ekstra

Barbie 'muda' sepanjang zaman

Oleh Agensi

USIANYA sudah mencapai 60 tahun ini namun Barbie masih kekal awet muda tanpa sebarang kedutan di wajahnya, ceria dan bertenaga untuk mempromosikan gaya masa kini wanita.

Dikenali menerusi wataknya sama ada berambut perang atau coklat, berkulit hitam atau putih dan bertubuh langsing, Barbie menjadi kegemaran dan ikon kepada gadis muda di seluruh dunia yang terjual 58 juta setiap tahun di lebih 150 negara.

Barbie ciptaan Ruth Handler juga pengasas bersama Mattel Inc, yang diilhamkan daripada anaknya sendiri malah perkataan Barbie diambil daripada nama anaknya, Barbara.

Pengarah pemasaran global Barbie, Nathan Baynard memberitahu AFP, idea ciptaan Barbie adalah sebagai pemangkin kepada remaja perempuan bahawa mereka mempunyai pilihan untuk menjadi apa sahaja.

Barbie berambut perang pertama dijual di pasaran dan selepas itu syarikat dikecam hebat kerana memperkenalkan anak patung yang tidak realistik. Susulan itu, Mattel membuat banyak perubahan ke atas bentuk tubuh dan warna kulit Barbie. Oleh itu, pada 1968, Mattel memperkenalkan Christie iaitu Barbie berkulit gelap pertama di pasaran.

Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar Global Barbie, Lisa McKnight, berkata hampir 55 peratus anak patung Barbie yang dijual di seluruh dunia kini tidak berambut perang atau bermata biru.

Reuters melaporkan, selepas beberapa dekad sejak penampilan pertamanya di Pameran Mainan New York pada 9 Mac 1959, Barbie meraikan ulang tahun ke-60 menerusi koleksi terbarunya bagi menghargai contoh dan kerjaya yang belum diwakili wanita sepenuhnya.

Kejayaan itu diraikan Mattel Inc dengan menghasilkan Barbie versi 20 wanita daripada bintang tenis Jepun, Naomi Osaka hingga model Britain dan aktivis Adwoa Aboah.

Syarikat itu juga memperkenalkan enam anak patung mewakili kerjaya angkasawan, juruterbang, atlet, wartawan, ahli politik dan anggota bomba. Semua bidang berkenaan menurut Mattel belum diwakili wanita sepenuhnya.

Barbie adalah ikon budaya yang diraikan seperti Andy Warhol, Muzium Louvre di Paris dan lagu sindiran 'Barbie Girl' pada 1997 oleh kumpulan Scandinavia, Aqua.

Sehingga kini, Barbie sudah mewakili lebih 200 pekerjaan daripada pakar bedah kepada pencipta permainan video sejak penampilannya yang memakai baju renang belang hitam dan putih.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 12:05pm
d