ekspresi

Tak pernah rasa diri tauke

Oleh Hafiz Ithnin

SEPULUH tahun lalu, dia membuat kuih dan menghantarnya ke gerai tepi jalan setiap hari untuk membantu suami. Pendapatannya ketika itu cuma RM50 hingga RM100.

Kini, suaminya berhenti kerja untuk bersama-sama menguruskan operasi perniagaan yang makin meluas dan terkenal di Kuala Lumpur. Malah, empat cahaya matanya dididik untuk menjadi usahawan.

Norfazilah Jusoh adalah pemilik perniagaan Eila Katering dan Restoran Maggie Ketam Power. Mendapat tempahan katering untuk tetamu melebihi 1,000 orang sejak empat tahun lalu sudah menjadi perkara biasa.

Meskipun perniagaan yang berkembang sudah menjadi kebanggaan kepadanya tetapi tiada apa yang dapat dibandingkan apabila melihat semua ahli keluarga turut bersama­nya.

Norfazilah berkata, meskipun dia perintis perniagaan sebagai pembekal kuih secara kecil-kecilan dan membuka gerai di tepi jalan sehingga mampu mempunyai perniagaan yang boleh dibanggakan, namun sampai hari ini dia berasakan setiap ahli keluarga adalah pemilik bersama.

“Saya tidak pernah berasakan diri ini sebagai tauke kerana setiap ahli keluarga seperti suami, Mohd Azmanizam Bahruddin mempu­nyai tanggungjawab dalam operasi perniagaan dan saya pula menjaga kualiti makanan. Jadi kami berdua memerlukan antara satu sama lain.

“Tambahan, anak sulung, Anis Hamizam Rifqi berusia 20 tahun kini menjadi ‘pekerja’ pertama saya. Sejak dulu, dialah yang membantu membeli barang membuat kuih dan kini ditugaskan menguruskan perniagaan katering,” katanya.

Tambahnya, apabila semua ahli keluarga terbabit di bawah syarikat yang sama, mereka menjadi lebih rapat dan memahami keadaan satu sama lain.

Jelasnya, kerjasama itu juga memudahkannya menguruskan rumah tangga kerana suami dan anak sentiasa berada di samping walaupun mereka sibuk dengan perniagaan.

“Suami memang selalu berada bersama kerana kami perlu berbincang mengenai perniagaan dan bekerja bersama-sama hubungan saya dan suami semakin rapat.

“Anak pula selepas balik sekolah, mereka terus ke restoran. Selepas me­nyiapkan kerja sekolah, mereka membantu saya di dapur atau ayah di pejabat. Jadi mereka tiada masa melepak atau membuang masa,” katanya.

Lebih menarik ketika ini, tiga anaknya iaitu Nur Amisha Shafika, 17; Muhammad Fitri, 15, dan Nur Iman Qistina, 10, menunjukkan minat dalam bidang perniagaan meskipun masih di bangku sekolah.

“Apabila setiap hari membantu keluarga menguruskan perniagaan, merangsang minat mereka kepada perniagaan yang kami usahakan. Saya meng­galakkan mereka terbabit dalam perniagaan.

“Walaupun anak sendiri, tetapi apabila bekerja mereka sama seperti 12 pekerja saya. Saya ingin mereka belajar dari bawah dan tidak berasakan diri sebagai anak tauke. Daripada situ mereka akan lebih gigih untuk berusaha,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 5:31am
d