ekspresi

Tarik tali ikat kasih

Oleh Aniza Zainudin

SYARAT ditetapkan Koperal Nor Atiqah Anuar kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Adam Danish Paul Abdullah, yang mewakili pasukan Tarik Tali Bukit Aman supaya memenangi Piala Ketua Polis Negara 2007 sebelum memberikan nombor telefonnya.

Namun tiada siapa menyangka, syarat itu berjaya dipenuhi sekali gus menjadi permulaan hubungan pasangan ini hingga ke jenjang pelamin dan kini, memiliki tiga cahaya mata.

Menceburi pasukan beruniform bukan cerminan sesuai menggambarkan gaya hidupnya yang aktif sebelum ini. Namun, dorongan suami membuatkan wanita berusia 32 tahun ini melakukan transformasi rutin hidup yang sihat.

“Sebenarnya saya mula aktif dalam sukan tarik tali sejak 2007, namun selepas berkahwin dan melahirkan anak minat ini terhenti seketika sebelum kembali aktif pada 2013 hingga kini.

“Usah pandang rendah pada saiz tubuh kerana saya sering terpilih mewakili ibu pejabat polis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi perlawanan persahabatan dan latihan bersama di Singapura.

“Selepas itu, tiada lagi pasukan wanita dalam sukan tarik tali, cuma suami masih kekal mewakili negara serta PDRM hingga kini.

“Namun begitu, saya ternanti-nanti latihan mewakili PDRM bagi menghadapi pertandingan antarabangsa di Putrajaya, bulan depan.

“Suami adalah pendorong paling kuat untuk saya memulakan gaya hidup sihat dan aktif ini. Dia sering meminta saya melakukan pelbagai aktiviti supaya menjadi lebih lasak dan mengekalkan kecergasan.

“Selain sukan tarik tali, saya juga aktif dalam sukan karate, futsal dan mendaki gunung.

“Impian paling besar kami berdua ialah mendaki Gunung Kinabalu bersama-sama satu hari nanti,” katanya.

Berkongsi kelebihan meminati sukan sama, Nor Atiqah mengakui ia membuatkan kehidupan mereka lebih aktif dan cergas.

Selain itu, ia antara cara terbaik untuk sering berkomunikasi secara berkesan sama ada berkongsi pendapat dan isu.

Bukan saja berkongsi sukan bahkan pasangan ini juga menceburi bidang sama, justeru tidak dinafikan masa terlalu mencemburui mereka bersama keluarga.

Akur dengan akujanji polis sedia bertugas 24 jam, pasangan ini menganggap ia pengorbanan dan pekerjaan mulia dalam menjaga keselamatan orang awam.

Meskipun begitu, bagi memastikan keperluan emosi anak tidak terabai, pasangan ini sentiasa mencuri masa bersama pada hujung minggu atau hari cuti dengan menyajikan makanan kegemaran dan makan bersama.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:30am
d