ekstra

Paling lurus, paling panjang

Oleh Agensi

DENGAN jarak sejauh 256 kilometer, sebuah lebuh raya di Arab Saudi mencipta rekod sebagai jalan paling lurus dan terpanjang di dunia.

Berdasarkan portal Stepfeeed, lebuh raya yang menghubungkan bandar Haradh ke Al Batha berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu

(UAE) itu sering digunakan untuk kerja penghantaran barang.

Pemanduan di Lebuh Raya 10 pastinya memberikan pengalaman berbeza kerana keadaannya yang terlalu sunyi apabila terletak di sebuah kawasan gurun paling tandus hingga tidak ada hidupan lain yang ditemui di situ.

Keadaan jalan yang

lurus dengan pemandangan yang kosong itu sudah tentu akan menguji keupayaan mana-mana pemandu daripada terlena.

Ia mungkin menjanjikan satu pengalaman memandu yang membosankan untuk menghabiskan perjalanan beratus kilometer yang memakan masa hampir tiga jam di atas laluan lurus.

Biarpun dikelilingi kawasan gurun serta landskap alam semula jadi yang memukau, ia tidak mungkin mampu membuatkan pemandu terus berjaga hingga ke destinasi disebabkan rasa bosan yang dialami.

Bagaimanapun, sesetengah kumpulan pengembara pula menganggap laluan unik itu sebagai pengalaman baru apabila ramai memilih untuk bergerak menerusi jalan darat dari bahagian tengah dan barat Arab Saudi ke UAE.

Menurut portal itu lagi, jalan bertar itu bukanlah benar-benar lurus hingga

ke penghujung kerana terdapat sedikit selekoh tidak jauh dari Al Batha.

Sebenarnya, terdapat beberapa negara di dunia dilaporkan turut memiliki keunikan sama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Terdapat lima lebuh raya terkenal disenaraikan sebagai paling lurus dan panjang di dunia.

Terletak di Saskatchewan, Kanada, perjalanan di Lebuhraya 33 juga agak panjang apabila ia mempunyai jarak sejauh

140 kilometer.

Lebuh raya kelima paling lurus dan panjang itu menghubungkan Stoughton ke Regina dan dikatakan sebagai laluan paling cepat untuk memandu ke Saskatchewan.

Manakala di tempat keempat pula Lebuhraya Eyre di Australia yang selama ini dianggap sebagai jalan terpanjang dan lurus dunia yang sebenarnya mempunyai jarak kira-kira 145.6 kilometer.

Dua lagi lebuh raya yang tersenarai terletak di AS iaitu Lebuh Raya 46 di North Dakota serta Lebuh Raya 54/56 dari Texas ke Oklahoma yang membabitkan jarak sejauh 172 kilometer.

Bukan satu perkara yang mengejutkan apabila kedua-dua lebuh raya itu terletak di Amerika Utara memandangkan saiznya yang terlalu besar.

Tidak seperti di tempat lain, Lebuh Raya 54/56 merentasi tiga negeri di AS iaitu Texas, Oklahoma dan Kansas yang bermula di Dalhart hingga ke Liberal.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 10:54am
d