ekspresi

Kayuhan Untuk Hijau

Oleh Hafiz Ithnin

SECARA keseluruhannya, tema yang dibawakan menyeluruh dan seimbang! Itu yang boleh disifatkan mengenai acara kayuhan santai dianjurkan oleh TNB Janamanjung Sdn Bhd (TNBJ), Janamanjung Fellowship Ride 2019 yang baru saja berakhir pada 28 April lalu.

Secara rasminya, acara yang sudah memasuki tahun ke-12 penganjurannya membawakan tema kelestarian alam semula jadi, ‘Kayuhan Untuk Hijau’ dengan menyumbangkan RM10 daripada yuran setiap peserta untuk membeli anak pokok bakau yang ditanam di pesisir Sungai Tiram di Lekir, Perak.

Bagaimanapun, di sebalik membawakan tema hijau dalam kayuhan santai membabitkan 1,400 peserta yang mendaftar pada tahun ini, acara berbasikal itu menampilkan keunikan dengan kehadiran 20 peserta orang kelainan upaya (OKU) yang turut sama berkayuh sejauh 121 kilometer (km) membabitkan lima lokasi di Perak.

Tidak sekadar itu, penganjuran acara berkenaan turut disertai pemain basikal profesional negara yang bersama-sama berkayuh dengan peserta dan berkongsi pengalaman mereka di dalam arena berkenaan, antara mereka Josiah Ng.

Pengarah Urusan TNBJ, Datuk Shamsul Ahmad berkata, setiap tahun Janamanjung Fellowship Ride mendapat reaksi positif daripada peminat berbasikal di negara ini kerana mempunyai keunikan laluannya tersendiri.

Beliau berkata, pada tahun ini, seawal jam 7.15 pagi peserta sudah dilepaskan di Teluk Batik bagi berkayuh secara santai melalui lima kawasan termasuk di lokasi pelepasan iaitu Seri Manjung, Ayer Tawar, Bota Kanan, Parit dan berakhir di lokasi permulaan semula.

“Pada tahun ini, aktiviti kayuhan yang diadakan unik kerana tidak saja membabitkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk OKU, kami juga berkempen secara tidak langsung kepada mereka untuk turut sama menjaga kelestarian alam semula jadi dengan menjadi pembeli anak pokok bakau.

“Secara keseluruhannya, TNBJ dapat membeli 3,200 anak pokok bakau hasil sumbangan melalui pembelian oleh kakitangan, vendor dan 1,400 daripadanya disumbangkan oleh peserta Janamanjung Fellowship Ride 2019,” katanya.

Shamsul berkata, acara pada tahun ini yang membawa tema berkenaan juga diambil sempena menyambut ulang tahun ke-70 syarikat induknya, Tenaga Nasional Bhd dan 20 tahun TNBJ.

Katanya, kepelbagaian latar belakang peserta kayuhan juga memberikan keunikan dalam acara itu contohnya, setiap tahun golongan OKU yang menggunakan basikal ‘tandem’ sentiasa menyertai acara itu.

“Pada tahun ini mereka yang mempunyai kelainan upaya seperti masalah penglihatan dan pekak berkayuh secara berpasangan dan perkara ini menjadikan Janamanjung Fellowship Ride lebih majmuk dari segi pesertanya.

“Kami juga mendapat penyertaan daripada golongan profesional

yang turut berbasikal bersama peserta lain dan mereka juga berkongsi pengalaman kepada orang ramai dalam satu sesi sebaik saja acara ini tamat,” katanya.

Tambahnya, Janamanjung Fellowship Ride 2019 juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri Perak untuk mempromosikan destinasi pelancongan yang menarik di negeri itu.

“Dalam acara tahunan ini, kami melalui pelbagai destinasi yang menarik untuk dikunjungi orang ramai dan mereka boleh mengunjungi bersama keluarga yang datang memberi sokongan.

“Tidak sekadar itu, Janamanjung Fellowship Ride turut disertai peserta dari luar negara seperti Indonesia, Russia dan Brazil. Jadi, acara ini turut menarik kehadiran pelancong asing bertandang ke Perak,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2019 @ 6:00am
d