ekspresi

Shanghai damai

Oleh Nurul Izzati Ahmad

PERLU diakui, Kem Musim Panas anjuran Shanghai Normal University, Shanghai, China adalah antara peluang yang tidak boleh dilepaskan terutama bagi menimba ilmu mengenai budaya dan tamadun negara China.

Bukan itu saja, ia juga dilihat peluang terbaik penulis dan rakan memperluaskan pemandangan serta pengalaman di bandar metropolitan Shanghai yang juga terkenal sebagai antara bandar paling mewah di dunia.

Peluang itu dinikmati 10 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama 20 pelajar dari dua universiti lain iaitu, Liverpool John Moores University (LJMU) dari Britain, dan juga tuan rumah Shanghai Normal University (SHNU).

Kami mengikuti kem 12 hari bermula 1 Julai lalu yang diisi dengan pelbagai aktiviti, termasuk kunjungan di lokasi menarik dan tumpuan pelancong di Shanghai, baru-baru ini.

Tidak dinafikan, kesempatan itu membolehkan penulis mempelajari serba sedikit ilmu pengetahuan berkaitan budaya China yang ternyata berbeza daripada Malaysia.

Apa tidaknya, penulis dan rakan mengikuti kelas dan aktiviti yang disediakan penganjur seperti kelas bahasa Mandarin, seni kaligrafi, sejarah China, undang-undang perniagaan dan yang dinantikan adalah lawatan sambil belajar ke lokasi menarik yang bermanfaat serta cukup menyeronokkan.

Walaupun ketika itu, Shanghai sedang melalui musim panas, namun cuacanya tidak seterik dan sepanas di Malaysia. Bukan itu saja, sejuk saja pemandangan apabila berada di jalanan sekitar kota itu dengan deretan pokok mapel yang rendang di sepanjang lorong pejalan kaki.

Paling menarik, sukar untuk melihat sampah-sarap besar mahupun kecil sepanjang beriadah di mana-mana lokasi di bandar raya itu dan ia bermakna, masyarakat di situ dididik serta diasuh untuk mementingkan kebersihan.

Penulis juga amat kagum dengan pelbagai pengangkutan digunakan oleh penduduk di bandar raya itu selain rutin berjalan kaki yang dikatakan perkara biasa dalam kehidupan seharian mereka.

Perlu diakui juga, penggunaan kereta api bawah tanah adalah amat meluas kerana ia menghubungkan banyak tempat yang jauh sekali gus memudahkan perjalanan penduduk Shanghai. Tidak dilupakan juga, perkhidmatan bas dan motosikal juga banyak digunakan oleh pengguna jalan raya Shanghai.

Menariknya, kenderaan yang disebut di atas bersifat ‘mesra ekosistem’ kerana hanya tenaga elektrik yang digunakan sebagai pengganti minyak petrol. Maka, tiada lagi kelihatan kepulan asap petrol yang memedihkan mata atau bunyi ekzos yang membingitkan telinga.

Walaupun hambatan jadual aktiviti program padat, namun ruang tetap ada untuk mengunjungi tempat menarik lain, termasuk lokasi pelancongan terkenal dikenali Xin Tian Di, Menara Pearl Oriental TV, Muzium Perancangan Urbanisasi (Urban Planning Museum).

Tidak lengkap jika tidak mengunjungi destinasi wajib dilawati, iaitu The Bund yang juga mercu tanda kota Shanghai. Walaupun pemandangan The Bund adalah berbeza malam dan siang, namun kedua-dua pemandangan adalah sama cantik dan mengagumkan.

Cukup manis apabila penulis berpeluang menaiki ‘Huang Pu River Cruise’ bagi menyaksikan The Bund serta keindahan kerlipan cahaya kota raya Shanghai pada sebelah malam.

Bukan itu saja, penulis juga mendapat peluang untuk memasuki Menara Oriental Pearl TV yang berketinggian 468 meter. Menara itu mempunyai struktur dan seni bina yang unik dengan sebelas sfera termasuk dua sfera besar berwarna merah yang menjadi sebahagian daripada menara tinggi berkenan.

Kepesatan bandar raya Shanghai, dari segi bangunan mahupun kawasan sekeliling yang luas dapat diperhatikan daripada puncak pencakar langit yang dimiliki.

Di kawasan persekitaran menara itu juga terdapat taman tema Disneyland yang turut menjadi tarikan pelancong.

Bagi yang gemar mencari barangan cenderahati untuk rakan dan insan tersayang, kunjungan ke Tian Zi Fang, Xin Tian Di dan juga bazar di pekarangan Taman Yuyuan tidak wajar dilepaskan.

Sambil membeli-belah di deretan kedai cenderamata di lokasi berkenaan, penulis juga dapat mencuci mata dan menghayati keunikan struktur bangunan di situ yang menggabungkan unsur seni bina tradisional dan moden.

Tidak dilupakan juga, Jalan Nanjing popular sebagai antara lokasi untuk beli belah tersibuk di dunia, adalah destinasi yang terbaik untuk membeli barangan berjenama, seperti H&M, Uniqlo dan Zara.

Oleh kerana kawasan Nanjing sangat panjang dan luas, maka Jalan Nanjing dibahagikan kepada dua iatu Jalan Nanjing Timur dan Jalan Nanjing Barat.

Namun, kesukaran berinteraksi dengan penduduk tempatan memberikan pengajaran kepada penulis dan rakan untuk mempelajari sedikit sebanyak bahasa tempatan sebelum ke luar negara kelak.

Ia ternyata membantu kerana penduduk Shanghai tidak betah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, termasuklah tidak memahami perkataan yang paling mudah seperti ‘free’. Namun, terima kasih kepada rakan dari SHNU yang sudi menjadi perantara untuk menterjemah, maka segalanya dapat dipermudahkan.

Perlu diakui, untuk aktiviti membeli-belah waima kedai kecil sekali pun atau untuk menaiki bas, pembayaran adalah melalui imbasan ‘QR Code’ saja.

Penulis diberitahu oleh pelajar SHNU, kebanyakan penduduk Shanghai tidak membawa wang tunai mahupun dompet kerana pembayaran hanyalah melalui telefon pintar dengan menggunakan aplikasi seperti WECHATPAY atau ALIPAY.

Sistem yang turut dikenali sebagai sistem ‘cashless’ ini telah agak lama diaplikasikan oleh penduduk Shanghai dan ternyata sangat memudahkan kehidupan seharian mereka kerana tidak perlu memberatkan beg dengan dompet.

Sesungguhnya, pengalaman di kota raya Shanghai adalah pengalaman manis sukar dilupakan lebih-lebih lagi hampir setiap masa bersama rakan baharu yang baik dan menghiburkan hati.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 5:15am
d