ekspresi

Panggilan pulau

Oleh Aniza Zainudin

SIMPAN yang terbaik sebagai penghujungnya. Lawatan ke beberapa pulau (‘island hopping’) menjadi misi utama percutian penulis di destinasi popular, Krabi, Thailand, baru-baru ini. Menghadap Laut Andaman, keindahan pantai, pulau dan laut di bandar yang majoriti penduduknya beragama Islam ini tidak dapat disangkal.

Percutian selama lima hari empat malam itu memberi peluang kepada penulis untuk menikmati kehidupan dan gaya hidup komuniti di Krabi dengan lebih mendalam apabila menyusuri setiap lorong dan jalan kampung tanpa arah tujuan.

Menetap di hostel di Pantai Ao Nang, tidak sukar mencari pakej ‘island hopping’ kerana ada banyak pilihan. Namun, bergantung pada kemahiran individu dalam tawar-menawar bagi mendapatkan harga diingini.

Tertarik dengan aktiviti berkayak di Koh Hong (Pulau Hong), penulis berjaya mendapatkan pakej berkenaan pada harga yang sangat berpatutan kerana ia juga merangkumi bayaran masuk ke Taman Negara Thanboke Khoranee. Dalam bahasa Siam, perkataan ‘koh’ bermakna pulau.

Malah pakej yang diambil pada hari keempat di Krabi itu merangkumi beberapa persinggahan termasuk Koh Lading, Lagun Hong dan Koh Hong memakan masa kira-kira tujuh jam.

Selain itu, pakej itu juga termasuk kos penghantaran pergi balik ke hostel serta makan tengah hari. Tepat jam 8 pagi bersamaan jam 9 pagi waktu di Malaysia, pemandu pelancong mengambil penulis dan rakan di hostel dan terus menuju ke pantai Noppharat Thara.

Tiba di pantai Noppharat Thara, penulis bersama 13 pelancong lain perlu menunggu selama beberapa minit sebelum dibawa ke bot laju.

Diiringi pelancong asing yang terdiri daripada keluarga dan sekumpulan kawan berasal dari Itali, Perancis dan Amerika Syarikat, masing-masing seronok berkongsi pengalaman berada di negara gajah putih ini. Menikmati tiupan lembut sang bayu, perjalanan menuju ke lokasi pertama memakan masa 15 minit.

Persinggahan pertama bagi pakej itu adalah lokasi snorkeling yang berdekatan satu daripada puluhan batu besar yang membentuk pulau di laut berkenaan.

Masa 30 minit yang diperuntukkan untuk menikmati gemalai tarian fauna laut seakan-akan tidak mencukupi apabila keseronokan itu terganggu gara-gara pukulan ombak kian mengganas.

Enggan beradu tenaga dengan kuasa alam, kami meninggalkan lokasi berkenaan sebelum meneruskan pengembaraan ke Koh Lading atau Pulau Lading yang sememangnya menyajikan tarikan istimewa terutama gua terpencil serta kedudukannya yang tersembunyi.

Ibarat memasuki pintu gerbang ke dunia lain, enjin bot laju dimatikan dan pemandu pelancong menyatakan kami memiliki masa kira-kira satu jam untuk berada di situ. Kami juga dimaklumkan boleh melakukan aktiviti sukan air termasuk snorkeling dan berenang di kawasan yang dikenal pasti selamat berdasarkan talian yang dipasang.

Menurut pemandu pelancong, persisiran pantai Koh Lading yang mempunyai air jernih biru kehijauan itu memiliki ‘penjaga’, si obor-obor, justeru dia menyarankan pengunjung supaya sentiasa berhati-hati agar tidak terkena sengatan berbisa.

Ini terbukti apabila penulis dan pelancong lain berpeluang menyaksikan sendiri bangkai obor-obor terolang-aling di air sebelum terdampar di pantai.

Kedudukan Koh Lading yang tersembunyi di antara dua batuan besar membuatkan pergerakan ombaknya tidak terlalu kuat, jadi ia membentuk persisiran pantai yang cantik dan tenang.

Perhentian utama pakej itu memberi peluang buat pengunjung pulau kecil termasuk memasuki gua kecil yang terletak di tepi pantai.

