ekspresi

Matahari Sahara

Oleh Hanim Mohd

PENGEMBARAAN 14 hari dengan memandu sendiri di Maghribi bersama rakan sekerja, Zarina Othman memang mengujakan. Sebelum meneruskan perjalanan ke Midelt, kami bercadang untuk singgah di Bhalil, lebih tepat mahu ke rumah Hafid yang membantu menukarkan tayar kereta kami yang pancit sebelum ini.

Jadi, kami keluar lebih awal dan bagaikan tidak percaya, sarapan yang serupa juga disediakan. Walaupun bersyukur, penulis sudah mula rasa jelak. Suhu pagi itu mencecah lapan darjah Celsius dan jarak penglihatan hanyalah 200 meter. Zarina memandu dengan berhati-hati. Mujur keadaan itu tidak lama dan matahari bersinar terang memudahkan perjalanan ke rumah Hafid yang kami panggil ‘keluarga angkat’.

Bhalil terkenal dengan rumah guanya dan industri membuat butang untuk jubah djeleba iaitu jubah berhud yang sangat terkenal di Maghribi.

Kebetulan, kami bertemu pemilik rumah gua dan berpeluang meneroka di dalamnya. Suhu di dalamnya nyaman dan kami mendaki tangga lingkaran sempit untuk ke tingkat atas.

Hampir setengah jam berjalan, kami pulang ke ‘rumah’ untuk menikmati makan tengah hari yang disediakan oleh ibu Hafid, Habibah dan adiknya, Fateema. Makanan dihidang di dalam dulang besar dan kami makan bersama-sama seperti orang tempatan. Satu pengalaman yang sungguh berharga dan bermakna.

Sebelum meneruskan perjalanan, kami membeli tayar ganti sebagai persediaan. Menjelang malam hari, kami tiba di Midelt iaitu lokasi pengeluar epal terbesar di Maghribi. Di sini kami menginap di Villa Pomme d’or, rumah penginapan yang mewah.

Kedatangan kami disambut dengan pendiang api di ruang tamu. Sajian makan malam kami adalah daging kambing yang dimasak dan dihidangkan panas dalam tajin. Sangat sesuai untuk cuaca yang sejuk.

KEM MERZOUGA

Perjalanan ke Merzouga mengambil masa lima jam. Merzouga adalah pekan kecil dengan penduduk lebih kurang 2,000 orang. Ia terletak di pinggir Gurun Sahara. Pengusaha kem bernama Mohamed, mengizinkan kami menyegarkan diri dan solat di rumahnya sebelum ke Padang Pasir Sahara.

Kami ada dua pilihan, sama ada menaiki unta atau pacuan empat roda. Sudah tentu kami memilih menaiki unta. Alang-alang sampai di padang pasir, rugilah kalau tidak naik unta. Hampir satu jam berada di atas unta dan berangan menjadi Badwi, kami sampai di khemah mewah milik Mohamed.

Kami ditempatkan di dalam khemah yang lengkap persis bilik hotel. Penjaga dan tukang masak adalah pemuda Berber (kaum asli Maghribi) bernama Hassan. Tanpa membuang masa, kami memanjat gumuk pasir yang paling tinggi untuk melihat matahari terbenam. Makan malam pula dihidang dalam khemah berasingan.

Sajian Maghribi menjadi makan malam kami di Sahara. Selepas makan, Hassan dan Ibrahim, pengembala unta kami membuat unggun api untuk kami bersantai. Malam itu kami bersama-sama minum teh Berber yang dipanggil ‘wiski Berber’.

Mereka mengalunkan lagu asli Berber sambil menari dan bergendang. Kami juga menunjukkan joget Melayu dan menyanyi lagu Melayu selain bertukar teka-teki dan cerita lucu di bawah langit Sahara yang dipenuhi bintang dengan sinaran sang bulan. Pengalaman ini menjadi kenangan indah yang abadi bagi kami berdua.

Walaupun tidur dalam khemah, malam di padang pasir agak sejuk. Tidak dapat dibayangkan bagaimana orang Badwi dan pedagang Berber mengharungi padang pasir untuk mencari rezeki. Kami tidak perlu bimbang kerana tempat tidur yang disediakan kalis sejuk. Meskipun selesa tetapi kami bangun awal untuk melihat matahari terbit. Keindahan menakjubkan yang tidak dapat dilupakan.

Tiba waktu sarapan, kami rasa teruja namun sedikit kecewa kerana disajikan hidangan sarapan yang sama! Rasanya mahu saja penulis ke dapur untuk memasak nasi goreng! Dalam rasa sedikit kecewa, kami makan juga untuk mendapatkan tenaga mengharungi Gurun Sahara untuk ke Merzouga.

OUARZAZET

Kami menuju ke Ourzazet pula yang menjadi lokasi penggambaran banyak filem Hollywood seperti Lawrence of Arabia, The Mummy, Gladiator dan Salmon Fishing in The Yemen. Mungkin atas faktor itu, pembangunan di sini agak baik. Kami bermalam di Le Temples Des Arts. Kami diberitahu ramai pelakon terkenal dan kru pernah tinggal di sini. Bilik kami dinamakan Cleopatra sempena filem Cleopatra lakonan Elizabeth Taylor yang membuat penggambaran di Ouarzazet.

