ekspresi

Identiti unik pelbagai budaya

Oleh Nurul Husna Mahmud

JATUH cinta pandang pertama adalah ungkapan sesuai buat pemuda dari Bangladesh AKM Rajib Hasan ini apabila mulanya datang ke Malaysia sekadar untuk melancong. Siapa sangka, dia kemudian bergelar pelajar sebaik mengambil keputusan menyambung pengajian di negara ini.

Katanya berbeza dengan negara asalnya, Malaysia biarpun kecil tetapi ‘berjiwa’ besar apabila penduduknya yang berbilang kaum boleh duduk semeja dan bertepuk tampar mesra tanpa ada perselisihan faham.

Justeru, apabila ada peluang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di negara ini, pemuda berusia 36 tahun ini hadir untuk menggali ilmu berkenaan industri pelancongan dilihat kembang pesat di rantau Asia.

1. Boleh anda ceritakan bagaimana anda mengenali Malaysia?

Sebenarnya saya datang ke Malaysia pada 2017 sebagai pelancong dan saya dapati ia mempunyai sistem teratur dan sangat pesat membangun khususnya dalam industri pelancongan.

Saya menggunakan khidmat agensi pelancongan dan melihat bagaimana mereka menyambut dan membuatkan pelancong asing selesa serta selamat.

Selain itu, Malaysia bijak memaksimumkan kelebihan terutama pelbagai budaya setempat, membuatkan ia mempunyai identiti unik iaitu ‘rojak’.

2. Apa pandangan pertama anda mengenai Malaysia?

Penuh warna-warni selaku negara berbilang kaum.

3. Apakah perbezaan ketara di antara negara asal dan Malaysia?

Malaysia sudah bersedia melangkaui sempadan dan keterbukaan menerima satu sama lain dengan mengetepikan perbezaan budaya serta agama membuatkan mereka begitu harmoni.

Berbeza dengan negara saya, pemandangan berkenaan hampir tiada di Bangladesh.

4. Apakah destinasi percutian kesukaan anda?

Pulau Pinang; Langkawi, Kedah; Genting Highlands, Pahang dan Pulau Perhentian, Terengganu.

5. Adakah anda menyukai makanan tempatan?

Ya, saya suka mencuba hidangan tempatan apabila berada di negara asing. Terutama nasi lemak, asam laksa, rendang, roti canai dan nasi kandar.

6. Apakah cabaran anda sepanjang berada di Malaysia?

Tidak susah untuk menyesuaikan diri di Malaysia kerana negara ini rakyatnya sangat toleransi. Ia mungkin disebabkan rakyat negara ini berbilang bangsa.

Cuma secara peribadi saya bersendirian di sini dan berjauhan dengan keluarga, itu sebenarnya kesukaran saya.

7. Pernahkah anda menghadiri sebarang keramaian dan acara kebudayaan di sini?

Sudah pasti, terbaharu saya merasai suasana sambutan Tahun Baharu Cina 2019.

8. Apakah yang anda suka mengenai Malaysia?

Makanan, cuaca dan rakyatnya yang berbilang kaum.

9. Adakah anda tahu bertutur bahasa tempatan?

Sikit-sikit saja contoh makan, minum dan terima kasih.

PROFIL

• NAMA: AKM Rajib Hasan

• ASAL: Bangladesh

• UMUR: 36 tahun

• KERJAYA: Pelajar Sarjana Pengurusan Hospitaliti Universiti Taylor

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:00am
d