ekspresi

Parkour beri kesan positif [METROTV]

Oleh Hafiz Ithnin

SETIAP pergerakan dilakukan penuh strategi, berhati-hati dan paling utama perlu ada keberanian melakukannya. Jika satu daripadanya luntur ketika beraksi, pasti kecederaan menanti!

Parkour adalah seni pergerakan badan yang mula mendapat sambutan di negara ini terutama dalam kalangan muda.

Jika dahulu dilihat sebagai aktiviti yang sengaja mencari pasal untuk mencederakan diri, kini persepsi itu berubah sama sekali.

Bukan mudah untuk seseorang menguasai teknik parkour kerana faktor kecergasan fizikal dan kesediaan mental menghitung kebarangkalian kesan setiap pergerakan.

Disebabkan itu latihan kecergasan khas terutama membabitkan kekuatan fizikal secara keseluruhan amat diambil kira dan sekali gus ia memberi kesan yang positif kepada peminatnya untuk mempunyai gaya hidup sihat.

Mungkin ada pembaca tertanya-tanya atau tidak pernah mendengar mengenai seni yang istimewa ini.

Parkour adalah disiplin latihan menggunakan pergerakan berlandaskan latihan berhalangan dalam ketenteraan.

Orang yang terbabit dalam latihan ini mempunyai satu sasaran iaitu bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa menggunakan alat bantuan dengan cara paling pantas dan cekap.

Latihan parkour membabitkan larian, memanjat, melompat, bergayut, berguling, merangkak dan lain-lain yang dirasakan perlu mengikut keadaan.

Tidak sekadar itu, parkour juga memerlukan pelaku mempunyai pergerakan pantas ketika beraksi kerana semakin pantas pergerakannya, semakin menonjol kebolehan individu itu menguasai seni pergerakan berkenaan.

Menyelak sejarah kewujudannya, ia dipercayai dimulakan di Perancis oleh Raymond Belle dan dikembangkan oleh anaknya, David Belle pada sekitar 1980-an.

Pergerakan yang asalnya dilihat mempunyai elemen seni mempertahankan diri ini mula berkembang di Eropah pada 1990-an apabila aksi itu menjadi tontonan yang menarik perhatian umum dalam platform media massa.

Presiden Persatuan Parkour Selangor, Marcus Lim menjelaskan, di dalam dunia parkour ada satu lagi aktiviti yang bergerak seiring dengannya, iaitu ‘freerunning’ yang menjurus kepada ekspresi seni ketika melakukan lompatan.

Jelasnya, parkour adalah aktiviti pergerakan melepasi halangan pegun dengan menggunakan teknik asas seperti merangkak, melompat dan mendarat dengan selamat tanpa membabitkan kemahiran seni lain.

“Bagi freerunning, individu akan menunjukkan seni atau kemahiran seperti memusingkan badan ketika melakukan lompatan atau pendaratan yang lebih memberi ekspresi kepada penonton.

“Kita juga mempercayai pengasas kedua-dua aktiviti ini berbeza iaitu David Belle untuk parkour dan freerunning diasaskan Sebastian Foucan,” katanya.

Marcus berkata, di Malaysia aktiviti ini sudah lama diikuti penggemarnya seiring perkembangan di Barat.

Bagaimanapun, katanya, ia berkembang secara agresif selepas wujudnya pelbagai paltform media sosial.

“Di Malaysia kita mempunyai komuniti parkour yang ramai sekitar 8,000 orang. Di Selangor dan Kuala Lumpur saja 1,000 hingga 1,500 orang yang aktif.

“Parkour adalah aktiviti rekreasi yang mampu memberi kesan positif kepada tubuh.

“Setiap individu yang melakukannya perlu mempunyai keseimbangan badan, kecergasan fizikal dan mental yang baik.

“Disebabkan itu, saya yakin jumlah pengikutnya akan semakin bertambah di Malaysia pada masa depan,” katanya ketika berlangsung Acara

IQ Parkour Malaysia Jam 2018.

Acara itu yang diisi dengan pelbagai agenda membabitkan aktiviti parkour dan freerunning dijangkakan berjaya menarik lebih 300 peminat aktiviti berkenaan dari Malaysia dan luar negara.

Antara aktiviti dilaksanakan ialah kelas mempelajari teknik parkour, pertandingan parkour dan freerunning dan aktiviti bertukar teknik latihan dengan pakar dari luar negara.

Di luar negara, aktiviti parkour dan freerunning mempunyai lokasi khas bagi penggiat menggilap bakat terutama untuk menyertai kejohanan di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Marcus berkata, di Malaysia kebanyakan penggiat pakour menjalankan latihan mereka di lokasi yang dirasakan sesuai seperti di taman rekreasi memandangkan ketika ini tidak ada taman atau tempat khas diwujudkan untuk komuniti itu beraksi.

“Kami ingin berbincang dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk mengambil kira aktiviti ini yang semakin berkembang di Malaysia dengan menyediakan lokasi khas untuk mereka berlatih dan menyerlahkan bakat masing-masing.

“Perkara ini dapat membantu Malaysia melahirkan bakat parkour yang menjadi atlet mewakili negara dalam kejohanan di luar negara pada masa depan. Ketika ini, kebanyakan mereka hanya bertanding di peringkat tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti rekreasi itu mampu menjadi satu sukan ekstrem baharu, katanya, difahamkan di dalam Kejohanan Sukan Olimpik 2024 di Paris, parkour antara sukan

baharu yang bakal diperkenalkan.

“Jika mempunyai lokasi khas untuk berlatih sudah tentu kita dapat menghantar wakil Malaysia bertanding dalam acara parkour di Paris kerana menerusi pemerhatian saya, kita mempunyai ramai bakat yang baik dalam aktiviti ini.

“Di peringkat kami pula, persatuan ingin mewujudkan satu silibus pembelajaran khas parkour yang boleh digunakan untuk menggilap bakat.

“Walaupun ramai yang menjadikannya sebagai aktiviti rekreasi tetapi kalau boleh kami mahu mereka menjadi atlet,” katanya.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 7:18pm
d