ekspresi

Kota Merah Jambu [METROTV]

Oleh Dr Zack Zairul

MENYINGKAP perjalanan ke Jaipur dan Agra di India, baru-baru ini menghadiahkan penulis seribu satu pengalaman sukar dilupakan yang mengikuti kunjungan bersama enam delegasi dari Malaysia membabitkan pensyarah universiti awam dan swasta serta beberapa arkitek.

Perancangan ke Jaipur bermula bulan lalu apabila mendapat jemputan daripada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dan presiden Architects Regional Council Asia (ARCASIA).

Sejak itu memang tidak sabar menunggu masa untuk ke sana. Pada mulanya perasaan bercampur baur. Takut, berdebar-debar semua ada mengenangkan pengalaman keracunan makanan di Bandung, Indonesia dan beberapa tempat lain yang pernah penulis kunjungi sebelum ini.

Tapi membayangkan pengalaman baharu yang bakal ditempuh dan keterujaan untuk ke sana, semua perasaan itu beransur hilang.

Perjalanan ke Jaipur bermula dengan tempahan tiket penerbangan bersama IndiGO. Meskipun AirAsia ada penerbangan terus ke Jaipur tapi hanya pada hari tertentu. Lantas saya memilih untuk menaiki pesawat IndiGO untuk penerbangan kali ini.

Cabaran dan pengalaman baharu ditempuh sebaik menaiki pesawat yang tempoh perjalanannya kira-kira 12 jam. Tempoh yang panjang bukan?

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), pesawat transit di Chennai, kemudian berlepas ke Ahmedabad sebelum tiba di Jaipur. Ya! Destinasi inilah yang kami tuju.

Sebaik tiba di lapangan terbang, kami disambut petugas ARCASIA untuk dibawa ke hotel.

Menariknya ia adalah hotel warisan di wilayah Rajasthan yang dibina pada 1928 oleh Jeneral Amar Singh, pengikut Maharaja Sawai Man Singh.

Hotel berkenaan dinamakan sempena bapanya Thakur Narain Singh. Asalnya hotel itu adalah kediaman hinggap general berkenaan yang turut digunakan selepas ekspedisi pemburuan atau ketika percutian keluarga. Kini, hotel itu diuruskan keluarga Kanota.

Dari kaca mata penulis, sebaik menjejakkan kaki, Jaipur menceritakan kisah sebenar kehidupan dua darjat di negara itu.

Keluar saja dari laman hotel yang mewah dan selesa anda akan dihidangkan dengan hiruk-pikuk bandar yang penuh ragam manusia.

Nyata, aktiviti mencari rezeki tanpa henti siang berganti malam, menuntut kepada sistem yang lebih cekap bagi mengeluarkan kelompok manusia yang daif ini daripada kesusahan serta kesulitan hidup.

Dari sisi lain tidak dinafikan, kota Jaipur adalah satu daripada Segi Tiga Emas India selain New Delhi dan Agra yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan.

Selain mendapat jolokan Kota Merah Jambu India (Pink City of India), Jaipur juga dikenali sebagai kota tua kerana banyak bangunan bersejarah di situ.

Dikatakan pada 1876, Prince of Wales dan Queen Victoria mengunjungi India. Memandangkan merah samar adalah warna keamanan dan kebajikan, Maharaja Ram Singh mengarahkan seluruh bandar diwarnakan merah samar.

Lantas, penulis tidak melepaskan peluang merakam sebanyak mungkin gambar pemandangan sekitar kota merah jambu itu.

Tidak terkecuali Hawa Mahal iaitu antara bangunan unik di situ yang dibina pada 1799.

Lebih menarik perhatian, Hawa Mahal menampilkan sisi elegan seni bina Mughal dan Rajasthani.

Bangunan lima tingkat itu kelihatan bagaikan sarang tebuan dengan 953 tingkap kecil yang dipanggil ‘jharokhas’ sekali gus menjadi medium pengudaraan yang penting kepada bangunan berkenaan.

Ditambah dengan penggunaan 'marmar makrana' dan 'batu pasir merah samar' diketengahkan menjadikan pembinaan bangunan itu benar-benar unik dan menarik perhatian sesiapa saja yang melawatinya.

Dikatakan fungsi Hawa Mahal pada masa dahulu adalah sebagai kompleks khusus untuk golongan wanita.

Menariknya hari pertama di Jaipur, padat dengan pengisian apabila penulis mengikuti bengkel warisan.

Bengkel berkenaan adalah pengajaran di studio bersama universiti seluruh Asia termasuk peserta dari India, Bangladesh, Turki, Bhutan, Singapura, Filipina, Indonesia dan China.

Tidak lengkap kunjungan jika tidak memanjangkan langkah ke Agra. Peluang yang ada penulis manfaatkan sebaik mungkin.

Hari ketiga, jam 12 tengah malam kami bertolak dari Jaipur, namun hanya tiba di Agra pada jam 4 pagi kerana kami berhenti di banyak tempat.

Menatap matahari terbit depan mata di monumen ikonik, Taj Mahal bukan pengalaman yang biasa-biasa.

Monumen indah ini adalah makam yang dibina ketika pemerintahan Maharaja Shah Jahan selepas kematian isterinya Mumtaz Mahal.

Pembinaan makam ini mengambil masa 13 tahun. Ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1983.

Berkunjung pula ke Fatehpur Sikri iaitu sebuah bandar sepi dikenali bandar hantu tetapi masih terpelihara apabila ditinggalkan penghuni kerana bekalan air yang tidak mencukupi.

Tujuan pembinaan untuk menghormati ahli sufi Shaikh Salim Chisti, yang tinggal di sebuah gua di atas bukit di Sikri. Akbar menjadi Maharaja Empayar Mughal selepas Maharaja Jahangir.

Seterusnya Fatehabad ditukar nama kepada Fatehpur dan kemudian Fatehpur Sikri. Seni binanya gabungan gaya India, Parsi dan Islam. Kemudian Fatehpur Sikri menjadi ibu kota Empayar Mughal dari 1571 hingga 1585.

Pembinaan mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan. Ia menjadi tapak pelancongan popular dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1986.

Disiarkan pada: August 18, 2019 @ 7:31am
d