ekspresi

Himpunan bakat

Oleh Lizam Ridzuan

KAYUHAN pantas dan lasak menjadi elemen utama dalam aksi Kejohanan BMX Remaja Kebangsaan Siri-3 untuk 2019 yang diadakan baru-baru ini di Arena BMX Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Basikal motocross (BMX) itu adalah asas utama dalam perlumbaan, dilangsungkan di trek sepanjang 337 meter dengan pelantar permulaan (starthill) setinggi lima meter yang mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menerima lebih 250 penyertaan pelumba seawal usia enam hingga 55 tahun, mereka datang dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai kategori acara yang memasuki penganjuran tahun kedua itu dan bilangannya meningkat setiap tahun.

Timbalan Pengerusi Biro BMX Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Ronizam Ismail berkata, kejohanan itu dimulakan tahun lalu dengan tiga pusingan perlumbaan diadakan dan untuk tahun ini ditambah kepada lima untuk memberi lebih peluang kepada peminat sukan BMX menyertainya.

“Sebagai program pembangunan sukan BMX di Malaysia, kejohanan seperti ini dapat menggilap bakat baru untuk menarik lebih banyak penyertaan dan juga sebagai platform memilih pelumba lelaki dan wanita terbaik mewakili negara ke kejohanan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Sudah pasti tanpa sokongan moral dan kewangan daripada keluarga, bakat-bakat muda ini tidak akan sampai ke tahap ini malah sukan BMX juga sering dipenuhi dengan kehadiran mereka yang menambah kemeriahan acara.

Bapa kepada peserta iaitu Mohd Hafidz Hassan, 43, dari Pulau Pinang berkata, beliau dan isteri Rusaini Nacar Darus datang dua hari lebih awal untuk persediaan menghadapi perlumbaan dan menyewa ruman inap di sekitar Nilai.

“Selain menyokong minat anak saya Nadzrul Hafidzy yang berusia 15 tahun aktif berbasikal sejak dua tahun lalu, aktiviti ini juga diharap sentiasa dianjurkan untuknya melihat potensi dan peluang ke peringkat yang lebih tinggi suatu hari nanti,” katanya.

Kebanyakan pelumba BMX menyertai kejohanan yang dianjurkan adalah melalui latihan di bawah kelab amatur supaya mahir aspek teknikal dan teknik perlumbaan serta kebanyakan mereka terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah.

Antara kelab aktif ialah Dwish BMR Academy (Selangor), KDOJ (Johor), Terengganu Hanelang (Terengganu), Selangor Training Centre (Selangor), PBNJ/MSD Racing BP (Johor), MSN Perlis Northern Tribe (Perlis), Lala Speed Squad (Selangor), Kelab JK3M (Johor), Rengit BMX Racing Team (Johor), Anak Dayak BPSR (Johor), Rare Rider (Selangor), Persekutuan Berbasikal Singapura dan banyak lagi.

Dua pusingan lagi bakal diadakan pada September dan November bagi melengkapkan lima pusingan selain acara tahunan utama iaitu Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2019 yang bakal diadakan pada 7 dan 8 Julai ini dan semuanya berlangsung di Nilai, yang juga lokasi acara ketika Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur lalu..

Untuk maklumat lanjut berkaitan perlumbaan dan sukan BMX di negara ini boleh layari www.bmxmalaysia.com atau laman facebook: www.facebook.com/bmxracingmalaysia/.

Disiarkan pada: June 30, 2019 @ 9:01am
d