ekspresi

Kilauan neon Guangzhou

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

APA yang menarik di Guangzhou? Soal penulis kepada seorang teman. Katanya, jika bukan untuk membeli-belah, ia bukanlah destinasi pilihannya untuk melancong. Namun penulis yakin, tentu bandar yang popular dengan beraneka pusat perubatan ini ada keistimewaan tersendiri.

Berbekalkan keyakinan itu, akhirnya penulis sampai ke Guangzhou yang dahulu dipanggil Canton. Mendengar nama lamanya, penulis membayangkan bandar ini kaya bangunan lama yang bersejarah. Namun, sangkaan itu terpadam sebaik tiba kerana Guangzhou yang terbentang di depan mata adalah bandar moden yang pesat berkembang.

Dalam kunjungan singkat itu, tidak banyak lokasi yang boleh dilawati. Namun, penulis dan beberapa rakan sempat meninjau Sungai Pearl yang sangat panjang - lebih 2,000 kilometer dan sungai ketiga terpanjang di China. Sebenarnya ia terdiri daripada empat sungai yang bercantum di Guangzhou (Sungai Xi, Liuxi, Bei dan Dong) dan mengalir sejauh 70 kilometer yang berakhir di Laut China Selatan.

Pada waktu siang, bolehlah berjalan di Koridor Pemandangan sepanjang 23 kilometer di tebing Sungai Pearl. Ia sebenarnya daik yang dibina supaya pengunjung boleh menghayati pemandangan siang.

Di sinilah terletaknya bangunan bersejarah dan artistik seperti Akademi Tentera Huangpu (akademi ketenteraan pertama di China), Dewan Konsert Xinghai, Tapak Sejarah Shamian (yang mempunyai ratusan bangunan dengan seni bina berbeza) dan Limbungan Tianzi yang pernah digunakan untuk menyambut pegawai kerajaan berabad lalu.

Kini, ada 10 jambatan dibina merentasi Sungai Pearl yang bukan saja jalan penghubung malah sebagai daya tarikan pelancong. Mana tidaknya, ia dihiasi dengan lampu neon berwarna-warni yang tampak seperti pelangi menerangi sungai.

Tidak seperti sungai lain yang menawarkan pemandangan alam semula jadi, Sungai Pearl mempertaruhkan suasana moden dan ternyata Guangzhou boleh berbangga dengan bangunan tinggi termasuklah hotel terkemuka dan kompleks beli-belah.

Kata seorang teman, pemandangan malam di sini lebih istimewa. Jadi, kami terus bersetuju apabila dicadangkan untuk menikmati keistimewaan itu dengan menaiki cruise. Sampai di sini, kami terkejut melihat ratusan orang berbaris untuk membeli tiket. Rupanya itu suasana biasa pada hujung minggu. Kami terlupa China adalah negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia!

Hampir saja kami putus asa melihat panjangnya barisan. Mujurlah pihak pengurusan membuka banyak kaunter, maka semua urusan berjalan pantas. Seronok juga dibelai angin sungai pada waktu malam. Ruang dalam kapal kecil agak luas, di lantai pertama ada meja makan yang terhidang sepinggan buah-buahan dan kacang supaya penumpang boleh menikmati pelayaran secara santai.

Melihat ramainya orang naik ke dek atas yang sempit, kami cuba juga menyelit. Masing-masing sibuk merakam gambar dalam keadaan bot yang teroleng-oleng. Hanya selepas beberapa minit, kami memberi isyarat untuk turun, masing-masing berasa mual dibuai ombak sungai dan bau minyak petrol.

MENARA PINGGANG RAMPING

Dari dalam bot kami nampak Menara Guangzhou setinggi 600 meter (112 tingkat) dengan warna pelangi yang membuatkan kami teruja. Rupanya setiap hari ada tiga persembahan cahaya bermula dari jam 6 petang hingga 10 malam.

Kalau ada masa, bolehlah singgah ke dek tinjau menara televisyen ini pada waktu siang untuk melihat pemandangan Guangzhou dari udara. Bagaimanapun kami terpikat dengan reka bentuk menara ini yang tampak berputar. Rupanya ia direka oleh Mark Hemel berinspirasikan tulang pinggul dan pinggang ramping wanita apabila memusingkan badan menoleh ke belakang.

Di bahagian yang ramping ini, diameternya cuma 30 meter. Keunikan ini menjadikannya sebagai mercu tanda penting Guangzhou. Tidak kira anda berada di sisi manapun Sungai Pearl, anda masih boleh melihat menara yang unik ini.

Di sini pengunjung boleh juga menaiki Bubble Tram (kabin kristal) yang mengelilingi menara pada ketinggian 455 meter. Bagi yang sukakan cabaran, boleh ke sini untuk mencuba terjunan dari dek Sky Drop setinggi 485 meter sama ada secara duduk atau berdiri!

Pada waktu pagi, luangkan masa mengunjungi mana-mana taman untuk beriadah menari beramai-ramai bersama penduduk tempatan. Seronok melihat golongan pertengahan usia menjaga kesihatan dengan cara yang ceria.

GODAAN SERBET MANGGA

Bagi yang mahu membeli-belah, ada banyak lokasi boleh dituju dan antara yang popular ialah Jalan Beijing sepanjang 1.5 kilometer (dari Jalan Guangwei ke Jalan Yanjiang) di pusat bandar Guangzhou. Sempat juga kami singgah ke sini, sekadar untuk merasai kesesakannya, meninjau dari utara ke selatan, timur dan barat.

Namun yang paling menarik perhatian kami ketika itu adalah kedai menjual minuman serbet mangga yang baru dibuka. Melihat gelas plastik besar yang ada di tangan pelanggan, membuatkan kami tergoda walaupun ketika itu kami berpuasa!

Mana tidaknya, sudahlah air mangganya pekat, di atasnya pula sarat dengan hirisan mangga yang kuning memikat. Kecur liur dibuatnya! Kami beli juga untuk sajian berbuka puasa dari kedai lain yang tidak ramai orang. Sedapnya, boleh beri lima bintang!

Keesokannya kami cuba pula serbet mangga daripada cawangan kedai yang baru dibuka tadi dan ternyata, rasanya lebih menggiurkan!

Kalau berkunjung ke sini, masukkan dalam aturcara perjalanan untuk melawat Masjid Huaisheng yang juga dipanggil Masjid Guangta atau Masjid Rumah Api.

Masjid yang dibina pada zaman Dinasti Tang (618-907) ini adalah antara masjid tertua di dunia. Ia dibina untuk memperingati Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘huaisheng’ bermakna ‘mengingati insan keramat’.

Seni bina China dan Arab berpadu, menjadikan ia tampak begitu istimewa. Manakala menara masjid yang berlampu dan berlubang di atasnya menjadi panduan kapal yang belayar di Sungai Zhujiang.

Selari dengan perkembangan Islam, beberapa masjid utama lain dibina termasuk Masjid Xianxian, Masjid Xiaodongying dan Masjid Haopan. Jadi kalau tidak jumpa restoran halal, solatlah di mana-mana masjid ini. Jemaahnya pasti berbesar hati menunjukkan anda kedai makan halal untuk dicuba!

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 5:30am
d