ekspresi

Kongsi kerjaya bersama suami

Oleh Aniza Zainudin

MENERIMA tawaran kenaikan pangkat serentak dengan suami pada 2014, antara cabaran terbesar buat Inspektor Noraini Mohamad Jamil dan Inspektor Mohamad Shafie Jeman, 43 sepanjang bertugas sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika itu, usia anak bongsu baru setahun empat bulan membuatkan pasangan ini berdepan dilema sama ada ingin meneruskan latihan ataupun sebaliknya.

Berkat sokongan antara satu sama lain, keluarga dan teman seangkatan, pasangan ini mengambil cabaran untuk menerima tawaran dan menjalani latihan.

Manakala tiga anaknya ditinggalkan di bawah jagaan kakak Noraini di kampung.

Meskipun bimbang keadaan si kecil yang masih menyusu, pasangan ini optimis apabila memikirkan prospek kerjaya dan masa depan anak.

Menurut wanita berusia 40 tahun ini, berkongsi kerjaya dengan suami mempunyai kelebihan dan kekurangannya apatah lagi mereka berada dalam jabatan yang berbeza.

“Suami berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), manakala saya pula Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

“Pada awal perkahwinan, mustahil tiada masalah antara kami, namun kami mengambil pendekatan untuk saling mempercayai, bertolak ansur dan memahami tuntutan kerjaya dalam berkhidmat kepada masyarakat serta negara.

“Keseronokan bagi saya apabila berkongsi kerjaya dengan suami apabila kami boleh bertukar cerita atau pendapat antara satu sama lain.

“Pengorbanan perlu dilakukan ketika musim perayaan apabila saya perlu bertugas, suami akan mengambil alih peranan itu bagi memastikan keseronokan berhari raya kekal bersama anak.

“Jika tidak dapat beraya bersama, kami akan cuti bergilir-gilir.

“Selain itu, kami juga sentiasa mendidik anak supaya belajar berdikari dalam menguruskan hal harian mereka.

“Kerjaya ini kadang-kala mengehadkan masa bersama anak, tetapi ia bukan halangan besar untuk kami menghabiskan masa berkualiti meskipun sekejap,” jelasnya.

Menurut Noraini, dia bertemu suami ketika bertugas sebagai anggota pangkat rendah di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, manakala suami di Kuching, Sarawak.

Pasangan ini bertemu ketika melakukan tugas bantuan sebagai penari badan seni budaya PDRM di bawah pengurusan Bukit Aman.

Berkongsi pengalaman sebagai anggota keselamatan, anak jati Melaka ini mengakui bidang siasatan adalah tarikan utama.

Sebagai pegawai penyiasat trafik, Noraini perlu berhadapan dengan mangsa kecelakaan jalan raya dalam pelbagai keadaan, namun wanita ini menetapkan niatnya untuk membantu masyarakat.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 5:00am
d