ekspresi

Pasar unik Bangkok

Oleh Farah Fakhira Mahmud

DALAM perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hati bagai dijentik-jentik untuk merasai keenakan tomyam goong - sajian kegemaran kami sekeluarga. Penulis mahu menikmati keaslian rasa tomyam di Bangkok yang menjadi destinasi percutian ‘the girls’ kali ini.

Rasa gementar pun ada memandangkan ini kali pertama kami keluar negara bertiga - hanya bersama ibu dan kakak. Namun, perasaan teruja melebihi gementar kerana kami baru saja tamat menduduki peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bagi memudahkan percutian, ibu memutuskan untuk menyertai ‘rombongan’ bersama rakan guru di sekolahnya. Setiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, pemandu pelancong sudah bersedia untuk membawa kami ke destinasi pertama iaitu Grand Palace, mercu tanda yang menjadi kebanggaan Thailand khususnya warga Bangkok.Seni binanya memang mengagumkan. Penulis dan kakak, Anis Ajirah, asyik tertanya-tanya bagaimana bangunan sebesar ini boleh disaluti emas yang berkilau-kilau dari jauh. Kami terbayangkan betapa gigihnya pekerja menyaluti setiap inci bangunan dengan kerajang emas yang nipis. Lebih memikat ialah kehadiran batu-batuan berwarna-warni yang bersinar apabila disinari cahaya.

Dibina pada 1782, ia dahulunya berperanan penting sebagai istana Raja Siam dan pusat pentadbiran kerajaan. Kompleks istana lama yang sentiasa diberikan penjagaan rapi itu kini menjadi tarikan utama pelancong dan masih menjalankan fungsi kerohanian (keagamaan) untuk seluruh rakyat Thailand.

Di dalamnya terletak Kuil Emerald Buddha iaitu tempat paling suci di Thailand. Maka, pelancong diwajibkan berpakaian sopan jika ingin masuk ke dalamnya. Namun bagi kami, cukuplah melihat dari luar, sekadar mengenal bangunan bersejarah yang memaparkan kemahiran pertukangan dan kesenian orang Thai.

Selepas mendaftar masuk ke hotel dan menyimpan bagasi, tibalah masa yang ditunggu-tunggu - makan tengah hari! Pilihan menu pertama tentulah tomyam goong. Seperti dijangka, ia memang enak dan memenuhi selera kami. Penulis sempat berbisik pada ibu untuk mencari resipi supaya kami boleh menyediakan tomyam dengan rasa seenak begini.

Destinasi seterusnya ialah pasar segar Or Tor Kor dan kami mempunyai 30 minit untuk meninjau kawasan ini. Ibu terlebih seronok melihat pelbagai hasil tani segar dan murah dijual di situ. Melihat keceriaan wajah ibu, penulis mengagak, kalau dibenarkan mungkin ada yang hendak dibawa pulang terutama buah-buahan yang memang menarik hati.

Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki bot menyeberangi Sungai Chao Phraya untuk ke pasar minggu Chatuchak. Tidak dapat dibayangkan betapa besarnya pasar minggu ini. Padanlah ibu saudara asyik menyarankan kami ke situ jika mahu mendapatkan cenderahati, pakaian, barangan perhiasan atau aksesori. Malahan, perabot rumah pun ada!

Berulang kali ibu berpesan supaya tidak rambang mata, beli sekadar yang perlu saja untuk kenang-kenangan. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kami tersasar daripada jadual.

Kami akhiri hari pertama dengan makan malam di restoran halal yang menyajikan masakan India. Hampa juga kerana penulis mahu rasa sebanyak mungkin sajian unik Thai. Namun, kami bersyukur kerana sajian yang dihidang tidak kurang enaknya.

Matahari Saraburi

Pada hari kedua kami bangun seawal jam 6 pagi kerana perjalanan untuk ke ladang bunga matahari di Saraburi yang jauhnya 110 kilometer, memakan masa dua jam. Sebelum memulakan percutian lagi, penulis sudah beberapa kali melayari Internet mencari maklumat mengenai keindahan Saraburi. Cemburu melihat gambar pelancong dari serata dunia bergaya sakan dengan bunga matahari yang kuning menawan.

Sebaik tiba, kami bertiga berbalas senyuman riang melihat keceriaan warna bunga matahari. Perasaan ketika itu sukar diungkapkan dengan kata-kata, keindahannya memukau pandangan, apatah lagi bagi ibu yang sememangnya peminat bunga besar ini. Semua tercari-cari lokasi terbaik dan bunga paling besar untuk dijadikan teman bergambar.

