ekstra

Restoran dasar laut

Oleh Agensi

SEBUAH restoran bawah laut terbesar di dunia sepanjang 30 meter hampir siap tetapi ia sudah penuh ditempah hingga musim panas tahun depan.

Restoran dikenali sebagai Under itu terletak di sebuah perkampungan tepi pantai di Baly, Lindesnes di hujung selatan Norway dan dijangka dibuka pada musim luruh 2019.

Ia adalah restoran bawah air pertama di Eropah dan terbesar di dunia serta memiliki tingkap seluas 11 meter untuk pemandangan dasar laut yang biru.

Menurut media tempatan, restoran itu terletak di dasar laut, lima meter dari permukaan dan kelihatan seperti sebuah kubu moden.

Bangunan berkenaan dibina di atas sebuah baj selama setahun setengah dan direka untuk bertahan ketika cuaca ekstrem.

Selepas siap ia kemudian ditunda sejauh 183 meter kemudian diturunkan ke dalam air dan disambung pada tiang asas di dasar laut.

Cef restoran itu, Ellitsgaard Pedersen berkata, pelanggan akan disajikan dengan makanan enak dan paling segar.

“Saya dan pasukan bekerjasama dengan petani, nelayan dan pemburu bagi menyediakan ramuan yang paling segar.

“Dengan cara ini kami mencipta hidangan paling berperisa dan inovatif yang melambangkan restoran kami,” katanya.

Restoran itu direka oleh firma Snohetta yang mempunyai ibu pejabat di Oslo dan New York City serta mempunyai studio di San Francisco, Innsbruck, Singapura dan Stockholm.

“Cabaran pertama kami adalah tekanan air kerana restoran ini terletak lima meter di dasar laut tetapi masalah terbesar adalah ombak,” kata arkitek firma itu, Rune Grasdal.

Restoran itu mempunyai tiga bahagian pada kawasan seluas 492 meter persegi termasuk bar dan kawasan makan yang luas.

Ia juga direka untuk menempatkan kira-kira 80 hingga 100 tetamu yang boleh menikmati hidangan sambil melihat pemandangan dasar laut yang menakjubkan.

Menu di restoran itu sebahagian besarnya terdiri daripada hidangan makanan laut daripada sumber tempatan termasuk udang karang, ikan kod dan kupang.

Selepas waktu perniagaan sebahagian bangunan restoran itu akan digunakan untuk kajian biologi marin.

Menurut syarikat itu, penyelidik datang ke restoran itu untuk membuat beberapa kajian termasuk adakah ikan liar boleh dilatih menggunakan isyarat bunyi.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 7:01am
d