasikal itu sebagai bertaraf antarabangsa sejak tiga tahun lalu dengan sentiasa menambah baik sistem penganjurannya bagi membolehkan ia mencapai kualiti dunia.

“Kami gembira apabila mendapati penyertaan dari luar negara kian meningkat sejak penganjuran tahun lalu. Malah, peserta yang datang dari luar negara juga bukan calang-calang kerana rata-ratanya adalah penunggang profesional.

“Ini membuktikan acara berbasikal ini walaupun dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi ia mampu setanding dengan acara berbasikal lain yang sudah ternama,” katanya.

Katanya, penganjuran acara kayuhan itu juga selaras dengan usaha untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan dan disebabkan itu pihaknya amat komited melaksanakan pelbagai program berbasikal yang kini menjadi trend golongan belia, selain mendapat sambutan pelbagai peringkat usia.

Shah Alam International Ride juga antara produk pelancongan sukan yang diperkenalkan MBSA selain pertandingan berbasikal kriterium dan kayuhan santai dijalankan pada sambutan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam yang diadakan setiap dua minggu sekali serta pelbagai kempen kesedaran.

“Menerusi pelbagai acara berbasikal ini, kami mahu memperkenalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal. Ia bersesuaian dengan usaha MBSA untuk mempromosikan laluan basikal yang sudah diwujudkan di beberapa laluan awam bagi menggalakkan aktiviti berbasikal dengan selamat dalam kalangan warga Shah Alam,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 8:03am
d