ekstra

Kampung tanpa ibu

Oleh Agensi

HAMPIR semua ibu muda di timur Indonesia meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk merantau dan mencari rezeki di luar negara.

Ia bermakna, kebanyakan mereka terpaksa melakukan pengorbanan besar dengan meninggalkan anak kecil hingga penduduk tempatan memberikan gelaran ‘kampung tanpa ibu’, lapor BBC.

Seorang daripadanya, Ely Susiawati yang tinggal di Wanasaba, Timur Lombok berkata, dia ditinggalkan ibunya, Martia ketika berusia 11 tahun sebelum dijaga nenek.

Martia meninggalkan negara untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Arab Saudi demi menyara keluarga selepas bercerai.

“Saya kecewa setiap kali melihat rakan ditemani ibu bapa di sekolah. Saya rindu kepulangan ibu.

“Saya tidak mahu berjauhan dengan ibu. Saya ingin dia pulang dan menjaga adik-beradik lain,” katanya.

Ia menjadi perkara biasa bagi ibu muda untuk bekerja di luar negara bagi memastikan anak masing-masing dapat menikmati kehidupan lebih baik.

Lebih dua pertiga daripada pekerja asing warga Indonesia terdiri daripada wanita dan wang yang dihantar ke kampung halaman bertujuan memberi peluang kepada anak mereka membeli barangan yang diinginkan.

Karimatul Adibia pula berkata, dia ditinggalkan ibunya sejak berusia setahun dan sukar mengingati saat ketika mereka pernah tinggal bersama.

Dia yang dijaga oleh ibu saudaranya hanya berpeluang bertemu semula dengan ibunya selepas tamat sekolah rendah.

“Saya agak keliru. Saya masih ingat ibu menangis sambil berkata kepada ibu saudara mengapa anak perempuannya tidak mengenalinya?” katanya.

Karimatul hanya mengenali ibunya berdasarkan nama dan alamat memandangkan dia langsung tidak mempunyai gambar wanita itu.

Bagaimanapun, dia yang kini berusia 13 tahun menghubungi ibunya menerusi panggilan video setiap hari dan menghantar pesanan ringkas namun ia masih dianggap satu hubungan yang sukar.

“Biarpun dia pulang untuk bercuti, saya lebih gemar tinggal dengan ibu saudara. Dia mengajak saya ke sana tetapi saya hanya memberitahu mungkin selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 6:00am
d