ekstra

Pulau Ghoramara semakin tenggelam

Oleh AFP

FAKTOR perubahan iklim menyebabkan kawasan Pulau Ghoramara, India secara perlahan semakin tenggelam dan kawasannya kini hanya meliputi kira-kira empat kilometer persegi.

Hampir separuh daripada kawasan itu hilang dalam tempoh tiga dekad lalu berbanding saiz asalnya.

Penduduk yang baharu saja melalui pilihan raya baru-baru ini beranggapan ia mungkin menjadi peluang terakhir untuk mereka mengundi.

Terdapat kira-kira 4,000 orang termasuk seorang nelayan miskin, Goranga Dolui berada dalam senarai pengundi bagi pulau di muara Sunderban.

“Orang lain yang berkemampuan, mereka sudah pun meninggalkan kawasan ini. Bagaimana pula dengan orang miskin seperti saya? Kami berharap kerajaan akan dapat membantu memulakan hidup baharu,” katanya kepada AFP.

Goranga bersikap pesimis keputusan pilihan raya itu akan mengubah masa depan pulau yang menghubungkan tanah besar India menerusi perjalanan feri selama satu jam.

“Kami akan terus tinggal di sini sehingga ia tidak boleh didiami lagi,” katanya.

Pegawai pilihan raya Ghoramara, Swati Bandopadhyay berkata, pulau itu mungkin tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kerana hakisan berlaku terlalu cepat setiap kali tibanya musim monsun.

Beberapa pulau yang mengelilinginya juga turut terancam dengan situasi berkenaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan penduduk di situ berpindah ke Sadar atau Kakdwip di tanah besar.

Seorang pesara guru, Satish Chandra Jana, 75, yang menghabiskan seluruh usia hidupnya di Ghoramara turut berputus asa.

“Kami sukar untuk tinggal di sini, malah sudah membina sebuah rumah di Kakdwip. Saya tidak rasa ingin tinggalkan tempat ini. Kehidupan dan jiwa saya berhubung dengan pulau ini,” katanya.

Ghoramara tidak disambungkan dengan grid elektrik India sebaliknya bergantung terhadap tenaga solar sebagai sumber tenaga.

Sementara itu, pesara tentera, Tapas Kumar Sasmal, 50, yang pulang mengundi berkata, kini hanya terdapat kira-kira 10 peratus penduduk asal yang masih tinggal di situ.

Katanya, kebanyakan mereka yang hilang tempat tinggal bekerja sebagai buruh di tanah besar.

“Kehidupan agak susah. Beberapa pegawai kerajaan berkata, pulau ini akan hilang dalam pilihan raya berikut­nya. Saya berasakan ia mungkin berlaku esok,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 9:15am
d