ekspresi

Percutian sempurna keluarga di Perth

Oleh Suliati Asri

KESIBUKAN menjalani rutin harian membuatkan kadang kita terlupa rakan baik yang sentiasa bersama kita dalam apa juga keadaan. Begitu juga keluarga tercinta, jarang menghabiskan waktu bersama kerana sibuk dengan kerja.

Cuba fikirkan sejenak, bilakah kali terakhir bercuti bersama? Andai semua itu sudah lama tidak dilakukan, bercuti di Perth, Australia satu pilihan yang pasti memberikan kepuasan tersendiri.

Sama ada anda mencari pantai dengan sinaran matahari mempesona, aktiviti membeli-belah yang mengujakan atau suasana mendamaikan yang jauh daripada rutin harian yang membosankan, pasti memberikan 1,001 kenangan terindah bersama.

Pelbagai aktiviti mengujakan dilakukan bersama

Ada banyak aktiviti menarik yang menanti antaranya melihat sendiri bagaimana coklat yang dikatakan mampu merangsang hormon kegembiraan saat berkunjung ke Kilang Coklat MR atau membuat sendiri pelembap bibir yang disukai di Vasse Virgin.

Apa kata memandu sendiri kerana di Perth dan seluruh Australia Barat cukup mudah dan selamat buat pengunjung Muslim kerana kemudahan yang disediakan termasuk lokasi menarik, restoran halal dan banyak lagi.

Memandu keluar dari bandar Perth untuk menyaksikan sendiri panorama indah kehijauan alam semula jadi dan laut membiru yang dapat disaksikan dari atas rumah api serta penerokaan gua yang menakjubkan di Margaret River nyata berbaloi.

The Pinnacles menawarkan kawasan berbatu yang mengujakan, Hutt Lagoon yang mempesona, bergambar berlatarbelakangkan Blue Boatshed dan mengunjungi Canal Rocks untuk bergambar atau menikmati sendiri suasana dengan kederasan laut sepanjang lautan Hindi sebelum meneroka bandar Perth melalui Wolf Lane, pasti meninggalkan kenangan terindah.

Tambah koleksi gambar di Instagram yang mempesona

Mengambil gambar dengan latar belakang dan suasana mengujakan kemudian memuat turut di laman sosial Instagram bagaikan satu kemestian walau di mana berada.

Justeru, tatkala berada di Perth, mengabadikan kenangan dengan panorama indah nyata tidak mengecewakan.

Dengan tanda pagar #quokkaselfie, kunjungan ke Rottnest Island pasti memberikan gambar Instagram yang mempesona. Blue Boatshed juga memberikan hasil gambar terbaik dengan lautan yang membiru dan rumah bot di tengahnya.

The Pinnacles, Canal Rocks, Pink Lake di Hutt Lagoon, panorama indah alam semula jadi di Taman Negara Kalbarri dan Spanda di Elizabeth Quay membuatkan anda teruja memuat naik berpuluh atau beratus gambar di Instagram.

Luang masa berkualiti bersama keluarga di destinasi mengujakan

Agar percutian bersama keluarga lebih bermakna, kunjungan ke Taman Hidupan Liar Cavarsham yang menyediakan pelbagai aktiviti interaktif pasti menyeronokkan. Tambah pula disediakan kemudahan bilik solat bagi pengunjung di Swan Valley.

Kunjungan ke Mandurah dengan mengikuti pelayaran untuk melihat sendiri kelincahan ikan lumba-lumba melompat di laut membiru pasti mengujakan bukan saja si kecil tetapi juga seisi keluarga.

Farmstay dengan aktiviti memberi haiwan makan atau memetik buah kemudian kunjungan ke Amaze’s Busselton Jetty, penerokaan bawah laut dan berbasikal atau meneroka pulau menaiki bas di Rottnest Island menambahkan keseronokan.

Perth syurga membeli-belah yang mengujakan

Bagai tidak lengkap kunjungan ke Perth jika tidak melakukan aktiviti yang sememangnya disukai ramai iaitu membeli-belah. Pusat beli-belah Westfield Carousel yang terletak di sub bandar Cannington yang turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti.

Bagi anda yang ingin mencari barangan berjenama dengan harga yang cukup rendah, Water Town Brand Outlet dengan 110 kedai serta butik pastinya tidak mengecewakan.

Kalau menggemari aktiviti membeli-belah outdoor, Hay Street Mall memberi pengalaman hebat. Fremantle Markets juga destinasi beli-belah yang harus dikunjungi. Ia dibuka hanya setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dan menjual pelbagai barangan termasuk makanan, buah-buahan segar dan kraftangan yang boleh di bawa pulang sebagai ole-ole.

Bagi yang ingin membeli-belah di saat akhir pula, Direct Factory Outlet nyata tidak mengecewakan.

Mesti cuba di Perth

Mencuba pelbagai hidangan istimewa di beberapa tempat yang dikunjungi nyata sesuatu yang tidak boleh dilepaskan sama ada untuk minum petang atau makan malam.

Apa kata singgah di The Lobster Shack yang mencuba Lobster, Fish & Chips, ikan grill, burger makanan laut, salad dan pelbagai pilihan lain yang enak.

Rasai sendiri kesedapan Fish & Chips yang disediakan menggunakan resipi turun temurun serta pernah memenangi anugerah di Kailis Fish Market Cafe.

Bagi yang meminati pastri, hidangan pelbagai pastri di Corica Apple Strudel terutama Apple Strudelnya yang popular adalah pilihan terbaik.

Honey Cake juga cukup enak dan perlu dicuba. Ia boleh didapati di Fremantle Market namun tempahan awal perlu dilakukan jika ingin yang bebas alkohol dan ia disediakan hanya pada hari-hari tertentu sahaja.

Mudahnya penerokaan di Perth dengan memandu sendiri

Memandu sendiri adalah pilihan terbaik buat anda yang ingin meneroka Perth. Selain kos lebih murah, anda juga lebih fleksibel untuk ke mana-mana saja mengikut masa sendiri.

Anda tidak perlu mempunyai lesen memandu antarabangsa, cukup dengan membawa lesen memandu Malaysia dwi bahasa. Namun, anda perlu mematuhi segala undang-undang jalan raya yang sedikit ketat dan efesien.

Promosi terhebat yang perlu dimanfaatkan

Ingin merealisasikan percutian penuh bermakna dengan rakan karib serta keluarga? AirAsia dengan penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Perth menawarkan tiket pada harga serendah RM299.

Tempah sendiri pakej percutian dengan penerbangan, bilik hotel untuk 4 hari 3 malam dan cukai dari RM1,399 seorang di www.airasia.com.

Penerbangan Premium Flatbed tanpa harga premium dari RM1,190 lengkap dengan bagasi 40 kilogram (kg), makanan, akses Premium Red Lounge, hiburan dalam penerbangan Xcite dan daftar masuk lebih pantas nyata pilihan terbaik.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 5:00am
d