ekstra

Ulaanbaatar tercemar teruk

Oleh AFP

ULAANBAATAR di Mongolia adalah ibu negara paling sejuk di dunia dengan suhu mencecah -40 darjah Celsius.

Untuk hidup dengan suhu ekstrem itu, penduduk di Ulaanbaatar membakar arang batu dan plastik untuk memanaskan kediaman mereka.

Bagaimanapun, keadaan itu menyebabkan masalah lebih serius dengan pencemaran udara teruk hingga menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan ada yang maut.

Ulaanbaatar adalah ibu negara yang mempunyai udara paling tercemar di dunia selain New Delhi, Dhaka, Kabul dan Beijing.

Tahap pencemaran udara di kota berkenaan sering melepasi tahap selamat yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar memberi amaran ia boleh membawa bencana termasuk menjejaskan kesihatan serta boleh membawa maut.

Pada Januari lalu pencemaran udara di Ulaanbaatar mencecah 133 kali lebih tinggi daripada tahap selamat yang ditetapkan oleh WHO.

Kesannya sangat buruk kepada orang dewasa dan bagi kanak-kanak pula kesannya lebih berbahaya kerana golongan itu bernafas lebih laju sekali gus menghirup lebih banyak udara.

Seorang penduduk, Erdene-Bat Naranchimeg hanya mampu melihat anak perempuannya, Amina yang sering jatuh sakit sejak lahir. Sistem pertahanan tubuh kanak-kanak itu terjejas akibat udara tercemar di bandar berkenaan.

“Kami sering keluar masuk hospital,” kata­nya.

Katanya, Amina dua kali dijangkiti radang paru-paru ketika berusia dua tahun hingga memerlukan rawatan antibiotik.

Kes Amina itu bukan sesuatu yang jarang berlaku terutama di bandar apabila suhu menurun hingga ke tahap tidak boleh didiami.

Namun, bagi penduduk di daerah terpencil, mereka tiada pilihan selain terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Kebanyakan penduduk miskin di Ulaanbaatar tinggal di dalam khemah tradisional dan mereka menggunakan arang batu serta bahan mudah terbakar lain untuk memanaskan kediaman.

Cuaca sejuk ditambah dengan asap dari rumah penduduk mencetuskan jerebu teruk dan kadar penglihatan hanya mencecah beberapa meter.

Hospital juga penuh dengan pesakit yang masih muda, demam biasa boleh melarat dengan cepat hingga menjadi penyakit mengancam nyawa.

Keadaan sangat buruk hingga doktor menasihat­kan Naranchimeg, satu-satu cara untuk menyelamatnya Amina adalah dengan menghantar anaknya itu ke kawasan kampung yang mempunyai udara bersih.

Amina kini berusia lima tahun dan membesar dengan sihat. Amina tinggal bersama datuk dan neneknya di kampung Bornuur Sum kira-kira 135 kilometer dari Ulaanbaatar.

“Dia tidak lagi sakit sejak tinggal di sini,” kata Naranchimeg.

Setiap minggu Naranchimeg menempuh perjalanan selama tiga jam untuk pulang menemui anaknya itu.

“Pada beberapa bulan ia agak sukar. Saya sering menangis ketika bercakap dengannya di telefon,” jelasnya.

Bagaimanapun, sama seperti kebanyakan ibu bapa di Ulaanbaatar, Naranchimeg tahu itu adalah satu-satu cara untuk menyelamatkan anaknya.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 1:12pm
d