ekspresi

Kasih ibu bina harapan

Oleh Zaitie Satibi

Minat terhadap bidang masakan bermula sejak kecil. Saat itu, Norfazlin Abd Ghafar kagum dengan kemahiran ibunya di dapur dalam menyediakan pelbagai hidangan buat seisi keluarga. Ini mendorong wanita berkenaan belajar memasak dengan ibunya sehingga mahir menyediakan beberapa juadah.

Kemahiran yang dipupuk sejak kecil itu terus berkembang dan mendorong Norfazlin, 35, melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Seni Kulinari di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun sebaik memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tamat pengajian pada 2005, Norfazlin membuka restoran berasaskan masakan Thai di negeri kelahirannya iaitu Negeri Sembilan. Malah, pada usia awal 20-an itu juga Norfazlin mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

“Sewaktu masih belajar lagi saya bercita-cita untuk memiliki perniagaan makanan dan bertekad membuka restoran selepas tamat pengajian. Selepas berusaha keras, saya berjaya membuka tiga restoran.

“Sokongan keluarga sangat penting. Ibu, Noraini Shamsudin, 73, yang menyedari minat menggalakkan saya menunjukkan kemahiran,” katanya.

Bagaimanapun, perniagaan dibina itu hanya bertahan empat tahun akibat tiada ilmu berniaga menyebabkan semua kedai makan terpaksa ditutup. Lebih malang, perkahwinan Norfazlin juga menemui kegagalan dan berpisah dengan suami berikutan sudah tidak sefahaman.

“Saya akur dengan ketentuan Ilahi apabila ujian datang bertimpa. Dalam situasi itu, ibu banyak memberi nasihat dan sokongan, di samping sentiasa berada di sisi supaya saya tidak terlalu sedih mengenangkan nasib.

“Dalam tempoh bergelar ibu tunggal, saya terfikir mahu jadi ibu tunggal jenis apa. Adakah saya mahu digelar janda yang sering diberi tanggapan negatif ataupun wanita yang berjaya walaupun tanpa kehadiran suami.

“Selepas berbincang dengan ibu, beliau merestui hasrat saya sambung belajar dan seterusnya bina semula perniagaan yang pernah gagal. Ini kerana, saya masih menyimpan cita-cita ingin mempunyai empayar perniagaan sendiri dalam bidang makanan,” katanya yang kemudian menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan di UiTM Puncak Alam.

Pada tahun akhir pengajian, Norfazlin bertemu jodoh dengan Mohd Fairub Che Rubi, 35, dan pasangan ini memulakan hidup baru dengan membuka perniagaan penyediaan makanan, Hanana Katering.

“Walaupun sudah bersuami semula, ibu masih memberi sokongan dan tidak henti-henti memberi semangat serta berdoa supaya terus kuat menghadapi segala cabaran dalam bidang perniagaan. Saya kemudian memperkembangkan perniagaan dengan berjinak-jinak dalam perkhidmatan pakej lengkap perkahwinan termasuk butik pengantin, andaman dan solekan.

“Saya optimis terhadap cabang baru dalam perniagaan ini kerana pakej yang ditawarkan lengkap untuk memenuhi kehendak pelanggan selain tawaran harga menarik bagi memberi pengalaman terbaik buat pasangan pengantin meraikan hari bahagia mereka,” katanya.

Katanya, selepas syarikatnya yang kemudian dinamakan Hanana Group Sdn Bhd semakin besar, beliau mengupah kakaknya, Zurainiazura, 48, untuk menjaga bahagian kewangan. Malah, kakaknya ketika itu bergelar akauntan di syarikat swasta ternama sanggup meletak jawatan bagi membantu Norfazlin.

“Saya hargai apa yang kakak lakukan (berhenti kerja), malah saya yakin dengan kemahirannya menguruskan kewangan dapat memantapkan lagi perjalanan syarikat. Ini kerana, saya tidak mahu kegagalan lalu berulang.

“Kakak memang banyak membantu yang menjadikan urusan keluar masuk duit lebih teratur dan bersistem. Kakak tegas sehingga saya menjadi lebih berdisiplin, malah beliau juga bantu mengawasi operasi syarikat jika saya bercuti,” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 6:03am
d