ekstra

Tangisan tangkis roh jahat

Oleh Agensi

PERTANDINGAN bayi menangis mungkin belum pernah dibuat di Malaysia namun ia tradisi di negara matahari terbit pada setiap tahun dipercayai dapat menangkis roh jahat selain memberi kesihatan dan tuah kepada anak-anak.

Festival Nakizumo atau Naki Sumo yang berusia 400 tahun kebiasaannya diadakan di kuil di seluruh Jepun pada musim bunga, lapor Daily Mail.

Tahun ini, 160 bayi yang lahir pada tahun lalu mengambil bahagian dalam satu daripada acara terbesar di Kuil Sensoji di Tokyo.

Festival ini memperlihatkan penggusti sumo berpakaian tradisional ketika menggendong bayi berusia enam bulan ke atas ke pentas bulat dan saling berhadapan antara satu sama lain.

Penggusti memegang badan bayi sambil mengangkat dan menghayunnya ke atas dan ke bawah untuk membuatkan kanak-kanak itu menangis kuat.

The Sun melaporkan, atlet sumo berkenaan menggunakan pelbagai cara termasuk mendengus, membuat memek muka dan menggoyang bayi dengan lembut sambil menjerit ‘naki naki’ atau dalam bahasa Jepun bermakna menangis.

Jika cara itu tidak berjaya, pengadil akan ke tengah gelanggang dengan memakai topeng yang menakutkan.

Jika kedua-dua bayi menangis serentak, suara yang paling kuat diisytiharkan menang.

Namun setiap peraturan adalah berbeza antara wilayah di Jepun kerana ada yang berpendapat bayi terlebih dahulu menangis dikira kalah.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 8:56am
d