ekstra

Pemandangan memukau

Oleh Agensi

GAME of Thrones, siri televisyen drama fantasi Amerika Syarikat ciptaan David Benioff dan D B Weiss adalah adaptasi daripada siri novel A Song of Ice and Fire karangan George R R Martin yang terkenal dengan adegan maut, pembunuhan kejam dan mandian darah.

Tetapi kehidupan sebenar di negara lokasi kisah fantasi itu difilemkan jauh lebih aman dan tenang berbanding kisah rekaan dalam drama terkenal di seluruh dunia ini.

Filem yang ditonton lebih 32.8 juta penonton di seluruh dunia bukan saja diminati kerana jalan ceritanya malah lokasi penggambarannya menyajikan pemandangan memukau.

Kebanyakan penggambaran filem dibuat di sebuah studio di Belfast dan di beberapa tempat di Ireland Utara, Malta, Croatia, Iceland dan Maghribi.

Penggambaran di Ireland Utara dilaporkan meningkatkan ekonomi negara itu malah turut menarik kedatangan peminat Game of Thrones kerana ingin melawat tempat sebenar drama itu difilemkan.

Diandaikan bahawa beberapa agensi seperti Dana Pembangunan Ekonomi Eropah menurunkan berjuta-juta paun untuk menggalakkan produser agar kekal membuat penggambaran di sana.

Dalam siri pertama, bandar batu bersejarah Mdina memaparkan latar belakang untuk King’s Landings.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Malta dikatakan merungut disebabkan habitat terlindung di negara itu musnah menyebabkan penggambaran dari siri kedua dan seterusnya dirakam di Croatia.

Bagi siri ketiga, kru filem turut ke Maghribi untuk merakamkan turutan penggambaran di bandar fiksyen Yunkai dan Astapor.

Dua lokasi perfileman di Afrika Utara adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO malah kebanyakan filem lain seperti Gladiator dan Laurence of Arabia turut mengambil latar belakang sama.

Penggambaran di Iceland pula mewakili Westeros iaitu sebuah benua yang terletak di utara dunia dalam Game of Thrones. Ia dipisahkan dari benua Essos menerusi jaluran air dikenali sebagai Narrow Sea dan dua lagi benua Sothoryos dan Ulthos.

Game of Thrones musim kelapan ditayangkan menerusi HBO sejak 14 April lalu dan akan tamat pada 19 Mei depan.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 11:06am
d