ekspresi

Balasan buat baik, sabar

Oleh Aniza Zainudin

PERCUTIAN berbulan madu di Turki yang dirancang untuk menghabiskan masa berkualiti berdua bertukar menjadi percutian keluarga apabila pasangan, Nurul Huda Mukhtar dan Muhammad Amin Majid, ditakdirkan bertemu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di sana.

Beberapa hari mendirikan rumah tangga pada 10 Disember 2017, pasangan muda ini menuju ke Istanbul untuk menghayati keindahan landskap dan budaya.

Namun mereka dipertemukan dengan satu keluarga dari Malaysia ketika transit di Tehran yang mengalami masalah tiket penerbangan bagi perjalanan dari Tehran, Iran ke Istanbul, Turki.

Memahami kesukaran dilalui, Nurul Huda dan Muhammad Amin menawarkan pertolongan termasuk meminjamkan wang bagi pembelian tiket baharu, menguruskan pengangkutan dan mencari kemudahan hotel untuk keluarga berkenaan.

Selain mencipta ukhuwah, keprihatinan pasangan ini terbalas apabila ejen pelancongan bagi keluarga berkenaan bertemu mereka.

Seterusnya pihak ejen menggantikan semula wang bagi membantu keluarga berkenaan dalam jumlah lebih besar.

Meneruskan percutian dengan perasaan gembira, pasangan itu menikmati pemandangan salji indah, menaiki belon udara panas dan menerima layanan mesra daripada masyarakat setempat.

Ingatkan panas sampai ke petang, keseronokan Nurul Huda dan Muhammad Amin tergendala apabila penerbangan sepatutnya dinaiki mereka sudah penuh meskipun mendaftar lebih awal.

Terpaksa menanti penerbangan seterusnya, pasangan ini turut diberi ganti rugi tiket dan berpeluang menginap di hotel lima bintang sebelum pulang ke tanah air.

Menghargai setiap pengalaman ditimba, Nurul Huda mengakui sering mengingati pesanan kedua ibu bapa supaya sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang berlaku ketika bermusafir.

“Setiap kali mengembara, kami berdua sentiasa mengingati nasihat ini. Kami bersabar dan bertenang sebelum melakukan apa-apa tindakan ataupun melontarkan kata-kata.

“Paling dikhuatiri, ketika marah kita tidak dapat mengawal perasaan. Secara tidak langsung, kita akan menyakiti hati pasangan. Kami cuba saling bertolak-ansur dan berkomunikasi lebih baik bagi memastikan perjalanan dirancang menyeronokkan tanpa mengira dugaan yang datang,” katanya.

Bercinta sejak di bangku sekolah, wanita berusia 25 tahun ini mengakui sama minat melancong membuatkan mereka sangat positif, boleh bertolak-ansur dan saling memahami.

Menyifatkan suami seorang penyabar dan tidak mudah melatah, ia menyumbang kepada kejayaan sesebuah pengembaraan mereka berdua.

“Selain itu, saya juga turut melancong secara solo dan bersama teman yang memiliki keseronokan berbeza. Ini kerana suami bekerja dan sukar untuk mengambil cuti sewenangnya.

“Meskipun begitu, dia tidak pernah menghalang minat saya. Sebaliknya, kami pasti melakukan panggilan video secara berkala bagi memastikan keselamatan dan keadaan satu sama lain terjamin.

“Dalam setahun, kebiasaannya kami akan bercuti ke luar negara lebih kurang lima kali sama ada jangka masa panjang mahupun cuti hujung minggu di negara jiran. Paling penting, kami dapat meluangkan masa bersama,” katanya.

Memasang impian bersama, Nurul Huda berkata, mereka berdua sangat menggemari taman tema Disneyland dan Universal Studio, jadi hasrat besar mereka adalah mengunjungi semua taman tema berkenaan di seluruh dunia bermula tahun ini.

Setakat ini, Nurul Huda dan suami sempat berkunjung ke Disneyland Hong Kong dan Universal Studios Singapura. Mereka berdua bakal bercuti ke Disneyland Paris dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 4:30am
d