ekspresi

Fuji oh! Fuji

Oleh Hanim Mohd

Hati sedikit goyah apabila pengarang Jom! New Straits Times Zalina Mohd Som berulang kali memujuk menyertai ekspedisi menawan Gunung Fuji anjuran Azlee Mustafa. Katanya, dia memerlukan dua peserta saja lagi.

Selain Zalina, Nurul Manan dan Muhaini Mohamed sudah mengesahkan penyertaan. Berulang kali juga dia meyakinkan penulis mampu kerana pendakian ke Gunung Fuji tidak terlalu ekstrem. Nurul pula menunjukkan gurauan yang mengatakan Gunung Fuji sangat sesuai untuk pendaki warga emas.

Akhirnya penulis termakan juga dengan gurauan nakal Nurul dan kala bersetuju otak ligat berfikir siapa yang akan menjadi mangsa kedua. Nama Yong Yoke Lian, teman baik yang aktif mendaki muncul di minda. Tanpa banyak bicara, dia terus bersetuju menjengah gunung tertinggi di Jepun itu.

Antara kami berlima, hanya Zalina yang pernah menjejakkan kaki ke Fuji tetapi tidak sampai ke puncak kerana mengalami migrain melampau. Walaupun mahu percaya dengan kata-kata Zalina dan Nurul, namun penulis tetap membuat persiapan membina stamina ala kadar. Dek kekangan waktu, penulis hanya mampu berlatih melompat di atas trampolin mini di rumah.

Beberapa hari sebelum berlepas, ramalan cuaca di Jepun agak membimbangkan kerana Taufan Jebi dijangka melanda. Azlee yang sudah berada di sana memberi laporan cuaca dan berita terkini melalui WhatsApp. Kami sepakat membatalkan ekspedisi ini jika cuaca tidak mengizinkan. Azlee juga sudah merangka aktiviti alternatif supaya persediaan stamina kami tidak sia-sia.

Kuala Lumpur-Narita-Kawaguchiko

Walaupun pertemuan di KLIA adalah pertemuan pertama bagi sesetengah kami namun keserasian dapat dirasai. Cuaca mendung menyambut ketibaan kami di Lapangan Terbang Narita. Dari lapangan terbang, kami menaiki bas ke Stesen Kawaguchiko.

Perjalanan kami diiringi hujan yang semakin lebat apabila menghampiri Kawaguchiko. Dalam bimbang, kami tidak putus berdoa agar cuaca bertambah baik. Azlee sudah menunggu di stesen bas untuk membawa kami ke rumah tumpangan, Koe House. Di sini kami berkenalan dengan Khairul Anas Musa yang akan mengiringi kami ke Fuji bagi menggantikan Azlee yang mengalami kecederaan serius pada ligamen lututnya.

Istimewanya Koe House berdekatan dengan pusat bandar, Tasik Kawaguchiko dan Mount Fuji Panoramic Ropeway. Hati mengharapkan hujan berhenti supaya kami boleh mendaki bukit kecil menuju ke Mount Fuji Panoramic Ropeway, lebih kurang 500 meter dari tempat penginapan.

Kawaguchiko adalah antara pintu masuk ke Gunung Fuji. Bagaimanapun keinginan untuk memulakan ‘cabaran pertama’ terbantut kerana hujan lebat berserta angin kuat. Kami berlima berasa kagum melihat keadaan di luar. Angin kuat menerbangkan alas kaki yang agak berat di luar Koe House malah tanglung besar yang dipateri di dinding bangunan pun terbuai-buai ditiup angin.

Memandangkan rancangan penyesuaian iklim terpaksa dibatalkan, kami yang lengkap memakai baju hujan menuju ke kedai serbaneka Family Mart berdekatan. Angin masih kuat tetapi kami tidak merasai bahayanya malah seronok berlari-lari anak dari kedai ke kedai dan menikmati rasa ‘ditiup’. Ketika ini, kami tidak menyedari tiupan angin yang kuat itu adalah taufan!

Kami berteduh di kedai menjual alat mendaki dan membelek hampir kesemua barang di situ sementara menunggu keadaan reda. Hanya selepas tiba semula di Koe House dan melihat alat pendingin hawa di bangunan seberang jalan terkulai dari dinding, baru kami sedar betapa bahayanya keadaan tadi. Syukur kami tidak mengalami apa-apa yang tidak diingini.

Cuaca baik, berita kurang baik

Keesokan harinya, cuaca sangat baik dengan langit biru dan matahari bersinar terang. Kami sangat teruja, perasaan kami seperti pada pagi raya kerana tanpa sengaja masing-masing mengenakan pakaian mendaki yang berwarna-warni.

Yoke Lian ke Family Mart untuk membeli onigiri. Katanya, dia perlu menjamah nasi sebelum memulakan pendakian. Semasa sarapan bertalu-talu mesej daripada keluarga dan sahabat handai bertanyakan keadaan kami, rupa-rupanya rata-rata media melaporkan kemusnahan akibat Taufan Jebi. Keadaan di Kawaguchiko tidaklah seteruk Osaka. Jenuh kami meyakinkan keluarga di Malaysia yang kami tidak terbabit dan berada dalam keadaan selamat.

Selepas sarapan, kami bersiap sedia untuk ke stesen bas. Di tingkat bawah, dua orang pendaki memberitahu pendakian ke Fuji dibatalkan sehingga dimaklumkan kelak untuk kerja pembersihan akibat angin ribut semalam. Kekecewaan tidak dapat digambarkan.

Walaupun tidak dapat menyembunyikan kebimbangan rancangan mungkin dibatalkan terus, namun masing-masing masih menaruh harapan dengan tidak putus-putus memanjatkan doa.

