ekspresi

Cerita tiga kota

Oleh Janet Han

PENULIS memang suka mengembara. Kalau boleh, setiap pelosok dunia ingin dijengah, tidak kira dekat atau jauh. Seronok rasanya ‘berkenalan’ dengan satu-satu kota tanpa sebarang jangkaan. Jadi, kadangkala penulis tidak membuat banyak pembacaan mengenai satu-satu kota sebelum memulakan perjalanan kerana mahukan ‘kejutan’.

Apabila kakak melangsungkan perkahwinannya di London pada 2017, penulis mengambil kesempatan melawat dua tempat di Eropah yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini: Edinburgh di Scotland dan Warsaw di Poland. Lebih menarik kerana ada kawan yang tinggal di sana, jadi bolehlah berjumpa mereka.

Selepas majlis, penulis sempat memandu di Cambridge bersama kakak dan abang ipar menjengah bandar universiti yang tersohor dan cantik itu. Memang jatuh cinta dengan keindahan perkampungan di United Kingdom. Jika anda boleh memandu, carilah kereta sewa dan terokailah keindahan perkampungan Inggeris di sana. Penulis sendiri terasa seolah-olah berada dalam buku cerita kanak-kanak Enid Blyton!

Pekan lama ini memang cantik dan terkenal di seluruh dunia dengan kehadiran Universiti Cambridge yang diasaskan pada 1209. Penulis perasan pandai bila masuk ke kawasan ini! Pekan ini boleh diteroka sama ada dengan berjalan atau berbasikal. Jadi kami ambil keputusan untuk meletakkan kenderaan jauh sedikit supaya boleh menikmati keindahannya sambil berjalan santai.

Kebetulan ketika itu cuti musim panas dan tidak ramai pelajar. Jadi kami ambil peluang merakamkan banyak gambar bangunan lama dan laluan ke arah Sungai Cam dan melihat orang ‘Punting’ iaitu aktiviti mengendalikan bot menggunakan kayu panjang adalah antara sukan yang popular di Cambridge. Macam-macam aksi ditunjukkan si pengendali bot dan kami ketawa melihat keluarga itik berenang lebih laju berbanding bot!

EDINBURGH

Tiba saat yang ditunggu, penulis memulakan langkah ke Edinburgh. Tidak sangka, akhirnya penulis sampai juga ke bandar ini yang namanya sudah didengar sejak kecil. Kali pertama tiba, hati terus rasa suka. Ya, sampai sekarang Edinburgh masih menjadi antara bandar yang penulis paling suka. Ia ada semuanya. Elemen sejarah, budaya, seni bina dan alam semula jadi seolah-olah terjalin sempurna. Pendek kata, semuanya cantik.

Namun paling menarik, Edinburgh menawarkan sesuatu yang penulis paling suka - berjalan menjelajah bandar bersama pemandu pelancong secara percuma! Dalam mana-mana lawatan berjalan secara percuma ini, anda boleh memberikan tip kepada pemandu pelancong sebagai ucapan terima kasih kepadanya. Jumlah bayaran tip ini terpulang pada penilaian masing-masing. Kalau anda berasakan dia memberikan khidmat yang baik, penuh maklumat dan menyeronokkan, bolehlah bagi lebih tip kepadanya.

Ada banyak kumpulan yang menawarkan khidmat lawatan berjalan secara percuma ini dan penulis menyertai Sandemans Tour. Pemandu pelancong hari itu adalah lelaki Australia yang memakai kilt yakni skirt berlipat-lipat yang labuh hingga ke lutut iaitu sebahagian daripada pakaian kebangsaan Scotland. Comel!

Lebih menarik, dia memang pandai bercerita. Penulis menggelarnya penglipur lara moden kerana sepanjang dua jam lebih bersamanya, macam-macam cerita menarik diselitkan kala menerangkan sejarah dan budaya Edinburgh. Seronok mendengar dia bercerita kisah rakyat malah menunjukkan tembok yang kononnya mengandungi abu mayat wanita yang dibakar kerana dituduh menjadi ahli sihir.

Walaupun seram mendengarnya, tapi penulis, tangan gatal tetap mahu menyentuh tembok berkenaan dan mengambil gambar. Mana boleh lepaskan peluang begitu. Bukan senang hendak cari dan mendengar cerita sebegitu!

Kami juga dibawa melawat patung David Hume, ahli falsafah yang masyhur di tengah-tengah bandar. Masyarakat Scotland dahulu percaya menyentuh ibu jari kaki patung Hume boleh membawa tuah, walaupun dia sendiri menolak kepercayaan karut begini.