Bagaimanapun, oleh kerana kami tiba sekitar jam 10 pagi, kebanyakan bunga masih ‘tunduk malu’. Puas juga kami memilih bunga yang tegak bergaya untuk dirakamkan. Penulis mahu memberikan gambar terbaik sebagai hadiah kepada ibu saudara yang menghantar kami ke KLIA. Mana tahu, dia teruja untuk datang ke sini, bolehlah penulis datang lagi bertemu ‘si cantik’ ini.

Ada sesetengah peladang menanam pokok bunga matahari pada penghujung tahun supaya keindahan bunga yang cantik ini boleh dinikmati dari November hingga pertengahan Januari. Malah mereka juga mengadakan pesta bunga matahari pada musim ia kembang sepenuhnya.

Selain berpeluang bergambar sepuas hati, pelancong juga boleh membeli biji bunga matahari dan makanan ringan lain sebagai kudapan di dalam van. Penulis tertarik melihat betapa kreatifnya penjual di sini membungkus biji bunga matahari, umpama kon comel, sesuai dibawa pulang sebagai ole-ole yang enak dan ringan.

Kami seterusnya melawat pasar Birder’s Lodge Farmer, tempat mendapatkan barangan tempatan yang segar. Pasar ini unik kerana ia terletak dalam bangunan kayu bersalut tumbuhan menjalar yang menghijau. Ia umpama pasar butik yang menjual pelbagai hasil tani seperti tembikai, avokado, limau, sayur dan buah-buahan. Dijual juga kopi tempatan, madu dan pes cili yang boleh dibawa pulang sebagai buah tangan.

Lokasi seterusnya iaitu Primo Piazza membuatkan kami dan pengunjung lain terasa bagai berada di Itali. Primo Piazza dibina dengan meniru kampung lama di Tuscany yang memaparkan kecantikan seni bina bangunan dan taman bunga. Di sini juga anda berpeluang untuk bergambar dan memberi makan kepada alpaka! Kami juga ambil peluang untuk ke ladang strawberi yang berada tidak jauh dari Primo Piazza.

Gerai landasan

Hari ketiga kami di Bangkok bermula dengan sarapan di Pasar Maeklong. Pasar itu terkenal kerana ada laluan kereta api yang sangat hampir dengan pasar. Siren akan dibunyikan apabila kereta api semakin menghampiri dan pengunjung dapat menyaksikan penjual akan menutup gerai dengan menarik keluar barangan mereka dari landasan. Kami menaiki kereta api berkenaan dan berhenti di Lat Yao.

Apabila melalui kawasan pasar, kereta api akan bergerak perlahan-lahan dan ia menjadi tarikan pelancong untuk mengambil gambar. Sebenarnya Pasar Maeklong sudah wujud sejak 1905 dan uniknya, peniaga menjalankan urusan jual beli di atas landasan! Laluan kereta api itu dibina untuk memudahkan penduduk kampung nelayan memasarkan hasil tangkapan dan menjual pelbagai barangan. Pasar itu terus beroperasi walaupun kerajaan membina landasan baru merentasi kawasan pasar. Memang unik.

Seterusnya kami menaiki van untuk menuju ke Pasar Terapung Damnoen Saduak. Pelancong boleh menaiki bot dan melalui sepanjang terusan untuk melihat pelbagai cenderamata yang menarik. Penulis tertarik dengan kemahiran peniaga di atas bot yang boleh berniaga, memasak sambil mengemudi bot. Macam-macam cara digunakan untuk menarik perhatian pengunjung. Peniaga akan menarik bot yang kita naiki supaya mendekati bot mereka supaya pengunjung berpeluang melihat barangan yang dijual dengan lebih dekat.

Selepas selesai menunaikan solat jamak dan makan tengah hari, kami ke Kem Gajah Chang Puak. Pelbagai aktiviti menarik ada di situ termasuk menunggang gajah selama 30 minit dan memberi makan anak harimau. Teringat pengalaman ketika kecil, penulis dan sepupu menunggang pak belalai. Bimbang terjatuh, penulis memeluk erat pinggang pakcik pengendali tunggangan berkenaan dan ia menjadi bahan gurauan sampai sekarang.

Kami singgah di Platinum Mall yang menjual pelbagai fesyen terkini merangkumi pakaian, tas tangan, kasut dan pelbagai barang kemas. Pada sebelah malam pula, kami bebas melakukan aktiviti sendiri. Sempat juga singgah di pasar malam. Geli hati apabila berdepan kesukaran berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Masing-masing tidak faham apa yang diucapkan. Begitupun, jual beli tetap berjalan lancar dan semuanya meninggalkan cerita manis untuk dikenang.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 7:00am
d