ekspresi

Suka makan durian

Oleh Nurul Husna Mahmud

TAHUN pertama ketika menjadi penuntut Ijazah Muda Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor bukan mudah bagi lelaki etnik Hui dari China, Ali Zhang.

Pengarah Eksekutif Perkembangan Perniagaan Muyingda Holding Sdn Bhd ini berkata, makanan dan cuaca cabaran utama sebaik sampai di Malaysia.

Masakan tempatan yang mempunyai rasa manis dan masin tidak menepati seleranya ketika itu hinggakan pada satu tahap menu sama dipesan hampir setiap hari iaitu maggi goreng.

1. Bila kali pertama sampai di Malaysia?

Saya tahu mengenai Malaysia dan UIAM daripada saudara lelaki yang terlebih duhulu menyambung pengajian di Malaysia.

Malah dia antara yang terawal menuntut dan graduasi di kampus ini.

Dia sarankan saya menyambung pengajian di Malaysia saja, lalu pada 2006 saya datang ke sini.

2. Apa cabaran mula-mula berada di Malaysia?

Saya masih ingat makanan pertama yang dipesan saudara ketika makan di restoran mamak iaitu roti pisang.

Ketika itu rasanya sungguh pelik kerana makanan di tempat asal iaitu wilayah tengah China, Henan masakan biasanya rasa pedas dan masin.

Saya memang tidak boleh terima melainkan maggi goreng dan hampir setahun saya mengadap hidangan sama.

Pengalaman lain ialah durian. Mula-mula tiba saya sudah dijamu dengan buah tempatan dan jujur sebaik sahaja makan, saya muntah. Tetapi sekarang ia menjadi buah kesukaan.

3. Bagaimana hubungan anda dengan rakyat tempatan?

Rapat. Saya suka kemesraan rakyat tempatan waima bangsa apapun.

Kalau Cina tempatan, rasanya mereka melayan kerana kami berkongsi sejarah susur galur yang sama. Mereka berasa kami ini unik.

Manakala Melayu pula mempunyai karakter ‘mesra’ tersendiri hinggakan tahap mempelawa saya untuk datang atau makan ke rumah meskipun baru sahaja kenal.

4. Apakah keraian tempatan yang anda suka?

Perkahwinan dan rumah terbuka. Majlis perkahwinan di sini semuanya berkenaan meraikan mempelai. Berbanding di tempat saya biasanya tetamu yang dijemput perlu sediakan ‘ang­pau’ dan hadiah bernilai.

Di sini pula nilai hadiah dan ‘angpau’ bukanlah kemestian sebaliknya kehadiran tetamu itu diraikan penuh mesra tuan rumah.

Malah rumah terbuka pula, saya sangat sukakan budaya tempatan yang meraikan kenalan, rakan atau saudara dengan majlis makan berlanjutan sehingga sebulan.

5. Apakah destinasi percutian di Malaysia yang anda gemari?

Terengganu, kerana suasananya mendamaikan. Selain itu ada pantai yang cantik, makanan dan orangnya sangat mesra.

6. Apakah kenangan lucu anda ketika berada di Malaysia?

Ini pengalaman ketika zaman belajar yang saya masih ingat sehingga hari ini. Di Wilayah saya, iaitu negara empat musim, berjalan kaki adalah pilihan kebanyakan penduduk.

Bagi kami, berjalan jauh seperti lima hingga enam kilometer adalah perkara biasa. Jadi apabila kawan sebilik beritahu jarak ke pekan terhampir sekitar 5 kilometer, saya memutuskan untuk berjalan kaki.

Tidak dinafikan memang berbeza dan terasa sangat jauh. Apabila saya maklum pada rakan sebilik mereka terkejut kerana saya berjalan kaki sejauh itu.

7. Sepanjang tinggal di Malaysia, apakah peranan anda dalam komuniti tempatan?

Ketika ini saya bekerja dengan Muyingda Holding Sdn Bhd iaitu syarikat berpangkalan di China.

Menariknya, pengasas syarikat ini mahu membantu memajukan usahawan Bumiputera tempatan bergerak jauh ke hadapan.

Jadi banyak program kami jalankan bersama usahawan Bumiputera termasuk menjadi mentor dan mengintai peluang bagi mereka untuk melebarkan perniagaan mereka ke China.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:10am
d