Menyediakan fasiliti tandas, Koh Lading juga menjadi lokasi santapan buat mereka yang mengambil pakej Koh Hong.

Setiap pengendali bot membawa turun meja hidangan sebelum menyajikan makanan tengah hari seperti nasi, sayuran campur, ayam goreng, buahan dan minuman berperisa.

Sejurus selepas mengalas perut, aktiviti berenang dan snorkeling diteruskan. Bahagian yang paling menyeronokkan pastinya kehadiran hidupan laut pelbagai spesies dan warna di Koh Lading yang jinak seakan-akan mengalu-alukan kunjungan pelancong.

Uniknya tanpa perlu memakai topeng snorkeling, keindahan hidupan laut yang bebas berenang itu dapat disaksikan dari permukaan air.

Kemudian, perjalanan diteruskan ke Lagun Hong yang sememangnya menjadi permata tersembunyi di kawasan perairan Thailand ini.

Lagun ini mempunyai air jernih kebiru-biruan menjadi lokasi menarik bagi mereka yang pakar berenang sambil menikmati kecantikan alam ciptaan-Nya.

Teruja dengan ketenangan lagun yang dipagari bukit berbatu, penulis tidak melepaskan peluang untuk melakukan beberapa terjunan dari bot bersama rakan yang lain.

Perkara sama dilakukan kumpulan pelancong dari beberapa bot lain yang turut berhenti di tengah-tengah kawasan lagun.

Sedang asyik berenang dan melakukan pelbagai gaya terjunan, pandangan mata penulis tertancap pada pasangan lelaki dan wanita yang berusaha mendayung dan mengawal kestabilan kayak.

Menurut pemandu pelancong, pasangan berkenaan berkayak dari Koh Hong hingga ke Lagun Hong yang jaraknya agak jauh.

Mendengarkan kenyataan itu, tergerak hati penulis untuk melakukan perkara sama sebaik tiba di Taman Negara Thanboke Khoranee.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir, Taman Negara Thanboke Khoranee yang juga terletaknya Koh Hong.

Memasuki taman negara itu, pengunjung dikenakan bayaran masuk bagi menjaga dan mengekalkan kebersihan serta alam semula jadi ini, namun pakej diambil penulis sudah merangkumi bayaran berkenaan.

Diberi masa selama hampir tiga jam di Koh Hong, perkara pertama yang penulis lakukan adalah aktiviti berkayak yang ditinggalkan sejak belasan tahun lalu.

Berbekalkan pengalaman lalu, penulis bersama rakan mengambil pendekatan lebih selamat dengan melakukan sedikit latihan awal kerana berkayak di laut tentu amat mencabar. Optimis dan yakin dengan sikap kerjasama rakan, kami memulakan perjalanan menuju ke Lagun Hong gara-gara terinspirasi dengan semangat pasangan warga emas yang kami lihat sebelum itu.

Bertarung dengan pukulan ombak yang semakin kuat, ditambah pergerakan air akibat bot yang melintasi kawasan itu, membuatkan kayuhan kami semakin perlahan apabila sibuk mengawal kestabilan kayak.

Jarak kayuhan kira-kira 1.9 kilometer dalam perjalanan ke Lagun Hong, kami membuat keputusan berpatah balik ke Koh Hong dan melakukan aktiviti berkayak di persekitaran pulau berkenaan.

Menghabiskan masa satu jam berkayak dan berjemur, kami mahu kembali ke persisiran pantai untuk berenang seterusnya menerokai kawasan taman negara berkenaan.

Tiga jam berada di sana, kami kembali ke bot untuk perjalanan pulang ke Krabi dan meninggalkan pulau nan indah bersama memori dan pengalaman istimewa.

Justeru, bagi mereka yang mencintai keindahan pantai bersih dan laut nan jernih, sewajarnya merancang percutian ke situ. Namun, disarankan pengunjung mempersiapkan diri dengan kemahiran berenang dan berkayak supaya benar-benar berasa puas hati apabila berkunjung ke Krabi.

Disiarkan pada: June 23, 2019 @ 5:01am
d