ekstra

Kais sampah beli roti

Oleh AFP

DI luar sebuah kem pelarian di barat laut Syria, Sabaa al-Jassim, 15, mengais timbunan sampah dengan harapan terjumpa barangan lusuh yang boleh dijual untuk membeli makanan.

Dengan menggunakan batang logam, kanak-kanak lelaki itu mencari plastik dengan mencucuk sampah domestik busuk di sebuah kampung di Kafr Lusin untuk dijual bagi menampung 11 ahli keluarganya.

“Saya pergi ke tempat pembuangan sampah untuk menyara keluarga. Saya mengutip dua beg sampah sehari supaya dapat membeli roti,” kata remaja itu yang berkasut getah dengan pakaian berlumpur.

Sabaa tidak lagi bersekolah sejak perang saudara di Syria selama lapan tahun.

Dengan keadaan bapanya yang sakit, ibu Sabaa yang terbeban dengan tanggung­jawab dan abangnya yang cedera, membuatkan dia serta tiga adiknya terpaksa mencari nafkah untuk meneruskan kelangsungan keluarga.

Daripada tiga juta penduduk yang tinggal sekeliling Idlib, hampir separuh daripadanya dipindahkan ke tempat lain di negara yang dilanda perang itu.

Ramai yang bergantung kepada bantuan, tetapi di kem tidak rasmi yang mempunyai hampir 50 keluarga di Kafr Lusin, pihak bertanggungjawab berkata, makanan sukar didapati.

Di tempat pembuangan sampah berdekatan, puluhan wanita dan kanak-kanak mengelilingi lori sampah ketika ia membuang muatan busuk itu.

Dengan batang logam itu, seorang wanita bertudung berjalan melalui celah sampah segar mengandungi tin aluminium kosong, sekerap makanan dan lampin rosak.

Dengan ditemani adiknya, Bahriya, 12, dan Rajeh, 9, mereka mengisi guni yang dibawa dengan barangan lusuh untuk dijual.

Katanya, mereka biasanya memperoleh AS$2 sehari hasil jualan berkenaan.

“Dengan wang itu kami membeli roti, kentang, sayuran dan tomato, tetapi tidak cukup untuk membeli daging.

“Hampir semua orang di sini melakukan pekerjaan ini,” katanya.

Bapa Sabaa, Jassim berkata, dia tidak suka menghantar anaknya untuk bekerja, tetapi keluarganya tidak ada cara lain untuk menyara hidup.

“Apabila anak-anak saya pergi ke tempat pembuangan sampah, saya rasa kecil dan tewas. Tetapi, jika mereka tidak bekerja kami akan kebuluran,” kata lelaki berusia 53 tahun itu dari wilayah tengah Syria, Hama.

Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu, kira-kira 6.5 juta penduduk di Syria tidak mampu memenuhi keperluan makanan harian mereka keba­nyakannya akibat menjadi pelarian perang.

Perang saudara di Syria yang tercetus pada 2011 sudah meragut 360,000 nyawa dan mengakibat­kan jutaan penduduk menjadi pelarian.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 2:28pm
d