ekspresi

Himpunan komuniti BMX

Oleh Helmy Abd Rahman

HANYA tiga huruf - BMX. Namun bagi kelompok generasi X (Gen-X) ia membawa erti besar dalam kehidupan mereka terutama ketika menongkah usia remaja pada era 1980-an.

Diilhamkan daripada sukan motosikal lasak, BMX adalah lambang kebebasan dan pemberontakan bagi remaja Gen X.

Menyedari pengaruh BMX masih menebal dalam diri ramai kalangan masyarakat negara ini, satu acara yang menghimpunkan peminat dan koleksi BMX dianjurkan di Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Apa yang membanggakan, program ‘Super Mega Gathering K-Car Life & BMX Back to 80’s Malaysia’ berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 peminat BMX dan kereta kompak bukan saja dari negara ini, malah Indonesia, Singapura dan Thailand.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena acara itu, antaranya pertandingan pameran BMX vintaj, perlumbaan BMX, pertandingan gaya bebas BMX, pameran kereta dan cabutan bertuah dengan hadiah menarik basikal BMX bernilai RM5,000 dan sebuah kereta Kancil.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon popular, Faizal Hussein.

Faizal yang sinonim dengan filem berkaitan Gen-X pada 1980-an, antaranya Gila-Gila Remaja dan Bujang Selamat, dijemput sebagai seorang daripada ahli panel yang membincangkan mengenai pengaruh BMX di Malaysia.

Kata Faizal, dia adalah peminat tegar yang mula mengumpul basikal BMX sejak zaman remaja lagi dan individu terawal membeli basikal jenis berkenaan.

“Saya mula beli BMX pada penghujung 1981 dan rata-rata peminat dan pengumpul koleksi bersetuju saya adalah orang pertama di negara ini yang membeli BMX.

“Pihak penganjur juga bersetuju untuk mengiktiraf saya sebagai individu pertama mengumpul BMX.

“Dahulu tidak banyak model basikal ini tapi sekarang tengok sajalah di acara ini, banyak jenama BMX yang ada antaranya Rally Burner,” katanya.

Menurut Faizal, acara berkenaan mengingatkannya pada usia remaja dan menganggap sukan BMX mempunyai masa depan cerah di negara ini.

“Bila tengok acara ini dan pengunjung, peminat semua, memang rasa macam umur 16, 17 tahun balik.

“Tengok pada kehadiran peminat hari ini memang saya berasa kita punya masa depan cerah dalam sukan BMX, tambahan pula BMX sudah dimasukkan antara acara dipertandingkan di Sukan Sea.

“Jadi peminat dan mereka yang berkecimpung dalam BMX berpeluang bertanding (di Sukan Sea) dan seterusnya mengharumkan nama negara.

“Sebab itu juga saya berada di sini untuk menyokong (komuniti) BMX Malaysia supaya dapat terus maju,” kata pelakon yang lahir pada 31 Mei 1967 ini.

Sementara itu, penganjur, Muhamad Al-Amin Abdullah berkata, dia percaya penganjuran acara seperti itu boleh menjadi pemangkin untuk komuniti BMX di negara ini terbabit secara lebih serius dalam sukan berkenaan.

“Saya menganjurkan acara seumpama ini sejak 2018 dan mendapat maklum balas positif daripada pengumpul BMX di seluruh negara selain negara jiran,” katanya.

Menurutnya, penganjuran kali ini bukan hanya untuk meraikan pengumpul dan penunggang veteran BMX, juga bertujuan merapatkan silaturahim antara peminat dan penunggang baharu serta lama dalam satu acara.

“Tahun lalu kami hanya berjaya kumpulkan 180 peserta untuk mempamerkan koleksi basikal masing-masing tapi kali ini bertambah kepada 300 orang.

“Harapnya pada masa akan datang, saya dapat menganjurkan lebih banyak acara seperti ini dan mungkin juga buat pertandingan bagi menyokong dan memperkasakan budaya BMX di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, perhimpunan itu boleh dijadikan aktiviti tahunan berikutan sambutan luar jangkaan dalam penganjuran kali ini.

“Saya akan berbincang dengan penganjur untuk jadikan program ini sebagai aktiviti tahunan.

“Ia bukan saja menjadi tempat menghimpun peminat kereta kompak, BMX, peniaga barangan alat ganti kereta dan kendera saji (food truck) malah antara inisiatif kerajaan negeri menarik orang datang ke Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.

Program anjuran bersama D’Sora Boutique Business Hotel dengan sokongan pemaju hartanah terkemuka Matrix Concepts Holdings Berhad itu turut membabitkan pameran oleh pemilik kereta kompak dari seluruh negara.

Dalam program sehari itu, lebih 3,000 kereta kompak membabitkan model Perodua Kelisa, Kancil dan Myvi serta lebih 500 basikal BMX dipamerkan.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:01am
d