ekstra

Hospital bagai rumah hantu

Oleh AFP

SERPIHAN mesin ultrabunyi dan anggota badan prostetik memenuhi laluan di hospital utama Raqa, Syria setahun selepas pertempuran akhir antara pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) dengan Daish di kubu kuat kumpulan militan itu di Syria.

Kompleks dipenuhi kesan peluru itu berdiri teguh dengan dikelilingi bangunan musnah di bandar di utara Syria yang dulu menjadi pusat pentadbiran Daish.

Pada 17 Oktober tahun lalu, pasukan tentera disokong AS menawan semula dua kubu kuat kumpulan militan berkenaan, iaitu Hospital Kebangsaan dan stadium berhampiran, seterusnya menamatkan pemerintahan tiga tahun Daish di Raqa.

Namun, setahun kemudian, dalam pada bandar itu perlahan-lahan dibina semula, hospital besar berkenaan masih rosak teruk malah tidak ubah seperti rumah hantu.

Jalan menuju ke pintu masuknya tidak lagi dilambakkan mayat yang memenuhinya Oktober tahun lalu, namun bangkai kereta masih mencetuskan rasa tidak menyenangkan untuk pelawat ke situ.

Katil beroda rosak, kain alas dan kanister gas berkarat turut dibuang di halaman hospital.

Pintu hospital yang dipenuhi kesan peluru dilukiskan kata-kata ‘CLEAR (bersih), November 9, 2017,’ mungkin merujuk kepada hari bangunan berkenaan diperiksa untuk memastikan tiada bahan letupan atau anggota Daish.

Bahagian dalam hospital juga tidak kurang teruknya, dengan bilik yang hitam akibat serangan udara. Beg pasir memenuhi beberapa ruang, digunakan sebagai benteng oleh pejuang Daish ketika pertempuran akhir mereka.

Penduduk Raqa, Mohammad Hussein, 37, menceritakan bagaimana anggota Daish memperkukuh pertahanan sebelum dikalahkan, tahun lalu, termasuk menggali terowong dalam pada Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS semakin mara.

Dia yang kini anggota Suruhanjaya Kesihatan Majlis Awam Raqa (RCC) - badan yang kini mentadbir bandar berkenaan sejak Daish diusir - pernah bertugas sebagai jururawat di hospital berkenaan.

“Mereka menyimpan bekalan perubatan termasuk serum, darah, air dan generator sebagai persediaan menghadapi pertempuran. Namun selepas beberapa hari dikepung, mereka akhirnya dikalahkan,” katanya.

Sejak itu, puluhan ribu orang kembali ke Raqa namun kehidupan seharian masih dipenuhi bahaya.

Daish meninggalkan periuk api di sekitar bandar itu yang membunuh dan mencacatkan penduduk Raqa, selain melancarkan serangan ala gerila terhadap lokasi SDF.

“Kemusnahan hospital ini sebenarnya pukulan hebat terhadap penduduk di Raqa. Ia pernah merawat ratusan orang setiap hari satu ketika dulu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Khaled Abbud al-Hassan, 60, antara pesakit akhir yang menerima rawatan di situ selepas serangan udara yang membunuh anak perempuannya berusia empat tahun dan mencederakannya.

“Doktor di situ dari Azerbaijan dan kebanyakan kakitangannya dari bandar Aleppo.

“Mereka melayan kami semua dengan baik, namun kira-kira seminggu berada di situ, hospital berkenaan dibom jadi kami diarahkan keluar,” katanya.

Amnesty International yang melawat Raqa sebelum ini menyifatkan kemusnahan terhadap kediaman, sekolah dan infrastruktur perubatan sebagai ‘mengejutkan’ malah menyelar pengeboman di situ oleh pakatan tentera diketuai AS yang dianggap sepatutnya membantu pembinaan semula bandar itu.

Pakatan tentera terbabit sudah membersihkan puing dari jalan raya selain menghapuskan periuk api di beberapa kawasan, namun dana belum diperoleh untuk pembaikpulihan hospital itu, kata pengerusi bersama RCC, Laila Mustafa.

“Ia memerlukan dana yang besar, hampir AS$6 juta (RM25 juta). Ini tidak termasuk peralatan perubatan,” katanya.

Menurutnya, RCC sedang berunding dengan pihak antarabangsa untuk mendapatkan dana membina semula satu wad hospital.

Sebaliknya, stadium Raqa yang digunakan sebagai penjara oleh Daish, sudah dibaiki sebahagiannya malah perlawanan bola sepak pertama diadakan pada April lalu.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 8:03am
d