Pelan B

Untuk mengubat kekecewaan, kami menempah tiket Saiko Seeing Bus (Green Line) dan menyertai pelancong lain. Kami kelihatan cukup janggal dengan pakaian lengkap mendaki, hanya tongkat trek yang tiada, Zalina mencelah.

Perhentian pertama kami adalah Saiko Iyashino-Sato Nenba, perkampungan tradisional yang musnah dek taufan pada 1966. Sebanyak 20 rumah berbumbung jerami dibina semula di tempat asal untuk pelancongan. Berlatarbelakangkan Gunung Fuji, kampung ini memang indah dan rumah di sini dijadikan galeri seni, muzium dan juga kedai cenderahati menjual barang-barang tempatan.

Kimono juga boleh disewa dengan harga jauh lebih murah jika dibandingkan di Tokyo. Nurul, Zalina dan Muhaini tidak melepaskan peluang memperaga kimono sewaan mereka keliling kampung.

Perhentian kami seterusnya adalah Gua Angin Fuji Fugaku. Suhunya yang dingin sepanjang tahun menyebabkan penduduk menjadikan ia sebagai peti sejuk pada masa lampau. Ia dijadikan tempat simpanan antaranya benih tanaman dan ulat sutera. Hasil tinggalan lahar pada dinding gua akibat letusan gunung berapi bertahun yang lampau membentuk hasil seni alam yang sangat menarik.

Dari Gua Angin Fuji Fugaku, kami berjalan merentasi sebahagian daripada Hutan Aoki Gahara yang dikenali sebagai ‘Suicide Forest’ (hutan bunuh diri) untuk ke Gua Ais Narusawa. Secara automatik kami menjadi senyap dan mengorak langkah dengan berhati-hati.

Selepas 10 minit, kami tiba di gua ais berkenaan yang agak sukar untuk dijejaki. Keadaan didalamnya gelap dan ada ketikanya kami terpaksa merangkak. Terdapat formasi ais didalamnya dan suhu puratanya adalah tiga darjah Celsius sepanjang tahun. Lewat petang kami tiba di Stesen Bas Kawaguchiko. Berdasarkan cuaca dan aktiviti yang dilakukan hari ini, kami optimis yang laluan ke Gunung Fuji akan dibuka esok.

Harapan berbunga

Keesokan paginya kami mendapat berita gembira yang laluan ke Fuji dibuka semula. Di stesen bas ramai pendaki beratur untuk menaiki bas ke Stesen ke-5 Laluan Fuji Subaru iaitu titik permulaan pendakian. Perjalanan selama 45 minit ini membuahkan pelbagai perasaan pada penulis. Teruja ada, takut pun ada, penulis tidak dapat bayangkan bentuk pendakian yang akan ditempuhi.

Ada beberapa laluan yang boleh digunakan, kami memilih Trek Yoshida. Sasaran pendakian pagi ini adalah Stesen ke-8 Gunung Fuji. Kelajuan pendakian mengikut kemampuan masing-masing. Sesekali, Anas menunggu penulis dan Muhaini yang agak ketinggalan untuk memberi penerangan dan menunjuk arah. Pendakian tidaklah terlalu sukar, namun ada ketikanya stamina penulis diuji. Barulah timbul rasa kesal kerana tidak menyertai Yoke Lian yang berlatih di Bukit Saga, Cheras hampir saban minggu.

Selepas melepasi stesen ke-6 dan ke-7, suhu menjadi semakin sejuk, tanda akan hujan. Hujan air batu yang kelihatan seperti busa polistirena halus mula turun. Mujur ia tidak berpanjangan. Pada masa ini, trek sudah berubah daripada tanah gunung berapi yang peroi kepada ketulan batu-batu.

Kekuatan mental dan fizikal penulis teruji namun kehadiran pendaki warga emas yang berambut putih menguatkan semangat untuk terus melangkah. Akhirnya penulis tiba ke destinasi pada jam 4.15 petang. Lega dan gembira rasanya atas pencapaian ini. Zalina sudah lama menunggu untuk sama-sama berjalan ke rumah penginapan. Yoke Lian menyambut penulis dengan secawan mi segera panas.

Anas mencadangkan kami memulakan pendakian pada jam 12.30 malam supaya tiba di puncak Fuji sebelum matahari terbit pada jam 4.30 pagi. Tapi pada jam 8 malam, kami dihadiahkan hujan lebat dan angın kuat. Doa untuk mendapat cuaca yang baik tidak termakbul namun kami tetap bersiap untuk mendaki. Hujan yang semakin lebat menyebabkan beberapa orang pendaki berpatah balik.

Anas memberi dua pilihan sama ada meneruskan rancangan atau tunggu hingga hujan berhenti. Kami ambil pilihan kedua dan apabila pada jam 3 pagi cuaca masih sama, kami dengan berat hati membatalkan rancangan kerana tidak mahu mengambil risiko.

Sekitar jam 6 pagi, kami mula turun dan perjalanan ini mengambil masa tiga jam untuk sampai ke stesen ke-5. Di sana kami melihat beberapa perkara yang tidak diingini - seorang gadis patah kaki dan seorang lelaki warga emas tempatan dalam keadaan kebingungan.

Syukur, kami selamat walaupun sedikit kecewa. Dalam diam, hajat yang tidak kesampaian itu membakar semangat diri. Fuji kau tunggu aku datang lagi...

Anda ada cerita perjalanan atau percutian yang hendak dikongsikan dengan pembaca Metro Ahad? Apa tunggu lagi, kirimkan cerita menarik anda kepada kami di metahad@hmetro.com.my atau laila@hmetro.com.my.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 4:30am
d