ekspresi

Mula dengan sajian keluarga

Oleh Aniza Zainudin

MEMBUAT keputusan meninggalkan alam pekerjaan demi memberi fokus kepada keluarga, Nina Azerin Abd Mufti turut berasakan kelompangan dalam memenuhi kepuasan peribadi.

Memikul tanggungjawab menyajikan makanan buat suami, Azlan Hamzah, 42, dan lima lagi anak, membuatkan dia mencari menu baru untuk mencipta kelainan air tangannya.

Justeru, hampir setiap hari wanita berusia 41 tahun ini akan melakukan carian di Internet untuk mendapatkan resipi makanan menarik.

Keseronokan menyediakan makanan istimewa mencetuskan idea kepada Nina Azerin berkongsi resipi menerusi blog peribadi, ninamirza.com sebagai rujukan di kemudian hari bermula lapan tahun lalu.

Menurut Nina Azerin, bermula dengan perkongsian resipi, kemudian ia turut dicorakkan bersama isu gaya hidup dan ulasan makanan di restoran serta hotel.

“Apabila mempunyai blog peribadi, saya semakin aktif berkongsi maklumat bersama pengikut.

“Selain itu, saya turut menerima jemputan daripada pelbagai pihak membabitkan acara berkaitan dengan pengisian blog.

“Suami adalah pendorong utama untuk saya aktif menulis kerana dia sering memberi sokongan atas minat saya.

“Mulanya, dia sekadar memberi kata-kata semangat, kemudian dia mengambil alih peranan sebagai jurugambar.

“Suami juga sering menemani saya menghadiri acara termasuk berbuka puasa di beberapa restoran dan hotel.

“Selalunya dalam acara seperti itu, ia turut membabitkan penyertaan anak.

“Justeru, kami dapat menghabiskan masa bersama-sama sambil menikmati juadah menarik.

“Saya akan menghasilkan penulisan manakala suami pula akan mengambil gambar bersesuaian dengan artikel berkenaan yang juga bertindak sebagai mata kedua dalam pemilihan foto paling menarik,” katanya.

Kata Nina Azerin, minat menulis blog dan mengambil gambar mencetuskan jaringan kerjasama positif antara mereka berdua.

Selain itu, wanita ini menyifatkan hubungan mereka menjadi lebih rapat dan sering berbincang mengenai topik yang sama.

Bagi mengekalkan tarikan di blog peribadi, suaminya sering mempelajari teknik fotografi dan video terbaharu untuk dimasukkan ke dalam blog mereka.

Bagi Nina Azerin, dia dan suami sekadar memenuhi minat serta masa bersama anak sambil berharap kerjasama antara mereka dapat menyempurnakan antara satu sama lain.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 9:08am
d