ekstra

Wasiat Abu Amro

Oleh Agensi

“Jika saya mati, saya mahu dibalut dengan bendera ini,” kata pemuda Palestin, A’ed Abu Amro, 20, yang gambarnya tidak berbaju, memegang bendera Palestin manakala sebelah tangan lagi memegang lastik ketika menyertai tunjuk perasaan di Gaza, tular di media sosial.

Gambar berkenaan dirakam jurugambar agensi berita Turki, Anadolu, Mustafa Hassouna pada 22 Oktober lalu. Pengguna media sosial membandingkan gambar itu dengan lukisan ikonik Revolusi Perancis, ‘Liberty Leading the People’.

Gambar berkenaan sudah dikongsi melalui Twitter lebih 5,000 kali.

Menurut AlJazeera, Abu Amro yang tinggal di al-Zaytoun, Gaza, menunjuk perasaan bersama rakannya setiap Jumaat dan Isnin.

“Saya terkejut mendapati gambar saya tular. Saya menyertai bantahan setiap minggu dan tidak tahu ada jurugambar berhampiran,” katanya.

Menurut Abu Amro, sehari selepas menyertai bantahan pada 22 Oktober lalu, rakan menghantar gambar itu kepadanya yang dirakam di Beit Lahiya, utara Gaza selepas melihatnya di sosial media.

“Saya tidak menyertai perhimpunan agar gambar saya dirakam, namun ia memberi semangat kepada saya untuk meneruskan bantahan.

“Bendera yang saya kibarkan itu bendera yang sama saya bawa setiap minggu, setiap kali menyertai perhimpunan.

“Rakan pernah berkata, lebih senang melempar batu tanpa sebelah tangan memegang bendera tapi saya sudah biasa begitu.

“Jika saya terbunuh, saya mahu mayat saya dibalut bendera yang sama.

“Kami menuntut hak kami untuk pulang dan menuntut kedaulatan kami serta kedaulatan generasi masa depan,” katanya.

Sejak hampir tujuh bulan lalu, ribuan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza berkumpul di sempadan dengan Israel setiap minggu, bermula Jumaat, menyertai ‘Perarakan Pulang’ menuntut hak dikembalikan wilayah yang dijajah Israel.

Mereka menuntut hak untuk pulang ke tanah air selepas dihalau 70 tahun lalu dan penamatan sekatan terhadap Gaza bermula 11 tahun lalu.

Sejak ‘’Perarakan Pulang’ itu bermula pada 30 Mac lalu, tentera Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 205 penduduk Palestin, wartawan dan anggota pasukan perubatan serta mencederakan lebih 18,000 lagi.

Profesor Universiti SOAS di London, Laleh Khalili, berkongsi gambar itu di Twitter bersama imej Liberty Leading the People yang dilukis Eugene Delacroix sempena Revolusi Julai pada 1830 hingga menumbangkan pemerintah Perancis, Raja Charles X.

Disiarkan pada: October 30, 2018 @ 4:08pm
d