ekspresi

Kayuhan amal Ramadan

Oleh Hafiz Ithnin

RAMADAN baru sahaja melabuhkan tirainya, sudah pasti ramai antara kita merindukan bulan penuh rahmat dan kaya dengan limpahan pahala.

Melihat peluang mendapatkan ganjaranpahala dan dalam masa sama membantu insan memerlukan, tiga pasukan basikal bergabung tenaga menganjurkan aktiviti kayuhan santai bagi mengutip dana melalui Program Kayuhan Santai Ramadan di Putrajaya.

Program itu diadakan bagi mengutip dana untuk rawatan dua kanak-kanak Airil Zafran Mohd Azran dan Qaseh Nur Aira Mohd Azran masing-masing berusia enam serta tiga tahun yang menghidap penyakit genetik, penyakit Batten.

Berkongsi mengenai program berkenan, Penyelaras Acara dari Pasukan RBR,

Wan Mazman Abd Ghani berkata, acara itu mendapat kerjasama pasukan berbasikal tempatan iaitu Speedzone dan EzRide yang mengambil masa sekitar tiga minggu untuk menganjurkannya.

Katanya, mendapat sambutan yang luar biasa apabila mengumpulkan 500 peserta tempatan.

“Acara itu tiada yuran penyertaan kerana mereka boleh menyumbang seikhlas hati membantu dua pesakit ini yang juga seorang anak penggiat aktiviti berbasikal.

“Di akhir acara kami berjaya mengumpul RM7,500 untuk diserahkan kepada keluarga pesakit.

“Bagi pihak kami ini adalah acara bagi mengeratkan hubungan peminat berbasikal yang prihatin antara satu sama lain,” katanya.

Acara bermula jam 10.30 malam dan berakhir pada jam 12 tengah malam itu membabitkan pelbagai laluan di Putrajaya sejauh 25 dan

35 kilometer. Pelepasan dan penamat di tapak parkir kenderaan berhampiran Istana Kehakiman Putrajaya.

Mohd Sahrul Azmi Salleh (RBR) berkata, kayuhan amal seperti ini kali pertama dianjurkan.

Katanya, mereka tidak menyangka mendapat sambutan memandangkan diadakan pada malam Ramadan.

Jelasnya, sambutan menunjukkan peminat berbasikal bukan saja aktif berkongsi teknik berbasikalmtetapi turut prihatin terhadap kebajikan rakan lain.

“Apabila ada antara rakan yang kurang bernasib baik, melalui aktiviti kayuhan seperti ini dapat membantu mereka,” katanya.

Ujarnya, kayuhan amal itu juga dapat membantu peminat berbasikal untuk ‘kembali’ berlatih secara santaimselepas berehat dan perlu menunaikan pelbagai ibadat di sepanjang Ramadan.

“Kayuhan secara santai dapat melepaskan rindu peminat berbasikal untuk beraksi.

“Kami memilih waktu yang sesuai iaitu selepas Tarawih dan tidak mengambil masa yang panjang untuk menamatkan kayuhan,” katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 9:55am
d