ekspresi

Nikmati durian lepas berkayuh

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

BERKAYUH santai dan menikmati durian. Itu keistimewaan buat peserta yang menyertai Kampung Betong Durians Fun Ride 2019, di Kampung Betong, Jeneri, Sik, Kedah baru-baru ini.

Dalam program itu, lebih 200 peserta bukan saja berkayuh basikal secara santai tetapi menariknya selepas itu mereka disajikan dengan pelbagai jenis durian kampung yang dijamah bersama pulut.

Peserta berkayuh 21 kilometer membabitkan kawasan berbukit, denai dan hutan dengan tempat pelepasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Betong.

Selepas selesai acara di Dataran Sungai Kuala Kerik, kepenatan peserta ‘terubat’ sejurus melihat longgokan durian pelbagai jenis yang sedia untuk dimakan.

Penganjur program, Asri Ahmad, 51, berkata, antara jenis durian yang disajikan kepada peserta adalah kepala gajah, kunyit, cengih, pulur liat, jantung dan tangkai panjang.

Menurutnya, lebih 300 kilogram durian baka kampung hasil tanaman penduduk kampung dikumpulkan dalam program berkenaan.

“Selain beriadah, aktiviti berbasikal melalui program Kampung Betong Durians Fun Ride 2019 ini bertujuan mempromosikan kampung ini sebagai pengeluar durian utama di daerah Sik.

“Durian yang kami sajikan ini adalah durian baka kampung hasil tanaman orang tua dahulu.

“Selain itu program ini juga mempromosikan keindahan Kampung Betong yang masih terpelihara alam semula jadi di samping terkenal dengan pelbagai jenis buah-buahan terutama durian, dokong, manggis dan lain-lain,” katanya.

Asri yang juga Pengerusi Koperasi Wawasan Kampung Kuala Kerik berkata, kampung itu turut terkenal dengan keindahan Sungai Viral yang tular sebelum ini.

Katanya, pengunjung dari daerah lain termasuk Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur turut mengunjungi sungai itu yang mempunyai keindahan tersendiri.

Mengulas lanjut berkenaan Kampung Betong Durians Fun Ride 2019, Asri berkata, ia antara aktiviti utama Kampung Betong Cycling Club (KBCC) membabitkan peserta dari Pulau Pinang, Perlis, Selangor selain Kedah.

Katanya, program dijalankan secara santai, namun pihaknya menyediakan cabutan bertuah kepada peserta.

“Antara hadiah yang disediakan pelbagai barangan basikal, barangan elektrik, hamper dan hadiah utama sebuah motosikal jenis SYM E-Bonus 110.

“Dengan bayaran penyertaan RM50, peserta bukan saja dapat menikmati durian tetapi juga cabutan bertuah selain kemeja-T, sijil serta hadiah sampingan lain,” katanya.

Sementara itu, peserta warga emas, Zulkifli Mohamad, 72, berkata, dia seronok menyertai program yang diadakan di dalam kampung.

“Walaupun santai tetapi saya seronok kerana kami melalui denai, bukit dan jalan kampung.

“Program seperti ini perlu diteruskan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai suasana kampung,” katanya berasal dari Bedong, Sungai Petani.

Bapa tiga anak yang juga pesara tentera itu turut gembira kerana menerima hadiah utama cabutan bertuah motosikal.

Bagi Muhd Shahrul Samsuri, 16, kayuhan santai dalam program itu memberi peluang kepadanya melihat suasana kampung berkenaan yang masih terpelihara keindahannya.

“Kampung ini indah bukan saja dengan alam semula jadi tetapi juga geografi seperti sungai, bukit dan paling menarik banyak dusun buah-buahan,” katanya.

Dia yang juga ahli kumpulan Tok Uban Cycling berharap program seperti itu dianjurkan pada masa akan datang.

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 5:05am
d