ekspresi

Megahnya Merapi [METROTV]

Oleh Hazira Hassan

LAPAN hari tempoh percutian kali ini dirasakan begitu singkat dan masih belum cukup buat kami bertiga untuk menjelajah Jakarta-Jogja-Bandung-Jakarta, Indonesia.

Asalnya perjalanan yang kami namakan Percutian Sahabat ini disertai seorang lagi rakan tapi terpaksa menarik diri kerana terdapat perkara tidak dapat dielakkan.

Maka berlepaslah kami bertiga, saya, Farah dan Yuyu saja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) ke Jakarta.

Sebaik tiba di Jakarta, tanpa berlengah kami mendapatkan tiket kereta api dan terus ke Jogja. Berada dalam kereta api selama lapan jam sebenarnya cukup lama bagi kami tapi waktu itulah digunakan sepenuhnya untuk merehatkan badan sambil merakam sebanyak mungkin pemandangan dan aksi kami di dalam gerabak itu.

Masa itu jugalah kami isi dengan menatap telefon bimbit untuk memaklumkan ketibaan kepada keluarga masing masing. Itu gunanya aplikasi WhatApps.

Dalam waktu-waktu begini jari jemari ligat menaip. Sampai di Jogja, kami memilih pavilium atau inap desa jika di Malaysia. Sungguh, ia antara inap desa yang indah ditambah dengan persekitaran kampung yang tentunya dekat dengan alam. Mengenang kembali bagaikan baru semalam kami meninggalkan pavilium yang dinamakan Omah Teras Bata itu.

Jam 10 pagi hari kedua supir menjemput kami menuju ke Hutan Pinus, Rumah Hobbit. Makan tengah hari kami pada hari itu menunya sate kambing. Jadual perjalanan seterusnya ialah ke Pantai Timang dengan menaiki jip kerana jalan berliku dan penuh cabaran.

Hinggalah 11.30 malam baru kami pulang ke Omah Teras Bata. Alkisah di hari ketiga di Jogja, jam 4 pagi dalam samar-samar cahaya kami sudah keluar dari tempat penginapan menuju ke Gunung Merapi.

Kali ini kena sewa jip lagi bagi melancarkan percutian unik dan kenangan manis buat kami. Ditambah dengan pakej perjalanan yang kami pilih ini sudah tersedia perkhidmatan jip dengan bayaran tertentu.

Melalui pakej itu kami berpeluang merakam gambar ‘Sunrise Jeep Merapi’ dengan pelbagai aksi yang tentunya wajib dimuat naik di media sosial. Jujur, percutian kali ini sungguh berbeza.

Malah kami turut dibawa melawat perkampungan yang pernah terkena lava gunung berapi itu. Tempat ‘persembunyian’ penduduk ketika meletusnya gunung berapi itu dinamakan Bunker Kaliadem juga sempat kami kunjungi. Melihat dengan kaca mata sendiri banyak menginsafkan dan bersyukur kerana kita di bumi Malaysia tidak terdedah dengan bencana maha dahsyat seperti ini.

Jam 10 pagi kami bersarapan, sebelum bergerak ke Umbul Ponggok dan Underwater. Selepas itu kami menginap pula di hotel. Masuk hari kelima, jam 9 pagi kami bergerak ke Pulepayung yang mengajak kami merakam sebanyak mungkin gambar, menaiki basikal dan buaian di udara.

Pada jam 2 petang pula kami berada di Taman Bunga Matahari sebelum menuju ke Pantai Parangtritis untuk menunggu matahari terbenam pada jam 6 petang.

Hari keenam, selepas daftar keluar dari hotel kami ke Candi Prambanan yang menempatkan banyak artifak Bugis. Seronok untuk penulis kongsikan bahawa Jogja juga kaya dengan pelbagai jenis makanan termasuk sambal unik.

Sempat juga kami singgah di kedai yang menawarkan 32 jenis sambal, 28 lauk, 14 sayur sayuran dan 20 aneka pilihan minuman. Terdetik segala macam perasaan ketika itu.

Cara sajian usah cerita. Ia benar benar menguji tahap ‘diet’ penulis yang sebelum menjejakkan ke sini bahawa tidak akan kalah dengan sebarang menu.

Malangnya penulis gagal mengawal diet. Hati berbisik, bukan selalu berpeluang memilih pelbagai jenis makanan di Jogja ini. Datang pun bukan hari-hari.

Lalu penulis dan dua lagi rakan menjamu selera dengan menikmati hidangan pilihan yang sememangnya tidak ada di Malaysia. Bermakna, rugi jika tidak mencuba jika ada di Jogja.

Sambil menjamu selera, kami semestinya tidak lupa merakam setiap hidangan yang kami tempah untuk tatapan rakan Facebook dan Instagram.

Mana tahu, gambar dan pengalaman itu menjadi panduan buat anda yang bercadang bercuti ke Jogja! Namun, pengalaman lain tak dapat dilupakan apabila kami tertinggal kereta api ke Bandung.

Kami bertapa di stesen sambil mencari kata sepakat sama ada ke Jakarta saja atau masih ingin ke Bandung. Akhirnya kami mengambil keputusan membeli tiket lain terus ke Jakarta.

Walhal kami asalnya sudah membeli tiket dari Bandung-Jakarta, supir dan hotel juga sudah ditempah. Maka bermalamlah kami di stesen itu menunggu hari siang bimbang terlepas kereta api ke Jakarta.

Kami mengurut dada mengetahui malapetaka gunung berapi yang meletus di Tangkuban Parahu di Bandung. Bermakna insiden tertinggal kereta api itu adalah perancangan Allah yang menyelamatkan kami. Syukur, Alhamdulillah.

Jam 7 pagi hari ketujuh kami menaiki kereta api ke Jakarta dan sampai pada 4 petang. Ketika di Jakarta kami hanya menginap di Mangga Dua yang terkenal dengan tempat membeli barangan harga murah seperti baju dan batik.

Hari kelapan selepas seharian membeli-belah di Mangga Dua, malamnya kami ke Hard Rock Cafe dan pusing-pusing di Pantai Ancol Lagoon. Bergambar lagi kami di sini!

Esoknya adalah hari terakhir kami di bumi Indonesia. Pantas masa berlalu rasanya baru semalam tiba. Kami bertolak awal ke lapangan terbang khuatir tertinggal pesawat.

Masih fobia tertinggal kereta api ke Bandung sebenarnya. Apapun percutian kali ini sangat luar biasa!

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 5:15am
d