ekspresi

Sonamu lahir jaguh muda

Oleh Hafiz Ithnin

BAGI semua sukan, pendedahan peringkat awal sangat penting bagi membolehkan seseorang atlet bukan saja berpengalaman malah terdedah secara taktikal.

Pendedahan itu penting bagi memantapkan kemahiran dan semangat berdasarkan pengalaman yang dikutip sejak kecil.

Begitu juga sukan berbasikal yang memerlukan generasi pelapis bagi meneruskan perkembangannya di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Setiap penunggang basikal profesional pasti meletakkan impian mewakili negara sekali gus beraksi di pentas antarabangsa.

Nama seperti penunggang basikal profesional kelahiran Perancis, Julian Alaphilippe, penunggang Sepanyol, Alejandro Varverde dan atlet kelahiran Slovakia, Primoz Roglic pastinya menjadi menjadi idola buat semua atlet berbasikal.

Atas semangat untuk mengharumkan nama negara, satu inisiatif dalam mencungkil bakat muda seawal 14 tahun dilakukan oleh Pengurus Pasukan Sonamu Cycling, Zamuri Bibi yang memulakan kelas penunggang muda Januari lalu.

Biarpun tidak sampai empat bulan inisiatif itu, namun sudah menunjukkan hasilnya apabila tiga penunggang pasukan itu sudah menyertai beberapa kejohanan peringkat domestik dan meraih tempat podium.

Zamuri atau lebih selesa dipanggil Red Tok Koh berkata, pasukan pengayuh muda itu baru saja ditubuhkan.

“Kita bukan tidak mampu untuk melahirkan atlet berbasikal yang bagus sebaliknya kurangnya program mencungkil bakat di peringkat awal.

“Selain itu, kebanyakan kejohanan juga tidak meletakkan kategori bawah 15 tahun.

“Boleh dikatakan kebanyakan kejohanan berbasikal hanya meletakkan kategori bawah 18 tahun sedangkan kaedah terbaik mencungkil bakat di awal usia serta menggalakkan mereka untuk menyertai kejohanan domestik terlebih dulu.

“Ruang menggalakkan bakat muda ini untuk masuk ke kejohanan domestik hanya akan berlaku jika semua penganjur menggunakan mekanisme kategori bawah 15 tahun,” katanya.

Zamuri berkata, berbasikal bukan lagi sukan yang dipandang sepi kerana ramai atlet tempatan sudah mengharumkan nama negara tidak kira kategori berbasikal velodrom atau jalan raya.

Katanya, ramai masyarakat kita kini juga gemar melakukan riadah berbasikal tidak mengira usia dan ia adalah perkembangan sangat baik.

“Dorongan untuk anak kecil ini perlu dilakukan dengan mendekatkan mereka dengan rekreasi berbasikal sekali gus mendorong mereka untuk menceburi bidang sukan berbasikal secara lebih serius lagi.

“Atlet sukan berbasikal ini bukanlah atlet kelas kedua sebaliknya mereka sama seperti segmen sukan yang lain dan mampu untuk membina masa depan yang sangat baik.

“Sepanjang melatih pasukan bakat muda kita, saya perhatikan mereka mempunyai kekuatan fizikal serta mental namun kekurangan pendedahan taktikal,” katanya.

Menurutnya, sukan berbasikal ini sama seperti sukan lain yang bukan saja memerlukan kesungguhan fizikal semata-mata malah memerlukan strategi taktikal untuk menguasai perlumbaan.

Menurutnya, perkara itu perlu dititikberatkan oleh pihak berkaitan supaya masa depan sukan berbasikal negara terus gemilang dengan kemunculan bakat muda yang perlu digilap.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 6:30am
d