ekspresi

Kembara empat beranak

Oleh Aniza Zainudin

MERANGKA dan melaksanakan kembara bersama dua anak kecil bukan percutian mudah, apatah lagi gaya pengembaraan beg galas menjadi pilihan.

Bagi pasangan, Nurul Amirah Mohd Razali dan Azizul Azman, sama-sama berusia 33 tahun, melancong bersama anak memberi keseronokan serta kepuasan tidak terhingga.

Ini kerana mereka dapat bersama-sama menghabiskan masa berkualiti, menerokai keunikan negara asing di samping mengeratkan ikatan kekeluargaan serta menjadi memori indah untuk dikenang pada masa depan.

Sebagai suri rumah, wanita ini memiliki kesempatan untuk bersama dua anak perempuan berusia dua dan lima tahun. Manakala kesibukan kerja si suami pula membuatkan masanya agak terhad untuk keluarga. Justeru, pasangan ini menjadikan bercuti gaya pengembara beg galas sebagai aktiviti terbaik bersama anak.

Menurut Nurul Amirah, tidak dinafikan melancong bersama anak kecil sangat memenatkan malah menguji kesabaran.

“Kami memulakan projek ‘My Family Travel = Malaysian Family Travel’ sejak kelahiran Ayra (anak sulung). Pada 2014, kami menjadikan Sabah lokasi pertama bagi melaksanakan kembara bersama anak dan ketika itu, Ayra hanya berusia lima bulan.

“Berdasarkan pengalaman itu, tahun berikutnya, kami sekeluarga mengembara ke Korea Selatan dan alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Berbekalkan pengalaman ini, kami berdua mempelajari sesuatu yang baharu bagi melancarkan lagi pengembaraan keluarga termasuk barangan perlu dibawa dan dijaga bagi mengekalkan ‘mood’ si kecil.

“Bagi menguji stamina kami berdua dan juga anak, selalunya kami menjadikan negara jiran, Singapura sebagai medan ujian. Segalanya nampak mudah bila hanya bercuti dengan seorang anak. Apabila masuk anak kedua yang sifatnya agak berbeza daripada kakak, ia turut menguji emosi dan kesabaran kami.

“Sebagai ibu bapa, emosi seharusnya sentiasa stabil apabila berdepan kerenah anak,” katanya yang menyifatkan Seoul, Bandung, Hong Kong, Tokyo, Gold Coast dan Bangkok adalah destinasi mesra kanak-kanak.

Berkongsi aktiviti bersama suami sangat memudahkan Nurul Amirah merancang percutian.

Bertanggungjawab merangka perjalanan percutian manakala suami melakukan tempahan, pasangan ini sentiasa merancang atur cara yang bersesuaian dan mesra kanak-kanak.

Ketika melancong pula, tugas Nurul Amirah memegang pembawa bayi dan menunjuk arah, manakala Azizul membawa beg keperluan anak, menolak kereta sorong anak dan mengambil foto serta video.

Mengulas mengenai percutian paling menarik, wanita ini menyifatkan penjelajahan dari Johor Bahru ke Bangkok, Thailand menggunakan kereta api dan bas disempurnakan pada tahun lalu adalah pengembaraan pilihannya.

Menyenaraikan Trans Siberia sebagai destinasi pengembaraan impian, besar harapan pasangan ini supaya aktiviti dilakukan bersama dapat menyemaikan lagi kasih sayang antara mereka.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 6:00am
d