ekstra

Tangkap tengah malam

Oleh Agensi

KETIKA terjaga awal pagi, seorang remaja 15 tahun dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan lapan lelaki bertopeng yang mengacukan raifal ke arahnya.

Matanya kemudian diikat dengan kain sebelum dihentak menggunakan raifal selain tangan diikat hingga berdarah.

“Saya amat takut,” kata Obada yang menceritakan pengalamannya ditahan tentera Israel pada Februari lalu di rumahnya di kampung al-Araqa berhampiran Jenin di utara Tebing Barat.

Obada seorang daripada lebih 100 kanak-kanak Palestin yang diperlakukan kejam oleh rejim Zionis yang membuat serbuan ketika tengah malam sebelum mengheret mereka keluar sambil mengacukan senjata, kata satu kumpulan hak asasi kanak-kanak.

“Beberapa anggota tentera mengheret saya keluar rumah tanpa memberi peluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga. Mereka langsung tidak memberitahu sebab saya ditahan dan tempat yang ingin dibawa,” katanya.

Obada berkata, mimpi ngeri itu tidak berakhir di situ apabila dia kemudiannya dibelasah teruk dalam tempoh dua minggu.

Dia dikurung dalam kubikel tandas dan tentera Israel menggunakan senjata renjat Taser pada badannya sekiranya melawan.

Tidak cukup dengan itu, dia turut diikat, ditampar dan diancam ketika disoal siasat mengenai hubungannya dengan dua rakan sekolah, Nihad dan Fuad Waked yang dibunuh beberapa hari sebelum itu ketika menyerang tentera Israel.

Keterangan remaja itu dimuatkan dalam laporan terbaru bertajuk ‘No Way to Treat a Child’ disusun Pertahanan untuk Kanak-Kanak Antarabangsa-Palestin (DCIP) iaitu kumpulan yang memantau kekejaman dilakukan Israel yang mencabuli hak asasi kanak-kanak Palestin.

Ketika ini terdapat 440 kanak-kanak dalam tahanan tentera iaitu bilangan paling tinggi sejak tentera Israel mendedahkan angka itu, sekali gus menunjukkan terdapat peningkatan lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Kumpulan hak asasi itu berkata, rejim zionis terbabit masih melakukan serbuan seperti biasa walaupun berjanji untuk menghentikannya dua tahun lalu selepas dikecam dunia.

“Penahanan Obada sama seperti penderaan yang dilalui kanak-kanak lain”, kata Ivan Karashian dalam keterangannya.

Satu pertiga daripada kanak-kanak dilaporkan diseksa secara fizikal ketika berada di dalam tahanan.

Hampir 90 peratus kes membabitkan ibu bapa yang tidak tahu ke mana anak mereka dibawa manakala dalam 97 peratus kanak-kanak yang disoal siasat, mereka tidak dibenarkan diwakili ibu bapa atau peguam.

Selain itu, terdapat 60 peratus daripada mereka kemudiannya dipindahkan ke penjara di Israel dan tindakan itu nyata mencabuli undang-undang antarabangsa apabila mereka menunggu selama tiga bulan untuk dilawati oleh keluarga memandangkan agak sukar mendapatkan permit masuk ke sana.

Menurut DCIP, apa yang mengejutkan bukan hanya peningkatan mendadak terhadap jumlah tangkapan sejak Oktober lalu malah jumlah kanak-kanak yang ditahan juga bertambah apabila lebih 100 orang yang dipenjara berusia antara 12 dan 15 tahun.

Terbaru, mahkamah tentera menjatuhkan hukuman terhadap remaja 13 tahun dari Beit Fajjar berhampiran Hebron supaya ditahan selama empat bulan setengah selepas dituduh menghampiri tempat pemeriksaan tentera sambil memegang pisau.

Sementara itu, jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Baitulmaqdis, Catherine Weibel memberitahu Al Jazeera, pihaknya masih meneruskan dialog dengan tentera Israel dalam usaha memperbaiki tindakan mereka yang menahan kanak-kanak.

Israel satu-satunya negara yang ‘secara sistematik’ menjatuhkan hukuman terhadap 500 hingga 700 kanak-kanak di mahkamah tentera pada setiap tahun, kata DCIP.

Disiarkan pada: April 30, 2019 @ 10:02am
d