ekspresi

Musim tengkujuh cabaran getir

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Penganjuran acara berbasikal pada musim tengkujuh pasti memberikan cabaran tersendiri buat peserta kerana selain meredah hujan, mereka juga mengharungi trek yang basah.

Namun, bagi penunggang basikal tegar faktor cuaca tidak menghalang mereka melepaskan gian mengayuh basikal. Bahkan mereka berpendapat semakin mencabar sesuatu pertandingan, ia lebih memberikan kepuasan!

Meskipun basah bermandikan hujan, 1,250 peserta acara De Perasing Ride 2018 berjaya menamatkan kayuhan sejauh 90 kilometer (km) bagi kategori ‘road bike’ dan 50km untuk ‘mountain bike’.

Program kali kedua anjuran LPT2 bersama Kerajaan Negeri Terengganu ini adalah acara Terbuka Malaysia yang turut disertai 55 peserta dari Thailand, Singapura dan Brunei. Ia bermula serta berakhir di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Lebuhraya Pantai Timur ll (LPT2), baru-baru ini.

Pengurus program, Ahmad Sabri Mustaffa berkata, program berkenaan adalah kayuhan komuniti Kemaman, Terengganu, tetapi pada masa sama menawarkan perlumbaan yang membolehkan pelumba berentap untuk merebut kemenangan.

“Sebanyak 12 kategori dipertandingkan dengan tujuh kategori bagi acara ‘road bike’, manakala selebihnya acara ‘mountain bike’ yang menawarkan hadiah keseluruhan wang berjumlah RM90,000.

“Peserta yang menyertai acara kali ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu di antara 13 hingga 60 tahun.

“Menariknya kami menerima penyertaan wanita yang menggalakkan iaitu 60 peserta dalam kategori ‘road bike’,” katanya.

Selain itu, katanya, julung kalinya acara kayuhan diadakan di LPT2 kerana kebiasaannya aktiviti berkenaan dijalankan di jalan raya bandar.

Jelasnya, pendekatan itu bertujuan memperkenalkan Hentian R&R Perasing kepada masyarakat umum kerana sebelum ini kawasan berkenaan lebih terkenal dengan kisah negatif.

“Sejak beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, hentian ini sepi kerana kurang menjadi pilihan pengguna lebuh raya untuk singgah disebabkan perkara itu.

“Selepas dua kali mengadakan program ini, kami sudah nampak perubahan positif apabila semakin ramai yang singgah di sini terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.

Berkata lanjut, hentian berkenaan bukan saja luas, malah lengkap dengan kemudahan asas dan memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Tambahnya, jumlah peserta pada tahun ini meningkat 500 orang berbanding 1,000 peserta tahun lalu dan berhasrat menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan di LPT2.

Disiarkan pada: December 9, 2018 @ 7:00am
d