ekstra

Sisi lawak ahli sumo

Oleh Agensi

LEBIH 100 ahli sumo menunjukkan sisi mereka yang lebih santai kepada ribuan penonton ketika festival musim bunga tahunan, Honozumo diadakan di kuil peringatan perang Yasukuni di ibu negara Jepun.

Sepanjang satu hari, kira-kira 6,000 pelancong dan penduduk tempatan diberi peluang menikmati pelbagai persembahan perlawanan daripada sumo yang masih muda sehinggalah mereka yang lebih profesional, lapor news4euro.com.

Honozumo, tradisi yang berusia lebih seabad, dibuka untuk orang ramai dan menjadi peluang unik membolehkan peminat sukan berkenaan melihat atlet terkemuka beraksi.

Selain perlawanan sumo, lawak jenaka turut dipersembahkan serta beberapa ritual bagi menghormati dewa di kuil Shinto tempat ia dijalankan.

Sumo antara sukan paling sukar ditonton secara langsung kerana hanya enam perlawanan besar dikenali sebagai Honbasho diadakan setiap tahun di bandar berbeza di sekitar Jepun.

Bagaimanapun, ketika Honozumo, penonton diberi peluang melihat sendiri bintang sukan Jepun ini dalam keadaan santai. Malah, ketika berehat antara perlawanan ahli sumo dilihat selamba berborak dan bergurau dengan semuanya dapat dilihat peminat.

Mereka juga berpeluang menjamah ‘chankonabe,’ hidangan dipenuhi kalori yang menjadi asas diet ahli sumo, mengandungi pelbagai sayur dan daging dimasak dalam sup ikan.

Perlawanan bermula pada waktu pagi dengan perlawanan sumo paling junior diikuti golongan lebih tinggi sehingga akhirnya ditamatkan dengan perlawanan ahli sumo terhebat.

Antara atlet sumo paling terkenal mengambil bahagian dalam Honozumo tahun ini adalah dua Yokozuna atau penggusti paling tinggi tarafnya dalam sukan berkenaan, iaitu Kakuryu dan Hakuho dari Mongolia.

Ahli sumo terkenal lain termasuk Aoiyama kelahiran Bulgaria iaitu antara yang terberat di dunia dengan berat

hampir 200 kilogram, selain Kaisei dari Brazil serta Tochinoshin dari Georgia.

Memulakan acara, dua Yokozuna berkenaan melakukan ritual memasuki gelanggang dikenali sebagai dohyo-iri mengelilingi gelanggang (dohyo) dengan memakai apron putih tradisional kesho-mawashi yang diikat menggunakan tali pinggang sutera.

Honozumo antara acara sumo paling santai kerana ia bukan pertandingan, sebaliknya memberi peluang kepada penonton melihat gurau senda ahli sumo ketika memanaskan badan untuk perlawanan.

Malah, ahli sumo juga dilihat berjalan di sekitar pekarangan kuil dengan ditemani rakan dan keluarga, seterusnya menampakkan personaliti mereka yang lebih mesra berbanding biasa.

Ramai peminat mengambil kesempatan mendapatkan gambar dan autograf bersama ahli sumo kesayangan, malah ada juga menyerahkan bayi mereka kepada atlet berkenaan untuk mengambil gambar.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 10:31am
d