Penyambut tetamu berbangsa Perancis di situ memberitahu, bilik kami pernah didiami oleh Sir Ridley Scott, pengarah filem Gladiator yang membuat penggambaran di Ait Ben Hadou berdekatan, iaitu bangunan yang dibina daripada lumpur. Sungguh menakjubkan dan ia turut tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO.

Kami singgah di Gaung Todra yang lazimnya dikunjungi pendaki dan penggiat sukan pacuan empat roda. Dari situ kami melalui Gunung Atlas untuk ke Marakesh. Suhu rendah dan ada longgokan salji di tepi jalan. Tertanya-tanya juga bagaimana agaknya pemanduan di sini ketika salji. Kami singgah di kedai cenderahati dan sempat bermain salji yang umpama ais kisar itu.

MARAKESH

Banyak yang diceritakan mengenai Marakesh. Malah bandar inilah yang mencetuskan minat penulis untuk meneroka Maghribi. Kami menginap di Riad Dar El Souk dan pengurusnya mencadangkan kami ke Jemaa el Fna yang ‘hidup’ pada waktu malam.

Dataran itu dipenuhi gerai makan sehingga susah untuk membuat pilihan. Perayu gerai makan di sini agresif seolah-olah memaksa kami makan di gerai mereka. Akhirnya kami singgah di gerai yang ramai orang tempatan makan. Mungkin kerana harapan penulis begitu tinggi ke atas Marakesh, penulis kecewa kerana ia tidak memenuhi jangkaan.

Untuk mengubat kekecewaan, kami membuat keputusan untuk ke hamam. Hamam adalah rumah mandi awam. Kami dimandikan dan disental seperti ibu memandikan anak. Tebal juga rasa malu walaupun orang tempatan selamba saja menerima khidmat di sini. Esoknya, seperti biasa, kami memulakan perjalanan selepas sarapan. Ya, sajian sarapan di Marakesh ini juga sama seperti di bandar yang lain.

ESSAOUIRA

Kali ini kami ke destinasi berdekatan dengan laut. Dalam perjalanan, kami singgah di pusat memproses kacang argan. Pelbagai yang boleh dibuat daripada kacang argan seperti produk kecantikan, penjagaan rambut dan makanan yang diusahakan oleh kaum wanita.

Kami memilih untuk menginap di dalam medina juga, iaitu Riad Watier yang diuruskan oleh wanita. Pengurusnya, Hayat, sangat cekap dan mencadangkan kami melawat kubu lama di tepi laut. Pemandangan ketika matahari terbenam dengan burung-burung berterbangan sungguh menakjubkan.

Kami juga menikmati ikan segar yang murah di sini. Jangan harap untuk makan nasi dengan makanan laut di sini kerana segala lauk dimakan bersama roti!

Bagi kami, inilah tempat yang dirasakan selesa untuk membeli-belah. Peniaga di sini lebih tenang dan melayan dengan baik sekali menyebabkan kami banyak berbelanja di sini. Selain tajin, kami memborong pelbagai rempah dan bahan untuk memasak sajian Maghribi. Sempat juga kami mengikuti kelas masakan tempatan. Cukup bermanfaat dan kami dapat menikmati hasil masakan apabila tamat kelas.

CASABLANCA

Inilah destinasi terakhir kami di Maghribi. Di sini, pengaruh Eropah sangat ketara. Kami menginap di Casablanca Le Lido Thalasso & Spa - satu-satunya tempat penginapan yang layanannya tiada sentuhan peribadi berbanding semua bandar lain yang kami kunjungi.

Lokasinya berdekatan dengan Ain Diab yang menghadap Lautan Atlantik. Jalan raya sibuk dan banyak kenderaan. Ada pusat beli-belah dan banyak restoran di sepanjang pantai ini. Berjalan di pesisiran pantai ini membawa kami ke Masjid Hassan II yang mempunyai menara tertinggi di dunia.

Sempat juga kami ke medina lama untuk menghabiskan saki baki wang. Casablanca adalah bandar terbesar di Maghribi dan kami melihat banyak kereta mewah. Selama 14 hari di bumi Maghribi, kami jarang melihat pemandu kereta wanita, tetapi lain sekali di sini. Sebelum ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air, penulis bertanya jam berapa sarapan disediakan tetapi penyambut tetamu memberitahu sarapan tidak disertakan. Penyambut tetamu terpinga-pinga melihat kami ketawa mendengar jawapannya kerana kami sudah membayangkan jika ada, mereka mungkin akan menyediakan sarapan yang sama.

Percutian di Maghribi memberi seribu kenangan. Kami melalui pelbagai bentuk muka bumi, melihat keindahan alam, bertemu dan berkenalan dengan ramai orang. Syukur dengan pengalaman yang tidak ternilai ini. Namun, betapa indah pun negara orang, lebih baik negara sendiri. Kini kami belajar untuk tidak memandang enteng kepada nasi lemak, lontong, nasi kerabu, nasi dagang, roti canai dan semua sarapan enak di Malaysia kepelbagaian yang tidak ditemui di mana-mana.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 10:27am
d