ekstra

Seni jahit kuspuk

Oleh Agensi

SEBELUM bersara, Funa, 62, mengetepikan sedikit wang agar dia mampu membeli peralatan yang diperlukan untuk mengejar cita-citanya dalam bidang jahitan.

Bekas pustakawan sekolah yang tinggal di sebuah perkampungan di Newhalen, Alaska itu kini lebih banyak bekerja menggunakan benang digantung di dinding bilik jahitannya yang kelihatan tersusun dengan setiap peralatan diberi label, manik serta butang di dalam laci serta stor kecil berisi timbunan kain berwarna-warni.

“Bilik ini menjadi tempat kesukaan saya pada musim sejuk,” kata Funa yang tinggal di rumah itu sejak kecil, manakala bilik jahitan itu dibina oleh suaminya.

Funa banyak menghabiskan masa di bilik jahitannya pada musim sejuk sewaktu suhu mencecah sehingga -30 Celsius untuk menyiapkan ‘kuspuk’ iaitu jaket berhud dengan poket besar yang sering dipakai orang Alaska untuk majlis formal seperti majlis perkahwinan, upacara pengijazahan sekolah serta menghadiri gereja.

Reka bentuk praktikal pakaian itu menjadikannya sesuai dipakai dan perlu dikekalkan mengikut budaya masyarakat seramai 180 orang yang mendiami tebing Sungai Newhalen berlatarbelakangkan pergunungan.

Hanya ada dua kedai di Newhalen namun ia menjual segala yang diperlukan penduduk setempat. Barangan runcit pula mahal kerana terpaksa diterbangkan sejauh 320 kilometer (km) dari bandar Anchorage. Jadi, penduduk mendapatkan hasil dengan bercucuk tanam dan menangkap ikan.

“Jaket itu mempunyai hud untuk menutup kepala bagi memastikan serangga seperti nyamuk tidak menggigit leher dan kepala anda, selain mempunyai poket besar yang amat berguna,” kata Funa.

Menurut kurator Sejarah dan Kebudayaan Alaska, Muzium Anchorage, Aaron Leggett, berkata orang Yup’ik dan Inupiat iaitu dua subset pribumi Alaska adalah masyarakat pertama menjahit kain kuspuk kira-kira 100 tahun lalu.

“Mereka menggunakan bahan daripada karung tepung sebagai pelindung pakaian bulu mereka kerana cuaca sejuk di Alaska memaksa mereka memakai kain yang lebih ringan supaya mudah dibersihkan.

“Sebelum menggunakan karung tepung, kuspuk diperbuat daripada usus atau kulit haiwan. Sejak itu, kuspuk melalui pelbagai fasa yang diadaptasi semua puak dan kini terkenal di seluruh negeri.

“Kuspuk menjadi identiti penduduk asal Alaska dalam 20 tahun lalu,” kata Leggett.

Di Alaska, anggota Badan Perundangan Negeri Alaska memakai kuspuk seminggu sekali ke tempat kerja sempena hari kuspuk pada setiap Jumaat.

Seni jahitan kuspuk semakin popular di beberapa kampung seperti diusahakan Funa, yang memperlihatkan generasi wanita menjahit kuspuk untuk meraikan budaya mereka dan menghubungkan orang tersayang.

Sepanjang musim sejuk, wanita berkumpul pada waktu malam untuk menjahit, berkongsi petua malah mesin jahit mereka sentiasa setia berkhidmat mencipta kuspuk.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 12:47pm
d