Sejak 1997, apabila patung Hume diletakkan di Royal Mile, ia menjadi tumpuan pelancong untuk menyentuh ibu jari kakinya sehingga menjadikan ia berwarna keemasan kerana terlalu kerap disentuh dan digosok!

Semua yang menyentuhnya mengharapkan kebijaksanaan Hume akan tumpah sedikit kepada mereka. Melihat ibu jari kakinya, penulis tersenyum tetapi tidak menyertai kumpulan yang menyentuhnya. Kasihan pula jari kakinya sudah berubah warna. Cukuplah sekadar mengambil gambarnya untuk kenang-kenangan.

Selain itu ada beberapa perkara yang boleh dilakukan kala berada di Edinburgh khususnya bagi peminat Harry Porter. Anda boleh melawat The Elephant Cafe, dikatakan JK Rowling mula menulis novel Harry Porter di sini.

Jika anda peminat tegar, bolehlah mengikuti lawatan khas yang membawa anda melihat di mana dan bagaimana Rowling mendapat inspirasi untuk novelnya. Walaupun penulis bukan peminat Harry Porter tetapi ingin tahu juga dari mana dia dapat idea untuk mencipta nama-nama karakter dalam novelnya.

Kalau ada masa, pergilah berjalan perlahan-lahan (mendaki) hingga ke Arthur's Seat dan Bukit Carlston untuk menyaksikan pemandangan keseluruhan Edinburgh. Arthur's Seat adalah bekas gunung berapi yang dianggap puncak tertinggi di Holyrood Park.

Nampak macam mudah untuk berjalan hingga ke atas tetapi pastikan anda memakai kasut yang sesuai. Jangan jadi seperti penulis yang mendaki dengan memakai kasut getah 'jalan-jalan'. Akibatnya tanggung sendiri. Sakit kaki apabila menuruni bukit. Anda juga boleh meluangkan masa meneroka Edinburgh Castle dengan tiket masuk sekitar £19.50 (lebih murah jika beli tiket secara dalam talian).

Jika rindukan masakan Asia, bolehlah mencuba hidangan India di Dishoom atau menikmati wafel coklat. Teman yang tinggal di sana menyediakan haggis (puding pedas Scotland) untuk penulis. Rasanya...agak menarik. Penulis tidak pasti sama ada akan makan jika dihidangkan haggis lagi, tetapi sekurang-kurangnya sudah mencuba sekali.

WARSAW

Pada pandangan pertama, Warsaw tampak tenang dengan pemandangannya yang mendatar. Tetapi selepas membaca sejarahnya, apa yang dilalui penduduknya dan bagaimana mereka membina semula bandar ini yang musnah 85 peratus dalam Perang Dunia Kedua, timbul rasa kagum pada bandar tua dengan pemandangan baharu ini. Warsaw adalah bandar terbesar di Poland dengan 1.7 juta penduduk tetapi ia tidak terasa sesak.

Ketika di sini, penulis lebih banyak menghabiskan masa di rumah teman dan berkenalan dengan keluarganya. Namun, kami sempat keluar bersantai di Warsaw Zoological Garden. Ia adalah kawasan zoo yang tidak banyak pagar dan haiwan di sini bebas bergerak di kawasan masing-masing. Hanya selepas meninggalkan taman itu barulah penulis tahu zoo seluas 40 hektar itu menerima kira-kira sejuta pengunjung setahun dan antara zoo paling sibuk di Eropah. Ia mempunyai lebih 4,200 haiwan daripada 500 spesies termasuklah haiwan kegemaran penulis - penguin.

Seperti bandar lain, anda juga boleh merasai angin Warsaw dengan berjalan ke bandar lama dan baharu. Pemandangan di bandar lama memang cantik dan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO. Boleh juga ambil lawatan sehari ke Krakow yang banyak tempat bersejarah atau ke Lombong Garam Wieliczka, yang juga mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Sejarah UNESCO.

Mesti cuba makanan dan buah-buahan tempatan. Nilai mata wangnya zloty lebih kurang sama dengan ringgit (RM1 bersamaan 0.92 PLN). Jika mahu beli cenderahati, boleh cuba coklat Wedel, jenama coklat Poland yang terkenal dan berkualiti, boleh didapati di kebanyakan pasar raya. Penulis membeli buah kekuningan yang sungguh menggiurkan dipanggil morela. Rupanya ia adalah aprikot. Jadi, lebih baik anda muat turun aplikasi terjemahan supaya boleh tahu apa yang anda mahu beli.

Sekarang penulis sedang mengisi tabung untuk percutian lain pula. Kepada rakan pengembara, cubalah sesuatu yang baharu setiap kali anda bercuti dan ikuti lawatan bandar dengan berjalan bersama penduduk tempatan kerana anda tidak tahu cerita menarik apa yang sedang menunggu!

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 5:30am
d